Lupakan gah Gergasi Merah, kurang tekanan antara sebab Luqie perlu sertai Terengganu


  • Podium
  • Isnin, 03 Mac 2025

Luqman Hakim pernah beraksi dalam skuad simpanan Selangor FC sebelum berkelana ke Eropah beberapa tahun lalu. — Astro Arena

PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin dilaporkan bersedia untuk kembali ke tanah air dengan beraksi bersama pasukan Liga Super bagi menyambung kariernya selepas lima tahun berkelana di luar negara.

Luqman Hakim yang menyertai pasukan Jepun, Yokohama YSCC secara pinjaman tahun lalu masih belum menunjukkan sebarang hasil selepas bermusim-musim berada dalam skuad simpanan KV Kortijk.

Tidak ingin lagi sekadar menghangatkan bangku simpanan, pemain kelahiran Kelantan berkenaan difahamkan mahu menyambung kariernya bersama pasukan tempatan untuk mengembalikan potensi dirinya. 

BACA LAGI: 'Jika bukan Terengganu, Penang & Selangor antara pilihan terbaik Luqman Hakim

BACA LAGI: Dilihat jadi jurufoto Yokohama, penyokong risau Luqman Hakim kena 'scam'

Sabri berminat untuk melihat Luqman Hakim menyarung jersi TFC. — Facebook/Terengganu FC

Bagaimanapun, setakat ini, destinasi pilihannya masih belum dikongsikan dengan ramai beranggapan dia akan memilih Selangor FC yang merupakan kelab terakhirnya sebelum berkelana ke luar negara.

Selain Selangor, keterbukaan Luqman Hakim mahu kembali ke Liga Super menarik minat Terengganu FC (TFC), yang dilaporkan berminat untuk membawanya ke skuad Sang Penyu dengan ia disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Mohd Sabri Abas. 

Terengganu yang membuka pintu luas untuk menerima Luqman Hakim jika rundingan dapat menemui kata sepakat itu disambut baik oleh penyokong Sang Penyu susulan pemain muda itu masih boleh dilentur.

Tidak usah kembali ke kelab lamanya iaitu Gergasi Merah, Majoriti menyenaraikan tiga faktor Terengganu FC menjadi destinasi sesuai untuk Luqman Hakim; 

1) Minit permainan lebih meyakinkan

Akinade yang beraksi sebagai penyerang TFC kurang digemari penyokong Sang Penyu.— Facebook/Terengganu FC

Isu minit permainan menjadi topik hangat dalam perbincangan mengenai masa depan Luqman Hakim. Dengan rekod yang masih belum cukup kukuh di Eropah, ramai berpendapat bahawa menyertai Terengganu boleh menjadi langkah terbaik buatnya.

Hal ini kerana, Sang Penyu masih memberi minit permainan secara sama rata kepada pemainnya khususnya kepada 'ubi' muda yang sedang meningkat naik. Ia salah satu cara untuk mengembalikan keyakinan pemain muda untuk beraksi lebih baik. 

Keyakinan Luqman Hakim boleh merebut minit permainan yang banyak juga boleh berlaku susulan isu kecederaan Ivan Mamut dan prestasi kurang cemerlang Ismahil Akinade serta Nelson Bonilla.

Kelemahan tiga penyerang berkenaan akan memberi peluang kepada Luqman Hakim untuk menyinar sekiranya menyertai Terengganu pada musim depan. Adakah penyokong akan saksikan gandingan Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Luqman Hakim pada musim 2025/2026? 

2) Tiada tekanan berlebihan

Penyokong TFC juga tidak sabar melihat Luqman Hakim bermain untuk mereka. — Facebook/Terengganu FC

Tiada tekanan berlebihan daripada penyokong dilihat sebagai salah satu kelebihan utama sekiranya pemain muda sensasi berkenaan memilih untuk menyertai Terengganu dalam saingan Liga Malaysia musim depan. 

Pemain muda seperti Luqman Hakim memerlukan persekitaran yang kondusif untuk membina keyakinan dan meningkatkan prestasi. Di Terengganu, dia boleh mendapat lebih banyak minit permainan tanpa tekanan melampau daripada penyokong.

Berbanding jika graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu menyertai pasukan berprofil lebih tinggi seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Selangor FC, penyokong akan memberi fokus sepenuhnya untuk melihat perkembangan Luqman Hakim.

Pasukan seperti JDT dan Selangor mempunyai peminat yang sangat fanatik dan mengharapkan kejayaan segera, yang kadangkala memberi tekanan tinggi kepada pemain, terutama yang masih muda dan sedang mencari rentak permainan.

3) Lambakan pemain muda

Terengganu menjadi destinasi ideal buat pemain muda. — Facebook/Terengganu FC

Terengganu dikenali sebagai 'kilang' pemain muda. Lihat sahaja musim ini, skuad Sang Penyu banyak memberi peluang kepada beberapa pemain muda, seperti Safwan Mazlan, Azam Azmi Murad dan Ubaidullah Shamsul.

Dengan struktur pasukan yang memberi tumpuan kepada pembangunan pemain muda, tonggak skuad kebangsaan Bawah 23 tahun itu dijangka mendapat persekitaran yang sesuai untuk mengembangkan bakatnya.

Kehadiran ramai pemain muda dalam skuad bimbingan Badrul Afzan Razali itu boleh memberi kelebihan kepada Luqman kerana dia dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat serta membina keserasian bersama rakan sepasukan yang sebaya.

Selain itu, suasana latihan yang lebih kompetitif dalam kalangan pemain muda juga boleh menjadi faktor penting dalam meningkatkan prestasi Luqman Hakim. Dengan adanya rakan sepasukan yang sama usia, persaingan sihat dapat diwujudkan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram