
ENDOMETRIOSIS merupakan penyakit ginekologi kronik yang bersifat radang dan bergantung kepada hormon, memberi kesan besar terhadap kehidupan wanita, khususnya di tempat kerja.
Penyakit tersebut menjejaskan sekitar 10 peratus wanita dalam usia reproduktif, dan kajian terbaharu di Britain mendapati bahawa ia turut mempengaruhi pendapatan mereka.
Menurut kajian Pejabat Statistik Kebangsaan Britain, wanita yang menghidap endometriosis mengalami penurunan pendapatan dari semasa ke semasa.
Kajian menggunakan data tanpa nama daripada lebih 55,000 wanita di England, United Kingdom mendedahkan bahawa dalam tempoh satu hingga lima tahun selepas diagnosis, purata gaji wanita dengan endometriosis menurun sebanyak £56 (kira-kira RM320) sebulan dalam tempoh empat hingga lima tahun selepas penyakit itu didiagnosis.
Selain itu, kemungkinan untuk mengekalkan pekerjaan juga berkurangan dengan ketara.
Dalam tempoh yang sama, kadar pekerjaan dalam kalangan wanita menghidap endometriosis menurun sebanyak 2.7 peratus.
Data antara April 2016 hingga Disember 2022 menunjukkan trend sama dalam kalangan wanita berusia 25 hingga 54 tahun yang didiagnosis di hospital awam.
Penyakit kurang didiagnosis
Bagaimanapun, cabaran utama penyakit tersebut adalah ia sering tidak didiagnosis dalam tempoh yang singkat.
Proses mendapatkan diagnosis endometriosis memakan masa panjang dan penuh kesukaran.
Walaupun telah didiagnosis, ramai wanita menghidap endometriosis terpaksa mengurangkan waktu bekerja atau menerima pekerjaan dengan gaji lebih rendah akibat kesan penyakit itu.
Simptom penyakit berbeza-beza bagi setiap individu dan boleh dipengaruhi faktor genetik imun serta persekitaran. — Gambar hiasan
Endometriosis merangkumi simptom haid yang berat, sakit pelvis, sakit belakang, keletihan kronik dan dalam beberapa kes, masalah kesuburan.
Simptom penyakit berbeza-beza bagi setiap individu dan boleh dipengaruhi oleh faktor genetik imun serta persekitaran.
Sehingga kini, tiada penawar muktamad bagi endometriosis dan ia boleh berulang walaupun selepas pembedahan.
Rawatan utama yang tersedia bertujuan mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan, seperti terapi hormon berterusan yang menyekat haid bagi memperlahankan perkembangan penyakit.
Di tempat kerja, ramai wanita memilih untuk berdiam diri mengenai keadaan mereka kerana bimbang akan stigma serta kurangnya kesedaran dalam kalangan majikan dan rakan sekerja.
Menurut laporan Menstruation and Support at Work oleh Chartered Institute of Personnel and Development, sebanyak tujuh peratus wanita menghidap endometriosis merasakan mereka telah didiskriminasi di tempat kerja kerana simptom haid.
Lebih membimbangkan, tiga peratus daripada mereka mengakui telah berhenti kerja akibat kurangnya sokongan daripada majikan.
Sokongan tempat kerja
Syarikat perlu mengambil langkah lebih proaktif dalam memahami endometriosis dan menghapuskan stigma berkaitan gangguan kesihatan haid.
Penyediaan kemudahan seperti perabot ergonomik, jadual kerja yang fleksibel dan kemudahan bekerja dari rumah boleh membantu pekerja yang terkesan.
Sokongan yang lebih baik di tempat kerja bukan sahaja dapat meningkatkan kesejahteraan wanita dengan endometriosis, malah menyumbang kepada peningkatan produktiviti mereka.
Persekitaran kerja lebih inklusif dan mesra kesihatan wanita amat diperlukan bagi memastikan setiap pekerja dapat berfungsi secara optimum tanpa dibatasi oleh masalah kesihatan mereka. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram