
MESKIPUN tempoh diluangkan di luar negara kurang memberangsangkan, rata-rata kelab Liga Super masih terbuka untuk menerima kehadiran penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin.
Dia yang memasang cita-cita untuk pulang memandangkan kontraknya bersama kelab Belgium, KV Kortijk akan berakhir pada Jun belum membuat keputusan mengenai destinasi bakal dipilihnya.
Namun, ketika ini, Terengganu FC menjadi antara pasukan yang terbuka untuk menerima kepulangannya dengan hasrat pihak pengurusan kelab menerima respons baik daripada penyokong.
BACA LAGI: Setuju pandangan CEO, fans Terengganu terbuka terima kehadiran Luqman Hakim
BACA LAGI: Dilihat jadi jurufoto Yokohama, penyokong risau Luqman Hakim kena 'scam'
Skuad Sang Penyu membuka pintu luas untuk kepulangan Luqman Hakim ke tanah air. — Facebook/Terengganu FC
Pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu dilihat sebagai pilihan terbaik dimiliki Luqman ketika ini kerana mereka tidak mengalami sebarang isu kewangan di samping memberi kepercayaan penuh terhadap pemain muda.
Selain itu, Selangor FC juga merupakan salah satu pasukan Liga Super yang boleh disertai penyerang berusia 22 tahun tersebut memandangkan dia pernah beraksi buat skuad muda mereka sebelum berkelana ke luar negara.
Meskipun terdapat persaingan hebat dengan pemain import di posisinya, pengalaman diraih Luqman selama beraksi di Belgium, Jepun dan Iceland pasti boleh menyuntik keyakinan baginya untuk merebut tempat.
Hal itu turut disokong pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley yang beranggapan Selangor FC merupakan antara destinasi terbaik buat pemain itu selain sempat menyenaraikan beberapa pilihan lain.
Kontrak lima tahun Luqman Hakim bersama KV Kortijk akan berakhir pada Jun.
"Jika bukan Terengganu FC, mungkin Selangor atau PDRM FC. Apa yang penting, pasukan tersebut tidak menghadapi isu kewangan serta mampu memberikan dia peluang beraksi dengan kerap.
"Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Penang antara solusi terbaik juga, cuma KDA FC kini mungkin sukar kerana hadapi isu kewangan," katanya kepada Majoriti.
Sekiranya hendak dibandingkan antara dua kelab Utara tanah air berkenaan, Luqman lebih dinasihati untuk menyarung jersi skuad Harimau Kumbang meskipun mereka bukanlah pencabar utama kebelakangan ini.
Ini kerana Pasukan kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail itu juga kerap memberikan minit permainan buat pemain muda seperti Alif Ikmalrizal dan Sikh Izhan Nazrel yang masing-masing meraih manfaat daripadanya.
Bagaimanapun, mereka yang tidak konsisten dalam Liga Super sejak tiga musim lalu sudah tentu mengalami kesukaran untuk merebut khidmat Luqman daripada pasukan tempatan lain.
Skuad Harimau Kumbang perlu dipertimbangkan Luqman Hakim sekiranya dia mahu pulang ke Liga Super. — Facebook/Penang FC
Dalam pada itu, Afiq turut menegaskan Terengganu FC merupakan antara kelab terbaik boleh disertai pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan berkenaan atas beberapa faktor utama.
"Pada pandangan saya, ia merupakan pilihan tepat buat Luqman kerana pasukan itu tiada isu kewangan dan mesra kepada bakat-bakat tempatan.
"Apatah lagi skuad Sang Penyu memiliki ramai bakat muda berkualiti selain keupayaan kejurulatihan mereka menaikkan kualiti mereka sehingga terpilih mewakili skuad kebangsaan," katanya.
Dalam skuad Terengganu FC ketika ini, terdapat beberapa pemain yang dibawa masuk daripada skuad muda seperti Safwan Mazlan dan Ubaidullah Shamsul Fazili dengan mereka kerap berada dalam kesebelasan utama.
Ini membuktikan pasukan berkenaan tidak pernah putus daripada bakat-bakat muda tanah air dengan peluang pasti akan terus diberikan sekiranya pihak kejurulatihan dapat menilai peningkatan dalam kalangan pemain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram