
PELAKON, Faye Kusairi meluahkan kekecewaan selepas kereta jenis Proton Ezora miliknya rosak teruk akibat dihempap bumbung balkoni kondominium didiaminya.
Menurut Faye, kejadian pada Rabu sekitar pukul 4 petang itu berlaku apabila bumbung balkoni dari tingkat tiga bangunan tersebut roboh, berkemungkinan besar disebabkan kayu bumbung yang sudah reput atau lama.
Akibatnya, konkrit berat dan kayu jatuh menimpa kereta Faye dan beberapa kenderaan milik jirannya.
BACA LAGI: [VIDEO] Ibu tak sangka ada hikmah anak baring waktu kereta kena hempap pokok di Rawang
BACA LAGI: [VIDEO] Deretan kereta rosak kena hempap bumbung runtuh di Kuchai Lama
Lebih mendukacitakan ujar Faye, ujian itu menimpanya menjelang empat hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri.
"Aku ni sedihlah, mana lagi dah dekat raya, perlu pakai duit yang banyak, kita ini lambat lagi nak masuk set penggambaran baharu," tulisnya menerusi ruangan kapsyen di Instagram miliknya, fayekusairi pada Rabu.
Bumbung balkoni dari tingkat tiga kondominium kediaman Faye roboh pada Rabu. — Instagram/fayekusairi
Faye atau nama lengkapnya, Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi, 38, berkongsi beberapa foto memaparkan kerosakan pada kenderaannya termasuk cermin hadapan yang pecah teruk.
Meskipun reda dengan kejadian itu, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku itu memberitahu, kereta tersebut banyak berjasa dalam rutin hariannya, termasuk mencari rezeki dan menghantar anak ke sekolah.
Apatah lagi, kejadian itu terjadi di saat perniagaannya tidak berjalan dengan lancar.
"Berniaga pun sendu ketika Ramadan ini. Yalah, nasi ayam bukan sejenis makanan malam, lebih sesuai untuk makan tengah hari.
"Mana lagi kereta ini juga aku nak pakai untuk cari rezeki, hantar anak ke sekolah, nak balik kampung dan berjalan tapi aku reda," ungkapnya.
Beliau dalam pada itu turut menafikan spekulasi mendakwa kerosakan keretanya ada kaitan dengan hutang ah Long selain meminta orang ramai menghentikan spekulasi negatif terhadap dirinya.
“Sudah-sudahlah yang mana kata hutang ah long ke, orang khianat atau apa-apa yang negatif.
“Aku ini manusia jenis lambat lagi kacau orang, buat onar ke buat jahat. Aku ini betul-betul buat hal sendiri saja," jelas beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram