Inspirasi seni bina Jaipur, ukiran bunga tiang seri, koleksi raya 2025 simbolik kekuatan, idea trio Mimpikita


(Lima dari kanan) Nurul selepas melancarkan Lebaran Raya 2025 Mimpikita di Bangsar, Kuala Lumpur pada Rabu lalu. — Mimpikita

SIAPA sangka, bermula dari jualan di bazar dan kini menjadi antara jenama fesyen popular di Malaysia, Mimpikita terus cekal mengatur langkah dalam 'mengaut' lebih ramai penggemar fesyen mengikuti jenama itu yang sudah berkecimpung dalam industri fesyen sejak 17 tahun lalu.

Ditubuhkan oleh tiga beradik, Mimpikita bukan hanya sekadar mimpi apabila jumlah penggunanya meningkat saban tahun dek kerana rekaanya yang cantik, klasik dan kekal timeless.

Seperti signatur rekaan mereka yang sarat dengan seni sulaman, setiap koleksi mempunyai kisah tersendiri, disulami dengan nilai budaya tempatan dan elemen seni, menjadikannya pilihan utama bagi mereka mencari rekaan lebih daripada sekadar penampilan luar.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Nurul ketika berucap pada Majlis Previu Eksklusif Lebaran Raya 2025 Mimpikita di Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini. — Mimpikita

Berkongsi kepada Majoriti mengenai koleksi Raya 2025 yang dilancarkan di Bangsar, Kuala Lumpur, Pereka Kreatif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Mimpikita, Nurul Afidah Zulkifli berkata, koleksi itu terdiri daripada dua versi, iaitu Mekar dan Kekal serta Tenang.

Ia mengangkat nilai warisan, ketabahan dan kehidupan tenang melalui reka bentuk yang menggabungkan tradisi dengan moden.

Bagi koleksi lebaran Mekar dan Kekal, beliau yang mesra disapa Nurul menjelaskan bahawa ia diinspirasikan daripada ukiran bunga tiang seri dan motif-motif seni bina dari Jaipur, India. 

"Setiap kali raya, kami menampilkan corak signatur atau eksklusif. Jadi, tahun ini, kami mengambil ilham daripada seni bina di Jaipur dan ukiran bunga tiang seri," kata graduan Kejuruteraan dari Universiti Queensland, Australia itu.

Beliau menambah, Mekar dan Kekal melambangkan sinar dan kecekalan wanita. Setiap motif bunga yang dicipta menggambarkan kekuatan untuk mekar seperti bunga Teratai tidak hanya cantik dipandang, malah berdiri teguh.

Kurung Yasmeen (kiri) daripada koleksi Mekar dan Kekal serta Kurung Kedah Matahari ditawarkan menerusi koleksi Tenang. — Mimpikita

"Butiran sulaman pula menceritakan kisah perjalanan hidup, bermula daripada asal-usul hingga pertumbuhan, sekali gus meraikan kekuatan dan keanggunan wanita yang menghayati setiap fasa kehidupan," jelasnya.

Mengulas mengenai aspek kreatif dalam memimpin dan membangunkan keseluruhan koleksi ini, beliau berkata, koleksi ini adalah tentang kesetiaan pada identiti teras Mimpkita.

"Dari lakaran awal hingga jahitan terakhir, setiap perincian direka dengan teliti untuk mencerminkan signatur sulaman Mimpikita melalui sulaman halus, cetakan eksklusif in-house dan corak yang unik," ujar beliau.

Sementara tu, bagi koleksi Tenang, ia memberi mesej kepada si pemakai untuk menikmati kehidupan sederhana seiring dengan penggunaan fabrik linen dan kapas yang mencerminkan cara berpakaian minimal.

“Raya bukan sekadar tentang sambutan, tetapi juga tentang rasa tenang dengan apa yang digayakan," tambah Nurul.

(Dari kiri) Nurul Afidah, Fatimah Ani Syahira dan Amirah Hanis Zulkifli.

Telagah perkara biasa

Sebagai jenama yang dibangunkan oleh tiga beradik bersama Fatimah Ani Syahira Zulkifli dan Amirah Hanis Zulkifli, pastinya tidak lari daripada cabaran ketika dalam proses menemukan titik pertemuan.

Nurul mengakui bahawa proses penciptaan koleksi tahun ini tidaklah mudah. Perbezaan dalam cara bekerja bersama adik-beradik dan pasukan mereka, yang mana perbezaan ideologi dan cara berfikir sering kali membawa kepada perdebatan.

"Walaupun ada kalanya kami bertelagah, saya melihatnya sebagai sesuatu yang positif. Perbincangan yang hidup membantu kami untuk melihat perkara dari sudut pandang yang lebih luas.

"Tanpa perdebatan itu, mungkin kami tidak akan dapat menghasilkan rekaan yang benar-benar menyentuh hati," ujar Nurul.

Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai cabaran bersama pereka di Mimpikita. Walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam proses kreatif, Nurul menganggap perbincangan itu sebagai satu cara untuk memperkaya hasil karya mereka.

"Saya rasa, semua perniagaan ada cabaran-cabarannya. Tetapi, saya suka kerana benda-benda macam itulah yang membuat kami berfikir dengan lebih luas dan berlapang dada. Dari situ juga, kami dapat menghasilkan rekaan yang cantik dan puas hati," jelasnya.

Kurung Maya merupakan koleksi menjadi kegemaran Nurul. — Mimpikita

Menjawab soalan mengenai koleksi peribadi yang menjadi kegemarannya pula, Nurul memilih sebuah rekaan yang mempunyai sentuhan emosi tersendiri. 

"Satu rekaan yang saya sangat suka adalah baju dengan warna plain dan skirt bunga yang dihiasi dengan sulaman. Motif bunga itu adalah salah satu identiti Mimpikita dan ia mengingatkan saya kepada perjalanan panjang kami. 

"Setiap kali saya melihat rekaan itu, saya teringat akan segala usaha keras yang telah dilakukan selama ini," kata Nurul.

Koleksi Mimpikita dan Kita&Co Raya 2025 kini tersedia untuk dibeli secara dalam talian di mimpikita.com.my dan di butik di Bangsar, Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram