
ISU penderaan dalam rumah tangga terus menjadi masalah serius di negara ini, dengan 7,116 kes direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada tahun lalu, berbanding 5,507 kes pada 2023.
Kebanyakan isteri yang juga mangsa keganasan rumah tangga sering kali terpaksa menanggung penderitaan tanpa melaporkannya kepada pihak berkuasa berkemungkinan atas faktor malu atau menjaga maruah keluarga dan keharmonian rumah tangga.
Malah, ada juga yang tidak tahu ke mana harus mereka rujuk untuk mendapatkan bantuan.
BACA LAGI: Ibu tunggal mangsa keganasan rumah tangga bangkit bina hidup jadi usahawan makanan
BACA LAGI: Selangor rekod 813 kes keganasan rumah tangga dari Januari-Ogos 2024
Bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga, Majoriti kongsikan lima talian yang boleh dihubungi untuk mendapatkan sokongan dan bantuan segera:
1) Talian Kasih: 15999/ WhatsApp ke 019-2615999
Talian Kasih beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.
Talian tersebut menyediakan perkhidmatan kecemasan serta aduan mengenai pelbagai isu termasuk penderaan, pengabaian, keganasan rumah tangga, masalah juvana/kanak-kanak, kemiskinan dan sokongan kepada ibu tunggal.
Talian Kasih beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.
2) Talian SELamat (Selangor): 03-64195027
Kerajaan Selangor melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) menubuhkan Talian SELamat untuk memberikan sokongan khusus kepada mangsa keganasan rumah tangga.
Berfungsi 24 jam sehari, ia bertujuan membantu mangsa yang berada di Selangor dengan memberikan maklumat, sokongan dan rujukan kepada pihak berkuasa atau pusat perlindungan.
3) Talian Teledera: 1-800-88-3040
Saluran bantuan yang disediakan kerajaan Malaysia untuk mangsa keganasan rumah tangga.
Talian itu memberi sokongan, maklumat dan bantuan segera kepada individu yang terlibat dalam situasi keganasan rumah tangga, selain menyediakan kaunseling dan panduan bagi mangsa memerlukan.
Kebahagian seorang ibu dan isteri berupaya membentuk sebuah keluarga yang positif. — Gambar hiasan
4) Polis: 999
Aduan keganasan rumah tangga boleh dibuat sama ada ke pegawai polis atau pekerja kebajikan sosial di mana mangsa atau pelaku tinggal atau lokasi penderaan tersebut dikatakan berlaku atau lokasi sementara mangsa.
Disebabkan keganasan rumah tangga diklasifikasikan sebagai kesalahan boleh ditangkap, pihak polis boleh menjalankan siasat sebaik sahaja laporan diterima. Pihak polis boleh menangkap pelaku tanpa waran tangkap.
5) Hospital
Jika mangsa cedera dan memerlukan rawatan perubatan, anda digalakkan untuk segera mendapatkan bantuan di jabatan kecemasan mana-mana hospital kerajaan.
Selain rawatan, bukti fizikal mengenai penderaan juga perlu direkodkan sebaik mungkin, kerana ia akan menjadi bahan penting dalam penyiasatan oleh pihak polis.
Bantuan yang cepat dan tepat dapat menyelamatkan nyawa serta memberikan mangsa peluang memulakan hidup baharu.
Noraini berkata, KPWKM meletakkan fokus utama pengurusan kes keganasan rumah tangga dengan kerjasama strategik agensi kerajaan dan NGO.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad baru-baru ini memaklumkan, pindaan ke atas Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) serta perundangan lain yang berkaitan perlu dikaji dari semasa ke semasa bagi menambahbaik kawalan dan tindakan perundangan.
Beliau berkata, kementerian juga dalam proses mengemas kini Dasar dan Pelan Tindakan Keluarga Negara bagi memastikan dasar tersebut selaras dengan struktur keluarga moden semasa.
"Melalui pengukuhan struktur keluarga yang kukuh dan nilai keluarga yang positif, kami berharap ia akan mengurangkan kejadian kes keganasan rumah tangga secara tidak langsung," katanya di Dewan Rakyat pada 4 Mac lalu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang bertanyakan sama ada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bercadang memperkenalkan sebarang pindaan undang-undang dalam meningkatkan perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga.
Mengulas lanjut, Noraini berkata, KPWKM meletakkan fokus utama pengurusan kes keganasan rumah tangga dengan kerjasama strategik agensi kerajaan dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) melalui penubuhan Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga (JKRT).
Jawatankuasa itu ujarnya, memainkan peranan menyelaras dan memantau isu serta inisiatif berkaitan keganasan rumah tangga secara holistik merangkumi inisiatif seperti analisis ke atas data kes keganasan rumah tangga, aspek advokasi, bantuan perlindungan, khidmat sokongan dan penguapayaan diri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram