Pernah tinggal di rumah setinggan, ditampar penagih dadah kini saintis kelahiran Kota Bharu berjaya buka pusat intervensi kanak-kanak autisme


  • Bizz
  • Rabu, 05 Mac 2025

Dr. Nurul Shazalina berusaha memastikan kanak-kanak autisme di negara ini mendapat akses terapi dan intervensi yang berkualiti. — Dr. Nurul Shazalina Zainudin

BERBEKALKAN latar belakang dalam bidang sains perubatan dan penyelidikan biomarker, Dr. Nurul Shazalina Zainudin, 38, kini melangkah ke dunia pendidikan awal kanak-kanak.

Bersama suami, Ashraf Azuas, 38, saintis wanita itu menubuhkan Pintar Bintang Enterprise, sebuah organisasi menyediakan pusat intervensi, tadika mesra autisme dan program taman permainan bagi kanak-kanak berkeperluan khas, sejak 2018.

Ujar pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang parasitologi daripada Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, kebanyakan ibu bapa menghadapi kesukaran mendapatkan intervensi awal disebabkan kos tinggi atau senarai menunggu yang panjang di hospital.

BACA LAGI: Gemar bergambar depan kedai bunga ketika 'travel', Puteri Nurul Nadirah manifestasi minat flora sejak kecil

BACA LAGI: [VIDEO] KL meriah dengan bazar, kejut sahur bergendang di Palembang, Tya Arifin kongsi perbezaan suasana Ramadan di Malaysia, Indonesia

"Saya mahu membantu mereka mendapatkan sokongan pada kadar mampu milik,” katanya kepada Majoriti.

Bermula dengan satu cawangan kecil di Setapak, Kuala Lumpur, Pintar Bintang Enterprise kini berkembang kepada sembilan cawangan di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Dr. Nurul Shazalina memberitahu, pusat itu menawarkan pelbagai program seperti intervensi awal, taman permainan dan tadika mesra autisme dengan bimbingan pasukan tenaga pengajar dan ahli terapi terlatih.

"Ia bagi memastikan setiap kanak-kanak mendapat bimbingan yang sesuai mengikut keperluan mereka," jelasnya yang juga Pengurus Kualiti di Antah HealthCare Group.

Pusat Pintar Bintang Enterprise menawarkan program seperti intervensi awal, taman permainan dan tadika mesra autisme dengan bimbingan tenaga pengajar dan ahli terapi terlatih. — Dr. Nurul Shazalina Zainudin

Setinggan

Mengimbas kembali perjalanan hidupnya, Dr. Nurul Shazalina adalah bukti bahawa latar belakang sama sekali bukan penghalang untuk seseorang mencapai kejayaan.

Kongsinya, sejak kecil, beliau merasai kepayahan menuntut ilmu apabila perlu berulang-alik dari rumah setinggan di Jalan Klang Lama Kuala Lumpur ke Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas.

Perjalanan jauh menggunakan bas awam dan berjalan kaki menaiki bukit menjadi rutin harian, malah dirinya juga pernah mengalami detik cemas dikejar penagih dadah dan ditampar ketika dalam perjalanan ke sekolah.

“Waktu itu saya terlalu penat sampai pernah menangis merayu pada mak nak berhenti sekolah.

"Saya pernah guna buku latihan terpakai, padam jawapan dan buat berkali-kali kerana tidak mampu beli baharu,” luahnya yang pernah terlibat dalam penghasilan kit ujian pantas (RTK).

Namun, segalanya berubah apabila beliau diterima masuk ke MRSM Bitara Serting, Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan selepas melihat rakan mengisi borang permohonan.

"Semasa di tingkatan tiga, saya nampak kawan isi satu borang dan tanya dia tentang borang tersebut. Dia kata nak mohon MRSM dan esok hari terakhir permohonan.

"Saya tanya dia apa itu (MRSM)? Saya memang tak pernah tahu sebab masuk Convent dulu pun cikgu yang tolong cadangkan tulis.

"Jadi balik rumah saya beritahu abah nak mohon, jadi mohonlah dan dapat panggilan ujian, Alhamdulillah diterima masuk ke MRSM Bitara Serting," bicaranya.

Dr. Nurul Shazalina (kanan) dan suami bersama-sama menyambung pengajian di UKM. — Dr. Nurul Shazalina Zainudin

Di sana, anak sulung daripada empat beradik itu mengalami kejutan budaya apabila kaedah pembelajaran yang pantas menyebabkan dirinya ketinggalan pada tahun pertama.

Namun, dengan usaha gigih serta bantuan guru dan rakan-rakan, Dr. Nurul Shazalina berjaya bangkit dan menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Bagi wanita itu, MRSM menjadi titik tolak yang membuka mindanya kepada dunia pendidikan.

“Kini bukan sahaja berupaya belajar ke peringkat tertinggi, tetapi saya juga mempunyai bisnes sendiri.

"Saya bangga menjadi anak setinggan kerana pengalaman ini mendidik saya untuk menghargai peluang dan berusaha lebih keras,” tambahnya yang pernah menyertai program realiti Clever Girl, musim kedua.

Cawangan luar bandar

Mengupas lanjut mengenai pendidikan kanak-kanak autisme, ujar wanita itu, kesedaran ibu bapa yang masih rendah, kekurangan tenaga kerja mahir dan isu pembiayaan merupakan halangan utama dalam perjuangan beliau menaik taraf pendidikan golongan berkenaan.

Bagi menangani isu itu, Pintar Bintang Enterprise giat menjalankan kempen kesedaran melalui program seperti Shine Together Autism Carnival yang dianjurkan bersama Graduate School of Business, UKM.

“Kami juga melatih guru dan ahli terapi secara berterusan bagi memastikan mereka memiliki kemahiran terkini dalam membantu kanak-kanak autisme,” ujarnya.

Dr. Nurul Shazalina berhasrat membuka lebih banyak cawangan pusat intervensi di kawasan luar bandar. — Dr. Nurul Shazalina Zainudin

Dalam usaha memperluas lagi perkhidmatan, Dr. Nurul Shazalina berkata, Pintar Bintang Enterprise bercadang membuka lebih banyak cawangan di kawasan luar bandar dan menambah perkhidmatan diagnosis autisme di pusat terapi mereka.

Langkah itu katanya, bertujuan mempercepat akses kepada intervensi awal, terutama bagi keluarga yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan diagnosis di hospital.

“Intervensi awal adalah kunci utama. Jangan panik dan jangan rasa bersalah. Setiap kanak-kanak ada potensi mereka sendiri dan dengan bimbingan yang betul.

"Mereka boleh berkembang dengan baik,” titip beliau.

Beliau juga berharap agar kerajaan dapat menyediakan subsidi terapi dan latihan kepada lebih ramai tenaga kerja dalam bidang intervensi awal, selain masyarakat turut memainkan peranan dengan menghapuskan stigma terhadap kanak-kanak autisme.

Dengan dedikasi yang tinggi, Dr. Nurul Shazalina terus berusaha memastikan setiap kanak-kanak autisme, tanpa mengira latar belakang kewangan, mendapat akses kepada terapi dan intervensi yang berkualiti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram