
SEJAK awal penubuhannya, jenama fesyen tempatan, Innai & Co sememangnya dikenali sebagai label yang sentiasa teguh menampilkan elemen tradisi dalam setiap rekaan produk dihasilkannya di samping membawa ciri moden kontemporari.
Komitmen itu turut menyaksikan jenama tersebut cukup sinonim dengan salah satu tekstil yang menjadi identiti Malaysia iaitu Batik.
Malah, lebih membanggakan, Innai turut dipilih jenama mewah Amerika Syarikat, Coach untuk melakukan kolaboratif sekitar April 2024.
BACA LAGI: Inovasi meja ergonomik anak muda dari Pulau Pinang, tak gentar persaingan, teruskan legasi keluarga
BACA LAGI: Hobi berkhemah jadi bisnes, Kemrent Empire sasar 'one-stop centre' barangan aktiviti perkhemahan
Kerjasama tersebut menyaksikan Innai yang diterajui Izrin Ismail, 42, mengimaginasikan semula batik Malaysia ke dalam acuan Coach di bawah satu koleksi kapsul istimewa.
Koleksi Coach itu menyaksikan tawaran beg pelbagai dan pakaian sarat dengan motif batik Malaysia sebagai asas utama rekaan.
Kejayaan tersebut seterusnya menyaksikan Innai mula memperkenalkan ruang khusus bagi jualan pakaian batik di butiknya yang terletak di Plaza Damas, Kuala Lumpur bermula pada awal Februari lalu.
Berkongsi kepada Majoriti, Izrin berkata, pengenalan pembaharuan di ruangan seluas 74 meter persegi di butiknya itu bertujuan bagi mempertengahkan lagi produk batik di bawah jenama tersebut.
Ujarnya, suntikan elemen batik itu meliputi pengenalan pilihan pakaian seperti pario, kaftan, blaus dan termasuk kepada signatur baju kurungnya.
"Sekarang ini, kami hanya mencuba membuat pengguna lebih meminati batik dengan menggabungkannya bersama koleksi pakaian baju Nusantara kami yang disulam menggunakan tangan.
"Kami mendapat banyak maklum balas positif daripada pelanggan," katanya yang turut berkongsikan mengenai perancangan untuk memperkenalkan batik lelaki pada tahun ini.
Mengulas mengenai keunikan cuba diketengahkan bagi memastikan rekaannya tampil menyerlah berbanding produk batik lain dalam pasaran, Izrin berkata, mereka turut melakukan inovasi dengan memasukkan elemen tradisi terbabit ke dalam pelbagai jenis pakaian termasuk pakaian malam dan gaun berlapis atau lining dress.
Izrin berpandangan, pengguna perlu diberikan pendedahan mengenai proses penghasilan produk pakaian batik yang menurutnya melibatkan kerja seni halus.
Selain itu menurutnya, batik juga dilihat sesuai untuk diserapkan ke dalam pakaian percutian atau lebih dikenali sebagai resort wear.
"Tetapi perlu saya katakan bahawa pengguna di Malaysia lebih menerima baju batik yang digunakan secara tradisional.
"Mereka masih suka baju kurung atau pakaian kaftan," jelasnya.
Innai, sebagai jenama fesyen, kini sudah pun mencecah usia lebih dua dekad.
Perniagaan batik ini diasaskan ibu Izrin pada 2003, sebelum legasinya disambung olehnya beberapa tahun kemudian.
Pada hari ini, Innai diuruskan sepenuhnya oleh Izrin bersama suami, Marcus Mikhail Low.
Menyentuh mengenai harga Batik Malaysia yang disifatkan sebagai agak mahal berbanding pilihan lain dalam pasaran, Izrin berpandangan perkara tersebut disumbangkan pelbagai faktor.
Namun, apa yang lebih penting menurutnya, pengguna perlu diberikan pendedahan mengenai proses penghasilan produk pakaian tersebut yang menurutnya melibatkan kerja seni halus.
Antara pakaian yang ditampilkan di butik Innai. — Innai
"Pengguna perlu faham apabila anda membeli batik, anda sebenarnya sedang menghargai sebuah seni. Lagi pula, rekaan dibeli itu adalah unik dan tiada salinan lain yang sama.
"Jadi apabila anda membeli batik, anda sebenarnya seperti sedang melabur terhadap sebuah seni pada baju yang anda pakai," ujarnya.
Berbeza dengan produk lain lebih murah dalam pasaran, Izrin berkata, produk batik Malaysia lazimnya menggunakan kaedah lebih rumit atau dikenali sebagai proses mencanting.
"Untuk kaedah ini, artis selalunya melukis dengan teknik lukisan bebas. Jadi, mereka tidak menggambar benda.
"Artis tidak mempunyai 'template' untuk dikerjakan. Jadi memang ikut naluri artis itu daripada segi pemilihan bunga, motif dan warna.
"Jadi, saya rsa pengguna perlu didedahkan bagaimana batik sebenarnya dibuat dan dengan itu mereka akan menghargainya," jelas Izrin.
Sementara itu, antara yang turut memberikan sentuhan kreativiti terhadap produk batik Innai ialah Samsuddin Abu Bakar.
Digelar sebagai Maestro Batik, graduan Sarjana Tekstil dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam seni tersebut.
Malah, hasil kerja tangan Samsuddin sebelum ini turut pernah diperagakan beberapa nama terkenal bukan sahaja dalam kalangan individu tempatan, bahkan juga dari luar negara.
Antara individu tersohor pernah menggayakan batik dihasilkan kehalusan seni tangannya adalah seperti kerajaan Brunei, Sultan Hasanal Bolkiah, Celine Dion, Sarah Brightman dan Lionel Richie.
Samsuddin (kiri) turut terlibat secara langsung dalam menghasilkan produk kolaboratif antara Innai dan Coach. — Innai
Menyentuh mengenai penerimaan Batik dalam kalangan generasi muda, Samsuddin mengakui seni tersebut kurang mendapat perhatian kerana imejnya yang kelihatan sangat tradisional.
"Tetapi apa yang perlu kita lakukan adalah untuk merevolusikan batik, supaya ia kelihatan lebih kontemporari dan minimal, sehingga ia lebih menyukai anak muda.
"Saya rasa itulah yang harus kita lakukan. Tetapi ia bukan proses yang mudah," katanya yang turut terlibat dalam kolaboratif Innai dan Coach.
Disebabkan itu, beliau berkata, produk Batik ditampilkan Innai sangat menekankan elemen kontemporari antaranya daripada segi pemilihan warna lebih cerah.
Ujarnya, pendekatan terbabit dilihat jauh berbeza dengan batik tradisional yang lazimnya menggunakan warna lebih gelap atau tebal.
Pada masa sama, daripada segi pemilihan motif bunga, beliau turut tidak menghadkan sumber inspirasinya apabila turut melibatkan penggunaan bunga dari rantau selain Nusantara termasuk China, Jepun dan negara Barat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram