
PELOPOR kumpulan muzik pop rock, New Boyz membuktikan mereka berada di kelas tersendiri apabila karyanya kekal relevan sehingga ke hari ini.
Album sulungnya, Sejarah Mungkin Berulang (1999) menjadi fenomena dalam kalangan peminat muzik tanah air yang nyata cukup terpukau dengan bait lirik lagu nukilan vokalisnya, Tomok.
Hit di carta radio sekitar era 90an, ikoniknya lagu tersebut berkisahkan pasangan bercinta yang terpisah akibat kehadiran individu ketiga.
BACA LAGI: Tak minum ais rahsia Mus May kekal bersuara rock, mahu julang Barbarik ke pentas antarabangsa
Namun, sebahagian lirik lagu itu dikatakan turut mengangkat pengorbanan sang bapa yang nyata meninggalkan kesan mendalam di hati pendengar.
Menurut Tomok, 41, atau nama lengkapnya Shah Indrawan Ismail, lagu tersebut juga ditujukan kepada semua insan agar sentiasa menghargai jasa insan bergelar bapa.
Tomok merupakan vokalis utama kumpulan New Boyz.
"Asalnya lagu Sejarah Mungkin Berulang ni memang kisah kekasih bercinta, tapi bila mana ia dah lebih 26 tahun, maka pendengar pun dah matang dan boleh faham sendiri maksud liriknya.
"Lagu ni sebenarnya boleh difahami dari sudut pengorbanan bapa, tengok liriknya pun memang ada sentimen penghargaan atas jasa mereka.
"Syukur sebab pendengar mula terima lagu ni dari sudut pandangan berbeza, mereka meningkat sama matang macam lagu itu juga, dah 26 tahun usianya," katanya kepada Majoriti.
Mengimbau kembali detik di mana kecaman dan kritikan diterima awal pembabitan New Boyz sekitar 1997, Tomok menganggap ia sebagai proses belajar yang perlu dilalui sebagai anak seni.
Dibaling telur, simbah air dan kecaman hebat daripada orang ramai, Tomok walau bagaimanapun menitip rasa syukur apabila ada di antara pelaku tampil meminta maaf secara berdepan.
"Zaman dah berlalu dan ada yang datang sendiri minta maaf sebab kecam dan kritik saya dulu, semua pun dah matang dan lagu tu dimainkan balik zaman sekarang.
"New Boyz dulu yang banyak kecam golongan lelaki sebab yelah peminatnya mungkin ramai perempuan, jadi sentimen itu dijadikan isu hinggakan kami pernah dibaling telur semasa persembahan.
"Nasihat saya pada penyanyi muda luar sana jangan layan sangat kritikan ni semua, ambil jadikan semangat sebab memang ramai tak suka kita di awal pembabitan," tambahnya.
Tomok (tengah) bersama New Boyz di awal pembabitan pada 1997.
Dalam pada itu, Tomok meluahkan keinginannya untuk terus berjuang dalam seni muzik tanah air yang disifatkan semakin mencabar di dunia digital.
Terbuka untuk menyertai mana-mana rancangan realiti muzik negara jika dijemput, penyanyi asal Negeri Sembilan itu turut meluahkan keinginannya untuk beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram