
SATU tragedi kemalangan dilaporkan berlaku membabitkan sebuah kereta dan bas kilang yang bertembung di jambatan Pulau Pinang pada Ahad.
Mangsa, seorang wanita berusia 46 tahun dan seorang lelaki (58) bagaimanapun terselamat daripada sebarang kecederaan parah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 9.20 pagi Ahad.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Main TikTok atau baca surah', tindakan wanita buat live solat tarawih terima kecaman
BACA LAGI: Gula-gula gummy mata tiada lagi di pasaran, dikeluarkan dari platform online
"Kejadian berlaku ketika bas berkenaan menukar haluan dari lorong tengah ke kanan sebelum didatangi sebuah kereta dipandu seorang wanita berusia 46 tahun dari arah belakang yang kemudiannya melanggar bahagian belakang kanan bas berkenaan.
"Akibat perlanggaran itu, kereta terbabit hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.
"Pemandu dan penumpangnya hanya mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu bas berusia 53 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Dalam kes berasingan, seorang penunggang motosikal berusia 71 tahun maut selepas bertembung dengan sebuah motosikal lain di KM8 Jambatan Pulau Pinang menghala ke tanah besar.
Lee berkata, dalam kejadian pukul 8.30 pagi itu, warga emas tersebut maut di tempat kejadian manakala seorang lagi penunggang motosikal warga asing cedera dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.
Kedua-dua kes kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram