'Bagai rezeki terpijak', Keluang Man beri peluang kedua Krisya gamit peminat Gen Z


  • Hiburan
  • Isnin, 03 Mac 2025

Krisya mahu terus mewarnai industri muzik tanah air selepas muncul menyanyikan lagu tema Keluang Man.

LEBIH 20 tahun menyepi dalam industri muzik tanah air, pelantun suara Keluang Man, Krisya, atau nama lengkapnya Krisya Nursabrina Roslan, 42, kembali menggegar kaca televisyen.

Mengubati kerinduan dan nostalgia generasi milenial era 90an, kekuatan vokal serta seni persembahan dilontarkan sama sekali tidak berubah walaupun usianya menginjak ke angka 46 tahun.

Penampilannya yang kini berhijab sama sekali tidak menghalang ibu kepada empat orang anak itu untuk terus memukau penonton menerusi lagu Keluang Man yang disampaikan pada anugerah Gempak Most Wanted Awards 2024 baru-baru ini.

BACA LAGI: Magis Anwari Ashraf mampu lonjak Keluang Man 'mendonia', ubah landskap perfileman tempatan

BACA LAGI: 'Bujang Lapok ke Hong Kong' antara 4 filem terbengkalai Seniman Agung P. Ramlee

Tidak menjangkakan kehadirannya disambut baik, Krisya menganggap filem itu sebagai asbab dirinya kembali menjadi sebutan ramai.

"Memang rezeki terpijak la sebab saya asalnya memang dah rancang nak pulang menetap di Malaysia lepas lebih tujuh tahun berhijrah ke Bosnia.

"Tapi kebetulan sangat masa itu pihak produksi Astro Shaw pada 2023 tak silap ada hubungi saya minta nyanyikan semula lagu tema filem Keluang Man, asalnya tak terfikir pun nak balik sebab nak menyanyi semula.

"Lagi pun dah lama tinggalkan karier nyanyian ni, tapi dah alang-alang saya nak balik Malaysia, saya pun setuju la untuk menyanyikan semula lagu tu, syukur sangat sebab ramai yang suka," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Krisya menjelaskan dia belum bersedia untuk kembali serius dalam bidang nyanyian namun, komited untuk terus mempromosikan lagu tema tersebut sempena filem Keluang Man yang bakal ditayangkan Mei nanti.

Krisya (kiri) di awal pembabitannya dalam industri sekitar era 90an.

 

 

Enggan terlalu tergopoh-gapah mengejar populariti dalam muzik, penyanyi yang pernah mencipta nama menerusi lagu Gemersik itu sebaliknya lebih selesa fokus pada satu perkara sebelum mensasarkan pencapaian lebih tinggi.

"Memang ada orang tanya tak nak masuk GV (Gegar Vaganza) dan AJL (Anugerah Juara Lagu) ke, saya bukan kata tak nak tapi biar satu per satu dulu, sekarang memang komitmen penuh pada Keluang Man.

"Akan datang kalau ada rezeki baru saya ke arah yang itu, nyanyi lagu baru ataupun kolaborasi dengan penyanyi lain tapi biar masa yang tentukan.

"Sebab saya dah berkeluarga, kalau nak fokus nyanyian ni kena ubah kehidupan semua, dunia artis ni tak sama kan dengan orang biasa," tambahnya.

Ditanya tentang perancangan karier muzik selepas Keluang Man, Krisya tidak menolak untuk terus menghiasi industri muzik tempatan jika rezeki memihak padanya.

Mendapat dorongan keluarga khususnya anak-anak dan suami, penyanyi itu mengakui dirinya kembali menjadi tumpuan ramai ketika di tempat awam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram