Pastikan telekung ditarik ke bahu antara tip elak kain tersangkut pada tayar motosikal


  • Relaks
  • Selasa, 04 Mac 2025

Pakaian yang terlalu labuh terutama telekung berisiko tinggi untuk tersangkut pada tayar atau rantai motosikal, yang boleh mengakibatkan pembonceng terjatuh ataupun motosikal terbabas. — Gambar hiasan

KESELAMATAN di jalan raya perlu diberi perhatian serius, khususnya buat wanita yang sering memakai telekung ketika membonceng motosikal. 

Pakaian yang terlalu labuh terutama telekung berisiko tinggi untuk tersangkut pada tayar atau rantai motosikal, yang boleh mengakibatkan pembonceng terjatuh ataupun motosikal terbabas. 

Kemalangan sedemikian pernah dilaporkan berlaku pada 2023 apabila seorang suami maut setelah motosikal ditungganginya hilang kawalan selepas telekung dipakai isterinya dipercayai tersangkut pada tayar belakang di Jalan Juasseh Terusan Seberang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

BACA LAGI: [VIDEO] KL meriah dengan bazar, kejut sahur bergendang di Palembang, Tya Arifin kongsi perbezaan suasana Ramadan di Malaysia, Indonesia

BACA LAGI: [VIDEO] Idam 3 anak sebelum usia 30, Tya Arifin dedah pernah keguguran ketika bercuti di Turkiye

Kejadian tersebut berlaku ketika pasangan tersebut dalam perjalanan ke masjid bagi menunaikan solat maghrib secara berjemaah.

Insiden seperti itu memberi peringatan penting kepada semua pihak, terutamanya wanita yang sering memakai telekung untuk lebih berhati-hati ketika menunggang atau membonceng motosikal.

Sehubungan itu, Public Health Malaysia menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi antara langkah keselamatan yang perlu diambil bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku:

Wanita yang memakai telekung dinasihatkan untuk menarik telekung ke bahu agar ia tidak terjuntai.

1) Tarik telekung ke bahu sebelum bergerak 

Sebelum motosikal bergerak, wanita yang memakai telekung dinasihatkan untuk menarik telekung ke bahu agar ia tidak terjuntai dan berisiko tersangkut pada tayar atau rantai motosikal.

2) Gunakan seluar panjang dalam telekung 

Untuk keselamatan tambahan, memakai seluar panjang dalam telekung boleh membantu memastikan pakaian lebih terkawal dan mengurangkan risiko ia terurai ketika membonceng motosikal.

3) Elakkan pakaian terlalu labuh 

Elakkan memakai pakaian yang terlalu labuh, terutama ketika menaiki motosikal. 

Pakaian yang tidak terkawal boleh menyebabkan ia tersangkut pada komponen motosikal dan mengganggu kawalan penunggang.

Dalam pada itu, wanita juga digalakkan untuk menjaga kebersihan telekung yang digunakan, terutamanya ketika menunaikan solat tarawih setiap malam..

Kebersihan telekung adalah penting bukan sahaja untuk menjaga kesihatan, tetapi juga memastikan keselesaan ketika beribadah, terutamanya pada bulan penuh keberkatan ini.

Solat tarawih yang dilakukan setiap malam sepanjang Ramadan memerlukan wanita untuk memakai telekung dalam tempoh lebih lama. 

Kebersihan telekung boleh mempengaruhi tahap kekhusyukan dalam solat dan bagi wanita yang menggunakan telekung setiap hari, ia adalah satu amalan yang perlu diberi perhatian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram