Hidup bergantung kerusi roda tak halang penghidap 'multiple sklerosis' bertugas dalam sektor pengangkutan awam


Cheryl berharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai multiple sclerosis dan memberi harapan kepada mereka yang berjuang dengan penyakit tersebut. — Agensi

KETIKA pertama kali merasakan kebas di kaki kanannya, Cheryl Tan tidak menganggapnya satu hal yang penting.

Beliau yang ketika itu baru berusia 23 tahun sama sekali tidak menyangka keadaan itu adalah permulaan kepada perubahan besar dalam hidupnya. 

Ia adalah tanda awal multiple sclerosis, satu penyakit neurologi yang akan memberi kesan besar terhadap keupayaan untuk berjalan.

BACA LAGI: [VIDEO] Meski bertarung sakit kronik, Tammie masih pasang impian bergelar pakar pediatrik

BACA LAGI: Bahayakan bayi, Selena Gomez dedah tak boleh mengandung sebab ada banyak penyakit

Sebagai pembuat roti, beliau sudah terbiasa dengan keletihan akibat mengangkat beg tepung dan gula seberat 30 kilogram (kg) hingga 40kg.

Bahkan, doktor yang merawat menyangka beliau mengalami masalah tulang rawan tergelincir atau slip disc, yang biasa berlaku. Mungkin ia hanya risiko kerja akibat terlalu lama berdiri.

Namun, kebas itu mula merebak sehinggalah akhirnya kaki Cheryl tidak lagi dapat bertahan dan terpaksa dikejarkan ke jabatan kecemasan.

Ujian intensif, termasuk lumbar puncture (teknik mengambil sedikit sampel daripada cecair yang mengelilingi selaput otak dan sara) akhirnya membawa kepada diagnosis multiple sclerosis, satu penyakit neurologi yang jarang berlaku di Singapura.

Kurangnya kesedaran tentang penyakit itu menimbulkan 1,001 persoalan tentang masa depan Cheryl (duduk, kanan). — Agensi

Multiple sclerosis berlaku apabila sistem imun menyerang lapisan perlindungan myelin di sekitar sel saraf, menyebabkan gangguan isyarat antara otak dan tubuh. 

Selepas didiagnosis pada 2015, Cheryl terpaksa melepaskan impian sebagai pembuat roti kerana kesukaran untuk berdiri lama serta keperluan pekerjaan yang berat.

"Saya sangat keliru. Saya tidak tahu apa itu multiple sclerosis dan bagaimana ia akan mempengaruhi kehidupan saya," katanya yang ketika itu turut berdepan masalah kewangan termasuk kos rawatan mencecah S$3,000 (kira-kira RM10,000) sebulan tanpa subsidi. 

Majikan

Dalam tempoh empat tahun, beliau terpaksa mencuba pelbagai jenis ubat sebelum menemui yang sesuai.

Selepas pulih dari rawatan di hospital dan bersedia untuk kembali bekerja, wanita berkenaan mendapati kebanyakan majikan tidak pernah mendengar tentang multiple sclerosis dan ragu-ragu untuk mengambilnya bekerja.

Menurut laman web SingHealth penyakit tersebut lebih lazim di Eropah dan Amerika Utara, tetapi jarang berlaku di Singapura, dengan hanya lebih 300 orang yang menghidapinya.

Di seluruh dunia, dianggarkan 2.9 juta orang menghidap penyakit itu. Beberapa kajian mendapati bahawa ia cenderung berlaku kepada mereka yang tinggal lebih jauh dari khatulistiwa.

Kemurungan 

Cheryl bekerja sebagai pegawai pengalaman pelanggan dan inklusiviti di Tower Transit Singapore. — Agensi

Kurangnya kesedaran tentang penyakit itu menimbulkan 1,001 persoalan tentang masa depan Cheryl.

Bagaimana keadaan itu akan mempengaruhi keperluan perubatannya, kewangan dan kerjayanya?

Ketidaktentuan masa depan dan tekanan kewangan menyebabkan Cheryl mengalami kemurungan teruk, sehingga pernah terfikir untuk mengakhiri nyawanya. 

"Saya rasa seperti beban kepada keluarga, saya tidak dapat menyumbang dan tidak boleh menyara diri sendiri," luahnya.

Namun berkat sokongan ibu bapanya, beliau memilih untuk terus berjuang.

Menyesuaikan diri dengan kehidupan bersama multiple sclerosis memerlukan perubahan besar dalam kehidupan harian wanita berkenaan.

Pada awalnya, beliau masih boleh berjalan walaupun kakinya kebas. Namun semakin lama, beliau mendapati tubuhnya tidak lagi boleh bergerak seperti dahulu.

Seperti bayi yang perlu belajar berjalan semula, Cheryl mula menyedari betapa tidak mesranya persekitaran terhadap individu sepertinya.

Menjelang 2019, simptomnya semakin teruk sehingga beliau terpaksa menyeret kakinya ketika berjalan. Beliau kerap jatuh dan akhirnya bergantung pada kerusi roda bermotor untuk bergerak.

Kini, Cheryl bekerja sebagai pegawai pengalaman pelanggan dan inklusiviti di Tower Transit Singapore.

Beliau membantu penumpang di hab pengangkutan awam dan juga mengetuai kursus kesedaran untuk meningkatkan kemudahan bagi golongan kurang upaya (OKU).

Dengan pengalaman dimiliki, beliau berharap dapat meningkatkan kesedaran mengenai multiple sclerosis dan memberi harapan kepada mereka yang berjuang dengan penyakit tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram