[VIDEO] Pernah berlakon filem Hollywood klasik, 'Little Jungle Boy' serlah kefasihan Pak Malau berbahasa Inggeris


  • Hiburan
  • Ahad, 02 Mac 2025

Penampilan Allahyarham Shariff Medan menerusi filem Little Jungle Boy.

LEBIH dua dekad pemergian seniman Allahyarham Shariff Medan atau nama lengkapnya Muhammad Shariff Muhammad Ismail, karyanya kekal dipertontonkan hingga ke hari ini.

Sebaris dengan nama-nama besar industri perfileman Melayu seperti Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Datuk Aziz Sattar dan S. Shamsudin, Shariff juga tidak ketinggalan mewarnai sejarah filem hitam putih negara satu ketika dahulu.

Pernah berlakon dalam sebuah filem terbitan produksi Australia pada 1970, Little Jungle Boy menjadi saksi kehebatan anak seni berbahasa Inggeris di samping pelakon Hollywood.

BACA LAGI: Tak minum ais rahsia Mus May kekal bersuara rock, mahu julang Barbarik ke pentas antarabangsa

BACA LAGI: [VIDEO] Mencari Alasanmu dianggap lagu 'resign', mungkin ada kaitan isu peribadi Lukhman S — Ezad Lazim

Meskipun bukan berperanan utama dalam filem tersebut, penampilan Allahyarham boleh dianggap cukup besar apabila banyak berdialog Inggeris dan tampil berbaju Melayu dan bersongkok dalam naskhah tersebut.

Kembali meraih perkongsian di laman sosial, rata-rata penonton khususnya generasi muda seakan tidak percaya pelakon kelahiran Sumatera, Indonesia itu pernah berlakon dalam filem antarabangsa.

"Memang lagenda, boleh berbahasa Inggeris dengan lancar tapi masih bersongkok, adat Melayu tak dilupakan," kata Azim Johan.

"Ini contoh bertutur dalam bahasa asing tanpa meninggalkan jati diri bangsa, tidak ada slang yang tidak perlu dan hujah disampaikan dengan jelas dan tersusun," ujar Ibrahim.

"Hebat, Pak Malau memang fasih berbahasa Inggeris, bukan biasa-biasa berlakon antarabangsa, pelakon sekarang pun tak boleh lawan," tambah Hamidin.

Terkenal menerusi filem Sri Mersing (1961), lakonan Allahyarham menerusi watak Pak Malau antara yang paling meninggalkan kesan terhadap industri negara.

Dalam pada itu, filem Little Jungle Boy turut dibintangi beberapa pelakon popular tanah air lain seperti Rahman Rahim, Salim Bachik, Dollah Sarawak dan Shariff Dol.

Meskipun merupakan arahan produksi Australia, kebanyakan lokasi filem itu dirakamkan di Singapura dan Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram