
MINGGU lalu menyaksikan Kuala Lumpur menjadi tumpuan utama dengan pelbagai acara bazar Ramadan yang menggabungkan tradisi, budaya dan keusahawanan.
Antara acara yang menarik perhatian termasuklah StarVendors KL Mega Raya Fest 2025 yang berlangsung pada 20 hingga 24 Mac, Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya 2025 (21 hingga 24 Mac), Gerobok Biru Gegak Gempita Raya 2025 (14 hingga 26 Mac) dan Riuh Raya Kita (19 hingga 23 Mac).
Acara jualan besar-besaran itu kini dianggap sebagai fenomena luar biasa, menarik ratusan ribu pengunjung dari seluruh negara.
Festival beli-belah tahunan ini bukan sahaja menjadi tumpuan peminat fesyen dan gaya hidup, malah turut membantu merancakkan ekonomi usahawan tempatan.
Pengunjung di festival raya diadakan di Kuala Lumpur merangkumi pelbagai lapisan umur. — Instagram/absolutbazaar
Apabila berbicara tentang festival, pastinya yang menjadi perbincangan adalah pertambahan jumlah kenderaan dan tempat letak kenderaan.
Namun melihat situasi pada tahun ini, nampaknya segelintir rakyat Malaysia dikatakan tidak kisah untuk menghadap kesesakan lalu lintas yang berjam-jam lamanya.
Itu tidak termasuk 'episod' mencari parkir di lokasi selamat. Sehingga ada yang sanggup meletakkan kenderaan di tepi jalan raya dan berjalan kaki sejauh tiga kilometer (km) atau kira-kira 45 minit hanya untuk merasai sendiri kemeriahan tersebut.
Begitu dahsyat penangan bazar raya kali ini!
Kesemua acara pada tahun ini menampilkan kehadiran begitu ramai personaliti terkemuka. — Instagram/absolutbazaar
Selebriti kesayangan
Festival raya ternyata bukan sekadar destinasi membeli-belah tetapi juga menjadi pentas pertemuan antara peminat dan selebriti.
Kesemua acara pada tahun ini menampilkan kehadiran begitu ramai personaliti terkemuka yang turut mempromosikan produk di gerai jualan.
Jadi tidak hairanlah, terdapat juga pengunjung mengakui tujuan mereka ke acara tersebut adalah semata-mata bertemu artis kesayangan.
Bagi peminat tegar, peluang bertemu empat mata dengan selebriti yang selama ini hanya dilihat di kaca televisyen atau media sosial pastinya menjadi momen yang tidak boleh dilepaskan.
Segelintir rakyat Malaysia dikatakan sanggup menghadap kesesakan lalu lintas untuk memeriahkan acara bazar raya. — StarVendors
Pengunjung segenap lapisan
Berkesempatan hadir ke StarVendors KL Mega Raya Fest 2025 yang diadakan di KL Base Exhibition Center, Sungai Besi, Kuala Lumpur, Majoriti sendiri menyaksikan pengunjung yang hadir merangkumi dari sekecil-kecil bayi sehinggalah golongan warga emas.
Menawarkan bukan sahaja jualan berbuka puasa, festival berlangsung selama 80 jam tanpa henti itu turut menyajikan kelengkapan raya seperti pakaian, barangan kecantikan, kuih raya dan dekorasi rumah selain persembahan istimewa penyanyi jemputan.
Dirasmikan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Ahad lalu, lebih 50 artis dan pempengaruh menyertai festival itu sebagai vendor termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Vanidah Imran, Salina Saibi, Jue Aziz dan Ako Mustapha.
Persembahan istimewa kumpulan De Fam menghangatkan suasana di Absolut Bazaar. — Instagram/absolutbazaar
Menurut Pengasas dan Pengarah Urusan Starvendors, Ifa Raziah, acara tersebut berjaya menarik sekitar 258,000 pengunjung meskipun beroperasi di lokasi baharu iaitu di KL Base Exhibition Center, Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Beliau turut berkongsi cabaran besar yang dihadapi, terutama disebabkan lokasi berkenaan yang tidak diadakan dalam bangunan dan kekurangan kemudahan asas seperti elektrik, air serta akses pengangkutan awam.
Akui penyanyi, pelakon dan pengacara itu, biar pun menghadapi kekurangan tersebut, Ifa Raziah menunjukkan keberanian luar biasa untuk mengambil risiko dengan menganjurkan acara besar di lokasi tersebut.
"Ini adalah cabaran yang sangat besar. Tempat yang bukan dalam bangunan, tiada elektrik, air, kemudahan seperti MRT (Transit Aliran Massa), LRT (Transit Aliran Ringan) dan kemudahan awam lain, tetapi kami berjaya menarik pengunjung untuk datang ke KL Base ini.
"Di StarVendors, saya lihat kuasa membeli masih kuat. Buktinya, vendor-vendor terlibat tidak mengadu tentang masalah jualan. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar," katanya kepada Majoriti.
StarVendors KL Mega Raya Fest 2025 dirasmikan Fahmi (tengah) pada Ahad lalu. — StarVendors
Namun di sebalik kejayaan tersebut, Ifa Raziah diuji dengan masalah kesihatan sehingga terpaksa dikejarkan ke sebuah pusat perubatan di sini akibat tekanan darah rendah dan keletihan melampau.
Meskipun sudah dibenarkan pulang pada Selasa lalu, usahawan itu berkata, beliau masih perlu menjalani rawatan semula berikutan bacaan jantungnya yang kurang stabil.
"Sepanjang persiapan StarVendors KL Mega Raya Fest 2025, jadual terlalu padat. Saya tidak cukup rehat dan hanya tidur dua hingga tiga jam saja.
"Sistem badan saya jadi down. Sebanyak mana pun bekerja, sekuat mana pun kita, waktu rehat kena cukup dan pemakanan kena jaga," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram