[VIDEO] Padah berlumba haram, rider Y15 maut rempuh pembahagi jalan di Sungai Buloh


  • 112
  • Ahad, 02 Mac 2025

Aksi ligat sekumpulan penunggang motosikal berlumba secara haram di Kilometer 11.5, Lebuhraya Guthrie arah utara, Sungai Buloh, Selangor pada Sabtu. 

KEGIATAN lumba haram bertukar tragedi selepas seorang 'mat rempit' disahkan maut apabila motosikal ditunggang terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Kilometer 11.5, Lebuhraya Guthrie arah utara, Sungai Buloh, Selangor pada Sabtu. 

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kemalangan membabitkan tiga motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang hilang kawalan sejurus tiba di lokasi kejadian sekitar pukul 3.27 pagi.

“Polis mengesan video tular di media sosial memaparkan aksi menunggang secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kemalangan maut pada 22 Februari lepas.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal pertama bergesel dengan motosikal kedua sehingga menyebabkan kedua-dua mereka hilang kawalan lalu merempuh pembahagi jalan.

“Penunggang pertama tercampak di tengah longkang pembahagi jalan dan penunggang kedua terjatuh di sebelah kanan bahu jalan.

“Kemudian, datang motosikal ketiga dari arah belakang tidak sempat mengelak motosikal pertama dan motosikal kedua lalu terbabas menyebabkan penunggang ketiga terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: Bapa Zulfarhan sedih lihat kes buli berulang, ramai desak rombak serta-merta pengurusan tertinggi UPNM

BACA LAGI: Tular laporan kronologi kes, ramai desak klinik dan hospital terlibat kes Zulfarhan turut disoal siasat

Mohd Hafiz berkata, akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal pertama disahkan meninggal dunia.

Tambahnya lagi, penunggang kedua ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) manakala penunggang ketiga mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki.

Beliau berkata, sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor Azie Azyanti Mohd Rafae di talian 013 675631 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis menasihatkan orang ramai agar tidak terbabit dengan sebarang aktiviti yang tidak bermoral terutama kegiatan lumba haram mahupun samseng jalanan kerana ianya perbuatan yang sia-sia,” katanya.

Pada Sabtu, tular di media sosial memaparkan aksi ligat sekumpulan penunggang motosikal berlumba secara haram sebelum berlaku insiden terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram