
BERSUNAT atau berkhatan sememangnya amalan yang tidak asing lagi dalam masyarakat beragama Islam.
Selain memenuhi tuntutan agama, bersunat juga memberi manfaat kesihatan dari sudut saintifik.
Sunat juga merupakan satu prosedur kecil bertujuan memotong lebihan kulit (kulup) pada zakar lelaki.
BACA LAGI: Demi kesejahteraan mental, wanita perlu berani keluar zon penderaan elak risiko kemurungan
Prosedur sunat yang perlu dilakukan oleh pakar di pusat kesihatan. — Gambar hiasan
Meskipun ia kedengaran seperti pembedahan kecil dan ringan, namun tetap mempunyai risiko tersendiri terutamanya melibatkan kanak-kanak berusia tujuh tahun ke bawah.
Perkara itu kini menjadi perdebatan khususnya dalam kalangan ibu bapa yang dalam fasa anak-anak akan berkhatan.
Segelintir ibu bapa menzahirkan kebimbangan berlakunya komplikasi sekiranya anak bersunat ketika masih bayi atau usia belum mencecah tujuh tahun.
Situasi berkenaan susulan kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang pernah dikeluarkan pada Februari 2024 tular kembali di media sosial baru-baru ini.
Berdasarkan kenyataan itu, KKM menyarankan ibu bapa merancang membawa anak-anak menjalani prosedur berkhatan hendaklah cakna dengan memastikan fasiliti ataupun program berkhatan yang disertai dikendalikan pengendali dan pengamal perubatan berdaftar bersama kementerian berkenaan.
Jika bercadang mengkhatankan anak di program di luar fasiliti kesihatan, maka ibu bapa perlu memastikan anak tersebut berusia tujuh tahun dan ke atas kerana umur berkenaan mereka lebih matang dan bersedia secara mental.
Dalam pada itu, kenyataan berkenaan juga memberi penekanan sekiranya berlaku komplikasi dan kesan sampingan seperti pendarahan, jangkitan kuman atau kecederaan pada glans penis.
Dr. Maslinor menyarankan ibu bapa mengkhatankan anak berusia tujuh tahun ke bawah oleh pakar diiktiraf bidang tersebut. — Gambar hiasan/Freepik
Glans (kepala) adalah hujung penis dengan bentuk mengerucut yang terdapat lubang saluran uretra.
Saluran itu juga berfungsi sebagai laluan untuk mengeluarkan air kencing dan air mani.
Mengulas lanjut tentang perkara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam merangkap Pensyarah Senior Kesihatan Keluarga di Universiti Malaya (UM), Dr. Maslinor Ismail, 54, menyokong bahawa kanak-kanak lelaki khususnya berusia bawah tujuh tahun perlu dikhatankan oleh pakar diiktiraf dalam bidang tersebut.
"Dari sudut saintifik, apabila anak terlalu kecil kira-kira usia tiga atau empat tahun, malah di bawah lima tahun sekali pun kulit pada glans penis belum longgar.
"Dalam Islam sendiri digalakkan bersunat selepas usia lima tahun kerana waktu itu kulit yang perlu dipotong dan proses jahit semula lebih mudah dan tidak melekat pada alat reproduktif.
"Pun demikian, melakukan sunat kepada anak semasa bayi atau sebelum berusia tujuh tahun tiada masalah cuma perlu dibuat oleh pakar profesional sahaja bukan 'Tok Mudim'," katanya kepada Majoriti.
Sebagai ibu, Dr. Maslinor juga pernah mengkhatankan anak lelakinya seawal usia lima tahun.
Beliau bagaimanapun menjelaskan supaya jangan membandingkan kelengkapan zaman sekarang yang kini mempunyai pelbagai teknologi dan pakar profesional dalam bidang khatan.
"Ketika zaman saya iaitu 1971 tidak ramai pakar, jadi terpaksa sunatkan anak lelaki sebelum usia tujuh tahun dengan teknik manual dan dibuat oleh rakan doktor juga.
"Teknik manual adalah proses memotong kulit pada glans penis. Bagi menjahit semula memang sukar jika bukan pakar yang melakukannya.
"Bagi saya, cara tradisional lebih selamat daripada clamp (kulup ditarik ke hadapan meliputi kepala zakar dan alat khas yang dipanggil clamp diletakkan di sekitar kulup).
"Clamp tersebut diketatkan dan kulup berlebihan dikeluarkan dengan skalpel atau gunting dan kemudian dibiarkan di tempatnya selama beberapa minit untuk menghentikan sebarang pendarahan dan dikeluarkan.
"Tetapi kalau harapkan clamp itu pegang kulit, melekap dan pulih dalam tiga hari kadang-kadang takut anak lelaki ini lasak dan melambatkan proses penyembuhan.
"Jadi, apabila guna teknik manual, kulit akan dijahit semula menggunakan benang pakai buang, boleh keluar dan hancur sendiri, tidak perlu dibuka semula. Ia lebih bersih," jelasnya.
Beliau pada masa sama tidak menafikan bahawa sekiranya prosedur tersebut dilakukan oleh bukan pakar memberi risiko bahaya kepada organ dalaman kanak-kanak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram