[VIDEO] Bertengkar dengan ibu hanya kerana warna baju raya, wanita tak sangka ibu pergi seminggu sebelum Syawal


  • Relaks
  • Isnin, 24 Mac 2025

Ibu wanita tersebut meninggal dunia seminggu sebelum mereka sempat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama. — Gambar hiasan

SETIAP kali menjelang perayaan Aidilfitri, pemilihan baju raya sedondon sudah menjadi tradisi dalam banyak keluarga khususnya di Malaysia.

Sesetengah keluarga menganggap pemilihan baju raya sebagai sesuatu yang penting untuk mencipta keserasian dalam gambar selain mencerminkan keakraban keluarga.

Namun tidak dinafikan, perbezaan pendapat seperti warna kegemaran berbeza atau keinginan untuk mengikut trend tertentu boleh menimbulkan ketegangan.

BACA LAGI: Daripada beli hanya pakai sekali, konsep sewa pakaian raya pilihan alternatif, elak baju 'terperap' di dalam almari

BACA LAGI: 'Tak mengapa baju raya mahal, pastikan kualitinya cantik luar dan dalam' - Rico Rinaldi

 

 

Topik itu yang dibincangkan menerusi satu segmen pagi kendalian dua penyampai di sebuah stesen radio berbahasa Inggeris baru-baru ini.

Suasana bagaimanapun bertukar hiba selepas mendengar perkongsian diceritakan seorang pemanggil yang dikenali dengan nama Intan.

Intan ditanya sama ada beliau dan keluarga sering merancang untuk pemilihan warna baju raya dan sama ada perkara itu pernah membuatkan mereka sekeluarga bergaduh.

"Saya dan ibu sering pakai baju raya warna sama. Tahun lalu kita ada pergaduhan macam saya nak warna merah jambu sebaliknya ibu nak warna hijau.

"Kemudian saya cakap pada ibu, kalau macam itu ibu pakai hijau dan saya akan pakai warna merah jambu. Selepas itu saya tak bercakap dengan ibu selama seminggu," luahnya dalam panggilan telefon yang turut dimuat naik di TikTok.

Namun, sesuatu yang tidak dijangka berlaku apabila ibunya meninggal dunia seminggu sebelum mereka sempat menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama.

Lebih sayu ceritanya lagi, ketika pulang ke kampung juga Intan mendapati ibunya telah membelikan baju raya berwarna merah jambu untuk mereka berdua gayakan di pagi raya.

"Sehingga kini, saya masih memakai warna hijau setiap kali raya untuk mengenang ibu. Saya sangat rindukan beliau.

"Saya tak tahu sama ada boleh melihat warna merah jambu dengan perasaan yang sama lagi," luahnya sebak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram