
DUNIA fesyen sekali lagi digemparkan dengan rekaan unik daripada Nur 'Aqilah Zainuddin, pakar elektronik terkenal yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Aiszzy Electronics.
Rekaan uniknya di pentas prestij Anugerah Juara Lagu (AJL39) sebelum ini bukan sahaja mencuri tumpuan para peminat muzik, namun turut mencetuskan fenomena baharu dalam gabungan fesyen dan teknologi.
Pernah tular dengan rekaan baju berasap yang dipakai penyanyi Aina Abdul, Nur 'Aqilah kini menjadi bualan apabila muncul dengan rekaan busana bunga bergerak buat persembahan Aisyah Aziz ketika AJL39.
BACA LAGI: Anak saya tak pernah makan gula-gula gummy sebelum ini — Bapa Mohamad Fahmi
BACA LAGI: Jadi contoh klinik kecantikan patuh syariah, Dermalane lantik Ustazah Asma' Harun sebagai penasihat
Rekaan busana yang dihasilkan oleh Ts 'Aqilah dan pasukannya.
Meskipun tidak berlatarbelakangkan bidang fesyen, wanita berusia 33 tahun itu tetap mempunyai minat mendalam dalam dunia itu.
"Kerjaya saya memang lebih cenderung kepada bidang teknologi dan elektronik.
"Tetapi pada masa sama minat dalam bidang seni dan kreatif pun ada, jadi terhasilnya fesyen teknologi," katanya kepada Majoriti.
Katanya yang mesra dengan nama Teknologis atau Ts 'Aqilah, kariernya bermula sejak 2023 iaitu selepas bekerjasama dengan pereka fesyen terkenal, Zaimi Zulkafli ketika Kuala Lumpur Fashion Week 2023.
Ts 'Aqilah berkata, ia merupakan kali pertama buatnya dalam menghasilkan busana dengan elemen elektronik.
Ts 'Aqilah (dua dari kanan) dan pasukan Aiszzy Electronics.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa ia merupakan proses yang rumit terutama bagi memastikan keselesaan dan keselematan si pemakainya.
"Cabaran utama biasanya kalau kita buat fesyen teknologi ini merupakan keselesaan kepada pemakai.
"Maksudnya, kita nak sistem itu berfungsi dengan baik tanpa menjejaskan keselamatan pemakai itu.
"Tak mahu tiba-tiba terbakar atau sistem itu mengganggu semasa persembahan pemakai, dalam konteks khususnya model atau selebriti," jelasnya.
Motor yang dipasang pada busana.
Bercerita lanjut, Ts 'Aqilah dan pasukannya pernah berdepan dengan situasi cemas iaitu ketika menghasilkan busana untuk dipakai oleh model pada Kuala Lumpur Fashion Week 2024.
Katanya, detik genting iitu berlaku apabila satu busana dihasilkan mereka hampir terbakar dan mengeluarkan asap yang banyak.
"Ia merupakan momen yang paling tidak dapat dilupakan kerana kami satu pasukan tidak tidur selama dua hari nak siapkan busana itu.
"Ia jadi sangat susah kerana peluang nak gabungkan busana dengan motor-motor elektrik sangat rendah.
"Tetapi, Alhamdulillah kami berjaya hasilkan dan peragakannya sebelum kejadian berlaku.
"Selepas model masuk sahaja ke belakang pentas, baju tersebut tiba-tiba keluar asap macam hampir terbakar, mujur sempat dibawa keluar ketika itu," kongsinya.
Projek seni kreatif dengan elemen elektronik.
Menurutnya, ia juga merupakan waktu sukar baginya terutama tiada lagi sokongan dan dorongan diberikan oleh ibu tersayang.
"Ketika sedang buat kerja waktu itu saya tiba-tiba berhenti dan air mata mengalir sebab biasanya arwah mak ada beri sokongan.
"Tetapi, saya bersyukur rakan-rakan seperjuangan lain prihatin dan bantu beri sokongan moral kepada saya," katanya yang kehilangan ibunya akibat kanser pada Disember 2020.
Proses fesyen teknologi
Berkongsi serba sedikit tentang idea menggabungkan elemen elektronik ke dalam busana, Ts 'Aqilah berkata, ia melibatkan usaha dalam satu pasukan.
Katanya, selain permintaan khas yang dibuat oleh pelanggan, dirinya juga mempunyai minat terhadap alam flora.
"Kebiasaannya saya akan ambil inspirasi daripada alam flora seperti bunga atau awan. Kerana ia sangat kena dengan jiwa saya.
"Macam semua orang tahu, baru-baru ini saya menggerakkan bunga pada baju Aisyah Aziz," tambahnya.
Katanya, selepas idea dihasilkan, mereka akan melakukan proses melakar dan menguji ketahanan sistem tersebut sebelum membangunkan sistem terakhir.
Selain busana, Ts 'Aqilah juga menghasilkan seni kreatif yang berkait dengan elemen interaktif seperti mural.
Bukan itu sahaja, pihaknya turut mencipta produk inovasi lain seperti elektrik Jalur Gemilang.
Projek Elektrik Jalur Gemilang dihasilkan selain busana.
"Projek Jalur Gemilang itu juga memerlukan kira-kira 36 motor untuk buat ia bergerak.
"Dan mungkin dalam masa akan datang, Insya-ALLAH kami akan hasilkan topi bertemakan haiwan, kasut atau lain-lain," katanya.
Ts 'Aqilah pada masa sama memberi saranan kepada para wanita yang mempunyai minat dalam bidang kejuruteraan untuk tidak mudah berputus asa.
"Jangan pernah takut dan ragu kerana bidang ini tak kenal batas jantina.
"Setiap idea dicipta mampu bawa mencipta perubahan besar dengan inovasi yang dibawa untuk negara," pesannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram