Dilema pulang beraya kampung suami atau isteri, kekalkan tradisi bergilir atau mengalah demi kebahagiaan pasangan?


  • Massa
  • Selasa, 25 Mac 2025

Suami isteri perlu elak bersikap pentingkan diri sendiri dan memahami situasi masing-masing agar pergaduhan berkaitan giliran pulang ke kampung beraya tidak timbul. — Gambar hiasan/Freepik

MENJELANG perayaan giliran pulang ke kampung suami atau isteri terlebih dahulu antara perdebatan lazim dalam kalangan masyarakat.

Bukan setakat sesi luahan bersama ahli keluarga ataupun teman rapat, dilema berkenaan kini turut 'diluahkan' di media sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi.

Satu antaranya pengguna Threads, @Fizzkasyah, yang berkongsi dilema mengenai giliran balik kampung untuk menyambut Syawal baru-baru ini.

BACA LAGI: 'Sentuhan berlebihan tanda ayah sayang', ramai setuju bapa pegang paha anak perempuan tidak normal

BACA LAGI: [VIDEO] 'Takpe cikgu teman, cikgu ada', guru muda tukar cara mengajar bantu pelajar lawan rasa takut dalam kelas

Dalam hantaran tersebut, beliau menceritakan bagaimana isterinya mula memberi petanda mahu pulang ke kampungnya sendiri, sedangkan jika mengikut giliran, tahun ini sepatutnya mereka beraya di kampung Fizzkasyah.

Tambah beliau, kampungnya lebih sederhana dan sunyi berbeza dengan kampung isteri suasananya lebih meriah.

Walaupun ingin mengikut giliran seperti yang telah dipersetujui, namun pada masa sama beliau ingin menjaga hati isteri tersayang.

Keadaan itu menyebabkannya berbelah bahagi antara tanggungjawab terhadap ibu bapa dan kebahagiaan isteri.

Hantaran berkenaan mendapat perhatian warga maya yang memberikan pelbagai pandangan.

"Sebagai suami, lebih baik utamakan kebahagiaan isteri dan anak-anak. Kadang-kadang perasaan sendiri boleh diketepikan. Jika jelaskan dengan baik kepada ibu bapa, mereka akan faham," kata pengguna platform itu, @granelyst.

Namun, ada juga yang tegas mempertahankan konsep bergilir.

"Sudah sembilan tahun bergilir dan tiada masalah. Apabila berkahwin, kita juga berkahwin dengan keluarga pasangan. Jika faham perkara ini, insya-ALLAH, tidak akan pentingkan diri sendiri dan masalah ragam balik kampung tidak akan timbul.Semua pihak berhak merasai suasana raya bersama," ujar @mieja_ibrahim.

"Mengalah untuk kali ini, tetapi jangan biasakan. Jika dia (isteri) ada sifat empati, tidak kira meriah atau tidak, Keluarga suami juga berhak untuk beraya dengan anak dan cucu mereka," tulis @nur_shah_y.

Sebaliknya, @nabeelahml yang pernah berada dalam situasi isteri Fizzkasyah berkata, hantaran itu memberi kesedaran kepada dirinya.

"Saya sama seperti isteri awak. Ibu bapa mertua saya sudah tiada dan sebab itulah saya sedang main tarik tali dengan suami untuk mengajaknya beraya di kampung belah saya. Tetapi, awak membuatkan saya sedar dan lebih memahami suami. Walaupun hambar, ia tetap rumahnya. Terima kasih untuk hantaran ini," komen beliau.

Lebih menarik, ada yang berkongsi cara tangani isu terlibat.

"Dulu kampung suami hambar dan belah saya pula meriah. Daripada saya pendam perasaan saya buat haruk juga dekat belah suami. Sekarang, dua-dua kampung meriah!," kata @syabilamohamad.

Dilema balik kampung setiap kali menjelang hari lebaran bukanlah perkara baharu. Namun, perbincangan ini menunjukkan betapa pentingnya toleransi dan komunikasi dalam rumah tangga agar kebahagiaan semua pihak dapat dijaga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram