[VIDEO] Pesakit badan besar sulitkan tugas staf hospital, berisiko dirujuk ke zoo untuk imbasan CT


  • Sihat
  • Khamis, 27 Mac 2025

Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk lebih prihatin terhadap gaya hidup dan pemakanan seimbang bagi memastikan kesejahteraan kesihatan jangka panjang.  

SEGELINTIR individu berbadan besar sering beranggapan bahawa keadaan fizikal mereka tidak memberikan sebarang gangguan kepada kehidupan orang lain.

Namun hakikatnya, tidak ramai yang memikirkan impak keadaan tersebut kepada kakitangan hospital.

Kekal berbadan besar boleh mendatangkan kesukaran kepada petugas kesihatan dalam mengendalikan pesakit, terutamanya apabila mereka berada dalam keadaan sakit.

BACA LAGI: Obesiti bukan hanya berat badan, risiko buah pinggang rosak, anak muda ramai obes sebab pemakanan

BACA LAGI: Golongan budak U lebih berisiko terjerumus ke 'lembah' obesiti

Sama seperti kes dikongsikan seorang pengguna aplikasi TikTok menerusi akaun asmadinadzir pada Rabu, yang memberi gambaran jelas tentang kesulitan itu.

Menerusi hantaran tersebut, beliau yang juga seorang petugas kesihatan berkongsi pengalaman menguruskan seorang pesakit dengan berat lebih 200 kilogram (kg) yang dihantar untuk menjalani imbasan CT.

Pesakit tersebut terpaksa diangkut menggunakan trak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dipercayai kerana kenderaan hospital tidak dapat menampung saiz tubuhnya.

Pesakit berbadan besar berisiko menambah beban kepada petugas kesihatan.

"Kesedaran kepada semua, orang selalu cakap gemuk is awesome kan? Bagi kami petugas kesihatan, sangat tidak awesome.

"Di unit kecemasan tidak mengapa sebab ramai lelaki, tapi kalau di wad kasihan jururawat nak buat sponging (teknik lap badan pesakit menggunakan kain yang dicelup air suam) atau tukar lampin pakai buang," tulisnya menerusi ruangan kapsyen.

Menjengah ke ruangan komen pula, kebanyakan pengguna TikTok yang juga kakitangan kesihatan turut berkongsi cabaran masing-masing dalam mengendalikan pesakit berbadan besar.

"Saya staf kesihatan, hari-hari tolak pesakit naik kerusi roda. Ada yang berat lebih 100 hingga 150kg, lama-lama tulang belakang saya makin bengkok.

"Kena rujuk bahagian ortopedik sebab ganggu prestasi kerja saya di hospital," ujar Medd UGC Creator.

"Pernah dapat pesakit umur 18 tahun berat 205kg tapi tak lepas nak buat imbasan CT. Pindahkan keluar tapi tak tahu dirujuk ke mana. Kena cari mesin imbasan yang zoo punya," kata florence.

Tidak hanya itu, rata-rata warga maya juga menyuarakan kebimbangan berhubung situasi itu dan mengakui kes yang dikongsikan asmadinadzir menjadi motivasi untuk mereka menurunkn berat badan.

Pengalaman itu turut memberi peringatan kepada masyarakat untuk lebih prihatin terhadap gaya hidup dan pemakanan seimbang bagi memastikan kesejahteraan kesihatan jangka panjang.  

Difahamkan, pesakit yang memiliki tubuh badan besar kebiasaannya akan dipertimbangkan untuk menggunakan mesin imbasan CT di zoo yang digunakan apabila merawat gajah, badak dan haiwan lain.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram