Lagi kes kemalangan di Nilai, pemandu Alza maut dirempuh lori sehari sebelum Ramadan


  • 112
  • Sabtu, 01 Mac 2025

Insiden kemalangan membabitkan seorang pemandu Alza dan lori di Nilai pada Sabtu.

DALAM tempoh seminggu, dua kemalangan maut dilaporkan berlaku di Nilai, Negeri Sembilan dengan yang terbaharu menyaksikan seorang pemandu Alza menjadi mangsa korban di Jalan Persiaran Negeri berhampiran Hospital Aurelius Nilai pada Sabtu.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Amirol Affizan Baharom, 26, yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza itu disahkan meninggal selepas dirempuh sebuah lori.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa MPV dipandu mangsa hilang kawalan sebelum dilanggar lori berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Dua maut terkena renjatan elektrik, rentung di Penampang

BACA LAGI: [VIDEO] Trump maki Zelensky depan media, Ukraine bakal hilang sokongan AS perangi Rusia

"Apabila sampai di tempat kejadian, Perodua Alza yang sedang bergerak di lorong kanan telah hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang lampu dan batu pembahagi jalan di tengah jalan.

"Ia menyebabkan kereta tersebut berpusing dan masuk ke lorong kiri lalu dilanggar sebuah lori dipandu lelaki berusia 45 tahun," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Jelasnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987.

Terdahulu, negara digemparkan dengan kemalangan tragis membabitkan seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang maut dirempuh lori di Bandar Baru Nilai pada Rabu.

Kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori dengan dua buah kereta yang berada di depan dan belakang kenderaan berat tersebut.

Mangsa yang dikenali sebagai Wan Nur Amirah Wan Mustapa merupakan seorang penuntut jurusan kejuruteraan penyelenggaraan kapal terbang di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec), Shah Alam, Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram