Purata wanita bercakap lebih 21,000 perkataan sehari, beza 3,000 daripada lelaki - Kajian


  • Relaks
  • Khamis, 27 Mac 2025

Wanita dalam kumpulan umur 25 hingga 65 tahun bercakap purata 21,845 perkataan sehari. — Gambar hiasan

WANITA lebih banyak bercakap berbanding lelaki? Topik itu acap kali menjadi topik perbualan dalam kalangan masyarakat.

Kajian terkini daripada Universiti Arizona mencabar tanggapan tersebut dengan menunjukkan bahawa kedua-dua jantina, secara purata bercakap jumlah perkataan yang hampir sama setiap hari.

Pada 2007, penyelidik Universiti Arizona mengkaji jumlah perkataan yang diucapkan lelaki dan wanita serta mendapati kedua-duanya bercakap dengan kadar serupa. 

BACA LAGI: Jarak usia pasangan 7 tahun lebih muda, adakah Erra Fazira bakal ikuti jejak langkah Che Ta, Neelofa dan Intan Ladyana?

BACA LAGI: Wanita semakin berdikari, kos kahwin cecah RM14,000 punca trend perkahwinan di Malaysia semakin menurun?

Walau bagaimanapun, kajian lebih mendalam pada tahun-tahun terkini memberikan penemuan yang berbeza. 

Kajian itu menunjukkan bahawa perbezaan antara wanita dan lelaki hanya kelihatan dalam kumpulan umur tertentu.

Group of Indonesian men working at office.

Perbezaan jantina yang ketara dalam jumlah perkataan hanya berlaku dalam kalangan individu berumur 25 hingga 65 tahun. 

Pasukan penyelidik universiti berkenaan menganalisis hampir 630,000 rakaman daripada 22 kajian dijalankan di empat negara, melibatkan 2,197 peserta, yakni empat kali lebih ramai berbanding kajian dilakukan pada 2007. 

Menurut penulis bersama kajian tersebut, Colin Tidwell, mereka ingin menguji sama ada andaian bahawa wanita bercakap lebih banyak berbanding lelaki benar-benar sahih.

Kajian tersebut yang diterbitkan dalam Journal of Personality and Social Psychology mendapati bahawa perbezaan jantina yang ketara dalam jumlah perkataan hanya berlaku dalam kalangan individu berumur 25 hingga 65 tahun. 

Wanita dalam kumpulan umur berkenaan bercakap purata 21,845 perkataan sehari atau 3,000 perkataan lebih banyak daripada lelaki.

Namun, mengapa perbezaan itu hanya ketara dalam kalangan orang dewasa? 

Para penyelidik mencadangkan bahawa perbezaan itu ada kaitan dengan tanggungjawab wanita dalam penjagaan anak dan kerja keibubapaan yang masih banyak dipikul oleh mereka. 

Pengarang utama kajian tersebut, Profesor Matthias Mehl berkata, jika faktor biologi seperti hormon adalah penyebab utama, seharusnya terdapat perbezaan besar dalam kalangan orang dewasa yang lebih muda, namun itu tidak berlaku.

Little Asian daughter girl whispering I love you mommy to happy smiling mother in living room

Wanita banyak bercakap ada kaitan dengan tanggungjawab dalam penjagaan anak.

Tingkah laku

Kajian turut menonjolkan kepelbagaian tingkah laku dalam kalangan individu. 

Peserta paling sedikit bercakap iaitu seorang lelaki, hanya mengucapkan 100 perkataan setiap hari, sementara individu paling banyak bercakap, juga seorang lelaki melebihi 120,000 perkataan sehari. 

Ia menunjukkan perbezaan antara individu adalah jauh lebih besar berbanding perbezaan antara jantina.

Selain itu, kajian juga mencatatkan penurunan jumlah perkataan yang diucapkan setiap hari dari 2005 hingga 2018, dengan purata harian menurun dari 16,000 kepada 13,000 perkataan. 

Penurunan tersebut mungkin berkaitan dengan peningkatan penggunaan komunikasi digital yang lebih mengutamakan mesej bertulis berbanding interaksi secara verbal.

Dengan tren yang semakin berkurang dalam jumlah perkataan diucapkan, timbul persoalan bagaimana ia mempengaruhi hubungan sosial, kesihatan dan kesejahteraan kita? 

Untuk mencari jawapan, Matthias Mehl sedang membangunkan alat mengukur seberapa banyak manusia berbual, sama seperti jam tangan pintar yang mengesan aktiviti fizikal atau tidur.

"Kita tahu berapa banyak tidur dan senaman diperlukan, namun tidak tahu berapa banyak yang sepatutnya kita bersosial," ujar Matthias. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram