Bayi lidah pendek bukan cacat, doktor perjelas boleh rawat seawal usia 3 bulan


  • Sihat
  • Rabu, 26 Feb 2025

Masalah lidah pendek yang berlaku pada bayi sememangnya boleh dirawat dengan melakukan pembedahan ringan. — Gambar hiasan

SETIAP wanita bergelar ibu pastinya memasang impian untuk menyusu badan secara penuh bermula hari pertama bayi dilahirkan sehingga mencecah usia sekurang-kurangnya dua tahun.

Proses penyusuan badan juga bukan sahaja membekalkan nutrisi terbaik buat bayi, bahkan momen itu mengeratkan kasih sayang antara ibu dan anak.

Pun demikian, bagi segelintir ibu, hasrat tersebut terpaksa dibatalkan apabila permata hati asyik ‘menolak’ setiap kali puting payudara disua.

BACA LAGI: [VIDEO] Ts 'Aqilah cipta perubahan dunia fesyen elektronik, rekaan unik baju Aina Abdul, Aishah Aziz pentas AJL

BACA LAGI: Jadi contoh klinik kecantikan patuh syariah, Dermalane lantik Ustazah Asma' Harun sebagai penasihat

 

Masalah lidah pendek atau dikenali sebagai ankyloglossia. — Gambar hiasan

Kadangkala, proses penyusuan tersekat-sekat sehingga bayi tidak mendapat susu yang optimum.

Jika situasi itu berterusan tanpa diatasi segera bimbang memberi kesan kepada antaranya kerap menangis dan kelaparan.

Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak, Pusat Perubatan KMI Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor, Dr. Samril Bokari berkata, keengganan bayi atau cuba menolak untuk menyusu badan antara indikasi awal mengalami masalah lidah pendek.

Dr. Samril berkata, keadaan lidah yang pendek atau ketat membuatkan pergerakan lidah bayi terhad sehingga membataskan proses penyusuan badan.

Katanya, masalah lidah pendek atau secara saintifik dikenali sebagai ankyloglossia boleh berlaku sejak bayi berada dalam kandungan.

Ia disebabkan frenulum atau otot nipis seperti tali melekat antara dinding mulut ke bawah lidah sehingga organ itu menjadi pendek.

Bagaimanapun, punca sebenar berlakunya masalah lidah pendek belum dapat dikenalpasti.

Menurut Dr. Samril, dianggarkan empat hingga 10 peratus daripada populasi bayi di seluruh dunia mengalami keadaan itu dan lazimnya dialami oleh bayi lelaki.

"Jalur tisu tidak mengecut dan kekal pada kedudukan hadapan bawah lidah menyebabkan ia sukar untuk digerakkan.

"Lidah pendek juga boleh terjadi kerana sejarah keluarga. Situasi itu selalunya diklasifikasikan dalam cara berbeza-beza.

"Sesetengah pakar mengklasifikasikan lidah pendek mengikut sistem klasifikasi jenis I, II, III dan IV," ujarnya kepada Majoriti.

Dr. Samril Bokari

Jelasnya, bagi mengenal pasti sama ada bayi mengalami lidah pendek ataupun sebaliknya, mereka perlu menjalani diagnosis bersama beberapa pakar perubatan termasuk pakar laktasi.

Namun, tanda-tanda awal perlu diawasi sekiranya bayi mengeluarkan bunyi ‘klik’ ketika menyusu, mengambil masa lama dan tidak kenyang selepas menyusu badan.

Jelasnya, frenulum tidak normal boleh membawa kepada permasalahan lain mengikut perkembangan usia anak.

Bagi kanak-kanak berusia dua tahun ke atas pula, mereka akan berdepan dengan situasi seperti pertuturan tidak normal kerana otot lidah tidak dapat bergerak dengan baik.

Lidah pendek juga tidak boleh digulung dan dijulur sehingga menjadikan sebutan dan ritma pertuturan tidak sempurna.

Pergerakan lidah yang terhad akan menyebabkan sebutan kurang tepat, kelajuan yang tidak sekata, intonasi dan ritma terganggu, selain sebutan kurang jelas.

"Lidah mereka juga tidak dapat menjelir, bergerak ke hadapan, kiri atau kanan, malah tidak dapat menyentuh lelangit seperti rakan sebaya normal.

"Keadaan bawah lidah yang berbentuk seperti jantung juga membuatkan pergerakan lidah tidak lancar kerana ikatan otot nipis itu," katanya.

Karies gigi

Dr. Samril juga memberitahu, keadaan lidah pendek juga boleh menjejaskan proses kunyahan bagi kanak-kanak yang mula makan makanan keras.

Mereka mengalami kesukaran untuk mengunyah dan menikmati makanan kerana lidah tidak dapat bergerak normal.

Lidah berfungsi untuk menolak makanan yang dikunyah ke tepi pipi sebelum ditolak ke dalam perut.

Jelasnya lagi, kanak-kanak yang mengalami lidah pendek juga terdedah kepada masalah karies gigi kerana tidak boleh membersihkan sekitar gigi.

Masalah lidah pendek juga menyukarkan kanak-kanak untuk mengunyah makanan dengan betul. — Gambar hiasan

"Bukan itu sahaja, mereka juga mengalami masalah penghadaman dan makanan perlu dipotong kecil untuk memudahkan proses kunyahan.

"Kemahiran sosial kanak-kanak juga terjejas apabila mereka tidak boleh melakukan aktiviti seperti meniup, menjelir atau sekadar menikmati ais krim seperti rakan sebaya mereka," ujarnya.

Beliau bagaimanapun berkata, lidah pendek bukan satu kecacatan yang perlu dikhuatiri kerana keadaan itu boleh diperbaiki melalui operasi pembedahan ringan.

Prosedur pembedahan mengikut kategori keadaan mengambil masa antara 10 hingga 15 minit sahaja tanpa kesakitan maksimum.

Pembedahan Frenotomi juga adalah prosedur pembedahan sederhana dilakukan dengan atau tanpa ubat bius.

"Doktor akan memeriksa frenulum lingual dan kemudian menggunakan gunting steril untuk memotong frenulum agar dapat bergerak bebas.

"Prosedur dikendalikan cepat dengan pemotongan sedikit hujung saraf atau saluran darah di frenulum lingual.

"Selain itu, pembedahan frenotomi atau gunting otot nipis di bawah lidah membolehkan lidah bergerak dengan bebas," kongsinya.

Tutur beliau, kategori lain dengan keadaan lidah lebih tebal pula perlu menjalani pembedahan frenuloplasti atau membaiki otot frenulum yang membabitkan proses sedikit rumit.

Namun, proses untuk membaiki lidah tidak memerlukan proses penyembuhan lama.

Ditanya pula tentang usia sesuai untuk merawatnya, Dr. Samril berkata, pembedahan juga boleh dilakukan seawal usia bayi tiga bulan sebelum perkembangan makan, pertuturan atau masalah lain berlaku.

Jelasnya, usia awal bayi juga membolehkan proses penyembuhan lebih pantas kerana bayi tidak perlu menggunakan lidah untuk mengunyah selepas menjalani pembedahan.

Selepas menjalani pembedahan, 90 peratus keadaan lidah pendek dalam kalangan kanak-kanak akan hilang dan pergerakan lidah menjadi normal.

"Proses pembedahan lazimnya akan mendapat persetujuan daripada ibu bapa terlebih dahulu dan mereka tidak perlu bimbang tentang risiko.

"Pembedahan yang dijalankan adalah sangat minimum dan bebas kesakitan," jelasnya.

Sementara itu, antara risiko bayi dengan lidah pendek adalah kegagalan bayi untuk menyusu badan, kerap menangis kelaparan, kekurangan nutrisi, berat badan tidak seimbang, proses penyusuan tidak efektif, serta puting susu ibu melecet dan mengalami bengkak susu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram