
RAMAI yang menyuarakan kelegaan selepas personaliti cilik kesayangan ramai, Fatimah Omar Mukhlis kembali menunjukkan perkembangan positif dari segi kesihatannya sejak penghujung tahun lalu.
Hari demi hari, peminat setia Fatimah yang pernah tular dek kepetahannya berbicara dalam dialek Kelantan, tidak pernah berhenti mendoakan kesembuhan kanak-kanak berusia 11 tahun itu.
Terbaharu, menerusi perkongsian video di akaun Instagram thefamily.uk, tahap kesihatan Fatimah difahamkan masih berada dalam keadaan membimbangkan.
BACA LAGI: Teguran air manis jadi perdebatan, Dr. Rafidah terus ingatkan bahaya makanan, minuman tak sihat
BACA LAGI: Terima ucapan penghargaan PM New Zealand, Khairul Aming jadi pilihan pegang jawatan Exco Pelancongan
Beliau dikhabarkan mula menunjukkan tanda-tanda kemerosotan sejak awal Disember 2024.
Menurut hantaran itu, pada 24 Februari lalu, keluarga yang menetap di Birmingham, United Kingdom (UK) itu menerima panggilan telefon dari hospital untuk membawa Fatimah segera bertemu doktor.
"Mereka memberitahu kami untuk menjalani ujian darah pada 27 Februari. Kami mula rasa sesuatu yang tidak kena apabila hospital memanggil untuk temu janji segera.
"Ini bukan kali pertama beliau mengalami kemerosotan, walaupun kali ini agak perlahan berbanding sebelumnya yang sangat agresif," katanya.
Dalam pada itu, warga maya juga turut terkesan melihat video yang dikongsikan ibu Fatimah, menunjukkan keadaannya di rumah ketika bapa, abang dan adik lelakinya menunaikan solat tarawih di masjid.
"Di sini dia (Fatimah) terperangkap di rumah. Melihat wajahnya yang sedih, saya mengingatkan dia bahawa kita seharusnya bersyukur kerana dapat menyambut Ramadan bersama-sama di rumah, bukan terperap lagi di hospital seperti tahun lepas.
"Tanpa berkata apa-apa, beliau mengenakan hijabnya untuk bersedia solat bersama saya.
"Selepas solat, beliau baring dan bersedia untuk membaca Al-Quran daripada telefonnya. Sebaik sahaja mula membaca al-Quran, air mata mula mengalir dari mata ke pipinya.
"Air mata itu tidak menghentikan (tangisannya). Walaupun berjuang melawan kesedihan, beliau terus membaca al-Quran sambil menangis dan mengelap air matanya selama hampir dua jam," katanya.
Untuk rekod, Fatimah menerima rawatan di Hospital Birmingham, UK pada Mac 2023 dan menjalani biopsi bagi mengetahui penyakit sebenar yang dialami.
Selain berulang-alik ke hospital, keluarga Fatimah kini memilih untuk memantau keadaan beliau di rumah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram