Dari Bangi ke Sabah, Afiqah pelopor wanita dalam dunia perlombongan emas


Afiqah menjadi contoh wanita muda yang menceburi bidang perlombongan emas.

CERIA dan bersemangat karakternya. Siapa sangka Afiqah Ahmad Rafi mampu memecahkan streotaip terhadap kemampuan wanita khususnya dalam industri perlombongan.

Berasal dari Bangi, Selangor, gadis berusia 28 tahun itu membuktikan bahawa perbezaan jantina bukanlah penghalang untuk menempuh cabaran dan melaksanakan tugas berat dalam sektor tersebut.

Sebagai ahli geologi perlombongan khusus dalam penerokaan emas, Afiqah bukan sahaja perlu bekerja di persekitaran yang mencabar, malah turut memimpin pasukan dalam melaksanakan operasi kompleks.

BACA LAGI: [VIDEO] Ts 'Aqilah cipta perubahan dunia fesyen elektronik, rekaan unik baju Aina Abdul, Aishah Aziz pentas AJL

BACA LAGI: Jadi contoh klinik kecantikan patuh syariah, Dermalane lantik Ustazah Asma' Harun sebagai penasihat

Afiqah merupakan anak sulung daripada empat beradik.

Afiqah berkata, minatnya terhadap bidang geologi mula bercambah selepas terinspirasi oleh saudaranya yang bekerja sebagai geologis dan kecintaannya terhadap alam sekitar.

Keazaman itu membawanya terbang jauh untuk melanjutkan pelajaran di University of Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat sekitar 2022.

Berpegang pada prinsip bahawa batu dan mineral mempunyai rahsia menarik untuk diterokai, Afiqah lebih memilih mendalami bidang perlombongan.

Katanya, meskipun terdapat pelbagai cabaran perlu dihadapi, namun keterujaan untuk menimba ilmu baharu itu tidak dapat menepis keinginannya.

"Memang tak nafikan kerja ini penat, tetapi pada masa sama ia sangat seronok.

"Saya pilih perlombongan kerana dapat melihat dan sentuh pelbagai jenis batu.

"Banyak ilmu dan kemahiran alam yang boleh saya belajar apabila berada dalam bidang ini," katanya kepada Majoriti.

Tekad Afiqah (tengah) dalam bidang perlombongan bermula ketika melanjutkan pelajaran di luar negara.

Saksama

Menurutnya, tindakan memuat naik video berkonsepkan pendidikan dalam akaun TikTok merupakan antara usaha memberi pendedahan tentang industri perlombongan yang juga boleh diceburi oleh kaum hawa.

Afiqah berkata, keseimbangan jantina dalam sesuatu pekerjaan adalah penting kerana ia membawa kepada kepelbagaian perspektif atau cara berfikir.

Katanya, kehadiran wanita dalam sektor perlombongan bukan sahaja dapat memperkayakan budaya kerja tetapi juga membantu mencipta persekitaran yang lebih inklusif dan progresif.

"Tetapi tetap ada cabaran, antaranya bagaimana saya nak ketengahkan idea tanpa dipandang rendah oleh lelaki atau pekerja lebih tua.

"Saya pekerja paling muda dan sudah pegang jawatan tinggi, jadi ada masa saya perlu jadi lebih tegas.

"Contohnya, kalau pergi ke hutan cari sampel batu untuk perlombongan emas, saya akan tegaskan untuk tidak buang sampah seperti rokok.

"Bagaimanapun, bukan setiap masa saya tegas, ada kalanya perlu bertolak ansur mengikut situasi untuk kelangsungan kerja bersama orang lain," jelasnya.

Sesat jumpa gaung

Bercerita lanjut, Afiqah juga pernah berdepan situasi cemas ketika melakukan operasi pencarian sampel batu di dalam hutan.

Katanya, waktu adalah antara perkara paling kritikal dan sering diambil serius ketika melaksanakan penerokaan hutan.

"Saya dan pasukan juga pernah sesat sebab kebiasaan hutan yang kami teroka tiada laluan khas.

"Jadi, selalunya saya akan tetapkan untuk masuk ke dalam hutan seawal pagi dan keluar sebelum Maghrib.

"Tetapi, ada satu hari itu, kami tidak jumpa jalan keluar dan hanya jumpa gaung. Memang panik dan waktu itulah perlunya kemahiran dipelajari.

"Dalam keadaan tidak ada rangkaian internet itu, kita terpaksa guna alat topografi GPS canggih untuk cari jalan. Alhamdulillah kami berjaya keluar tetapi waktu sudah malam," kongsinya.

Jika diceritakan dari sudut keselamatan, ia sememangnya berisiko lebih-lebih lagi untuk wanita, namun situasi sedemikian juga mengajarnya untuk bertindak lebih rasional dan berani dalam membuat keputusan.

Sebagai ahli geologi berpengalaman lebih empat tahun dan kini berkhidmat di sebuah syarikat perlombongan emas di Sabah, Afiqah bagaimanapun tetap menggalakkan lebih ramai wanita menceburi bidang tersebut.

Ahli geologi memerlukan kemahiran khas untuk menentukan lokasi berpotensi mempunyai emas.

Afiqah juga lebih teruja untuk memilih ahli geologi wanita dalam pasukannya.

"Selalu saya memang galakkan perempuan sebab kerjaya ini masih tabu lagi.

"Ramai beranggapan ini kerja lelaki, tetapi sebenarnya tidak," katanya lagi.

Meskipun begitu, Afiqah tetap menyarankan agar wanita yang bekerja bidang itu untuk mempunyai perancangan tambahan.

"Saya tahu satu hari nanti saya tak boleh masuk hutan selama-lamanya kerana ada komitmen lain seperti bekerluarga.

"Jadi, mungkin 10 tahun akan datang saya akan memilih kerja dalam pejabat atau mungkin bertugas sebagai pensyarah dalam bidang geologi," ujarnya.

Afiqah pada masa sama menekankan bahawa peranan wanita dalam bidang perlombongan dan penerokaan emas perlu diperluaskan lagi di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram