[VIDEO] Peniaga Festival Mega Raya Bangi 2025 mengamuk salahkan MPKj, rupanya penganjur tiada kelulusan


  • Massa
  • Khamis, 06 Mac 2025

Tangkap layar video yang dimuat naik seorang peniaga jualan Festival Mega Raya Bangi 2025 pada Rabu.

ISU penutupan tapak jualan juadah Ramadan di Festival Mega Raya Bangi 2025 di Bandar Baru Bangi, Selangor menimbulkan kekecohan di media sosial baru-baru ini.

Ia selepas tularnya sebuah video luahan seorang daripada peniaga terlibat yang tidak berpuas hati dengan tindakan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) itu. 

Dalam video itu, wanita terbabit berang apabila tidak dapat meneruskan perniagaannya kerana sudah membuat persiapan penuh tanpa diberi sebarang notis awal.

BACA LAGI: AirAsia pindah semula penerbangan domestik dari Subang ke KLIA2 berkuat kuasa 7 April

BACA LAGI: [VIDEO] Tak puas hati kena tindakan, penguat kuasa DBKL digigit penjaja bazar Ramadan tanpa lesen

Dia pada masa sama menunjukkan keadaan khemah jualan yang ditutup dan didakwa dilakukan oleh pihak MPKj. 

Susulan itu, MPKj menjelaskan bahawa penutupan itu dilakukan kerana tiada sebarang permohonan diterima serta tiada kelulusan dikeluarkan.

"Merujuk video tular pada 5 Mac 2025, pihak MPKj ingin memberikan maklum balas berhubung isu Festival Mega Raya Bangi 2025 anjuran syarikat H.I.S Global Resources.

"Permohonan penganjuran hanya melibatkan festival raya bagi jualan barangan am dan keperluan hari raya sahaja manakala aktiviti gerai juadah Ramadan melibatkan penjualan makanan dan minuman tiada sebarang permohonan diterima serta tiada kelulusan dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. 

Dalam pada itu, pihak MPKj juga masih belum menerima sebarang bayaran permit perniagaan sementara bagi aktiviti tersebut daripada pihak penganjur seperti mana yang tular di media sosial.

Menurutnya, khemah-khemah tersebut dibuka sendiri oleh pihak penganjur dan bukan dilaksanakan oleh pihak MPKj.

"Peniaga-peniaga yang terlibat juga sudah ditawarkan untuk berpindah ke lokasi-lokasi gerai juadah Ramadan berhampiran seperti yang telah dimaklumkan kepada pihak penganjur.

"Pihak MPKj komited dalam memastikan kesejahteraan dan kelestarian kawasan ini dijaga serta menyokong perkembangan ekonomi peniaga kecil di kawasan ini," jelasnya.

Sementara itu, pemilik video berkenaan dikatakan datang ke pejabat MPKj dan sudah membuat permohonan maaf atas tindakannya sebelum ini. 

Dia juga mengakui bahawa sudah menerima tawaran untuk menjalankan aktiviti juala di tapak perniagaan berhampiran daripada pihak MPKj. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram