[VIDEO] Meski bertarung sakit kronik, Tammie masih pasang impian bergelar pakar pediatrik


  • Relaks
  • Jumaat, 14 Mac 2025

Tammie yang menghidap penyakit autoimun tetap berusaha memberi inspirasi kepada individu lain. — tamzfight

SELAMA bertahun-tahun, Tammie Ong membayangkan dirinya memakai kot putih dan stetoskop, berkhidmat sebagai pakar pediatrik yang membantu pesakit muda seperti sering dilihatnya dalam rancangan televisyen.

Namun, pada 2021 ketika usianya mencecah 17 tahun, impian tersebut berubah apabila beliau hanya mampu terbaring di katil hospital, memerlukan rawatan perubatan selepas mengalami keadaan kesihatan luar biasa.

Mengimbau kejadian awal, Tammie bercerita, pada suatu pagi, beliau bangun dalam keadaan kepalanya sakit dengan teruk, selain turut muntah-muntah.

BACA LAGI: MaryamBayam adaptasi seni batik tradisional dalam koleksi aksesori kontemporari

BACA LAGI: [VIDEO] Bergelar peguam tetapi jiwa terarah pada fesyen, label Nuria jadi medium buat Zaznuriah berkreatif

Selepas menjalani pelbagai ujian di beberapa hospital, beliau disahkan menghidap beberapa keadaan jarang sukar diubati.

Salah satu daripadanya adalah gastrointestinal dysmotility, bermaksud terdapat masalah pada sistem pencernaan.

Otot dan saraf dalam saluran gastrointestinal yang menggerakkan makanan tidak berfungsi seperti sepatutnya.

Kini, tiub gastrostomi digunakan untuk menyampaikan nutrien penting ke tubuh Tammie, menggantikan makanan yang tidak lagi boleh dimakannya.

Keadaan lain turut menjejaskan beliau adalah dysautonomia, yang mengganggu sistem saraf autonominya, mempengaruhi fungsi penting seperti tekanan darah dan kadar denyutan jantung.

Kedua-dua keadaan itu menyebabkan wanita berumur 21 tahun tersebut sentiasa keletihan dan menanggung kesakitan yang teruk.

"Doktor tidak dapat tentukan punca yang menyebabkan semua kesakitan ini, tetapi saya diberitahu ia mungkin tidak akan sembuh. Keadaan tersebut benar-benar mengubah hidup saya.

"Kini saya sentiasa rasa letih, lemah dan sakit ini semakin teruk dari masa ke masa.

"Rutin tidur juga mulai berubah. Setiap malam, saya perlu menjalani rawatan intravena untuk nutrisi dan ubat-ubatan melalui saluran pusat, tiub yang disambungkan ke urat besar di jantung.

"Proses ini mengambil masa hingga empat jam sebelum dapat memejamkan mata. Namun hakikatnya, saya masih susah nak tidur disebabkan kesakitan melampau dan berterusan," katanya yang gemar menari.

Tammie disahkan menghidap beberapa keadaan jarang yang sukar diubati. — tamzfight

Padam media sosial

Biarpun kini hidupnya penuh dengan cabaran, semangat wanita berkenaan tidak pernah luntur.

Kongsinya lagi, sebelum jatuh sakit, beliau menyimpan hasrat untuk bergelar doktor.

Begitu tekadnya untuk mengejar impian, pada usia 16 tahun, beliau sanggup memadamkan semua aplikasi media sosial enam bulan sebelum peperiksaan N-Level, bagi memberi fokus terhadap pelajaran.

“Pada masa itu, purata masa skrin harian saya hanya 30 minit,” katanya sambil ketawa.

Pengorbanan membuahkan hasil apabila beliau lulus dengan cemerlang di Kranji Secondary School pada 2020, seterusnya diterima masuk ke kursus diploma sains bioperubatan di Singapore Polytechnic pada 2021.

Malang buat Tammie apabila pada tahun sama, penyakitnya menghalang beliau daripada menamatkan pengajian tersebut sebelum sempat bermula.

Tammie bagaimanapun enggan menyerah. Pada 2023, beliau melengkapkan kursus dalam imunologi daripada Harvard Medical School secara dalam talian.

Tammie ketika bermain jet ski di Bintan, Indonesia pada 2019 sebelum jatuh sakit. — tamzfight

Beliau juga berpeluang menyertai pasukan pakar bedah di Hospital Besar Ng Teng Fong, menyaksikan pembedahan dengan perspektif baharu, yakni sebagai seseorang yang pernah melalui prosedur sama sebagai pesakit.

“Ia sangat menyeronokkan, berada di sebalik tabir adalah sangat menarik kerana akhirnya anda nampak bagaimana semuanya berfungsi,” kongsinya.

Pada tahun sama, Tammie didiagnosis dengan pankreatitis dan bertarung dengan sepsis sebanyak tiga kali.

Namun, jiwa wanita itu kuat dan tidak pernah melepaskan impian untuk menyumbang dalam bidang perubatan.

Meskipun tubuh 'mengkhianatinya', Tammie yang menghidap penyakit autoimun tetap berusaha memberi inspirasi kepada individu lain.

Ditanya sama ada beliau sudah benar-benar meninggalkan impian untuk menjadi doktor, ujar Tammie, ia bukan sesuatu yang mustahil.

Namun situasi ketika ini akuinya, sangat memenatkan.

Beliau berharap lebih ramai pihak akan menyedari kesulitan dihadapi individu yang hidup dengan penyakit kronik. — tamzfight

Kumpul dana

Melalui aplikasi TikTok miliknya, beliau yang memiliki lebih 200,000 pengikut berkongsi tentang kehidupan seharian, kesakitan dialami dan perjuangan untuk meneruskan hidup.

"Apabila di luar, orang sering memandang dengan penuh persoalan, tertanya-tanya tentang tiub yang ada pada hidung saya.

"Ini juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Apa yang dikongsikan bukan hanya tentang saya.

"Ia juga untuk mengingatkan orang ramai sebenarnya ada ramai individu yang menghidap penyakit kronik di sekeliling kita yang berasa tersisih," ujarnya tersenyum.

Tammie dalam pada itu memaklumkan beliau melancarkan pengumpulan dana bertujuan membantu pesakit dengan penyakit kronik.

Setakat ini, lebih S$23,000 (RM76,000) berjaya dikumpul untuk organisasi seperti Make-A-Wish dan Rare Disorder Society of Singapore.

Beliau berharap agar lebih ramai pihak akan menyedari kesulitan dihadapi individu yang hidup dengan penyakit kronik.

"Masyarakat perlu lebih prihatin terhadap mereka yang sedang berjuang dengan penyakit yang tidak kelihatan," luahnya.

Dengan semangat tinggi dan tekad yang tidak goyah, Tammie terus melangkah ke hadapan, memberi inspirasi kepada ramai dengan ketabahan dan keberaniannya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram