
PENDUDUK Kinarut, Sabah sekali lagi digemparkan dengan dentuman kuat sebutir bom tinggalan Perang Dunia Kedua yang dimusnahkan pada Ahad.
Bahan letupan jenis lama ‘Unexploded Ordnance (UXO) Aerial Bomb’, yang dipercayai masih aktif itu dimusnahkan dengan tiga kali letupan secara berperingkat bermula pukul 11.55 pagi hingga 1.25 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang operasi pemusnahan bom dijalankan.
BACA LAGI: [VIDEO] Kecoh sekampung bergegar, bom Perang Dunia Kedua diletupkan di Kinarut
“Sebelum pemusnahan bom dilakukan, pihak polis telah memaklumkan kepada pelbagai agensi terlibat, termasuk Jabatan Alam Sekitar.
“Selepas selesai kerja pemusnahan, pasukan Ketua Polis Balai Kinarut bergerak mendapatkan maklumat dari kawasan sekitar bagi mengenal pasti sama ada terdapat pihak yang terkesan akibat letupan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jelasnya, tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda awam dilaporkan dan aktiviti pemusnahan bom berjalan dengan lancar.
“Letupan itu juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Jawatankuasa Perancangan Operasi dan Pengurusan Risiko Bencana Letupan NADMA,” katanya.
Terdahulu, sebutir bom lama yang masih aktif ditemui oleh pekerja binaan di sebuah tapak pembinaan di Kinarut sebelum dimusnahkan pada Rabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram