
SEBUT sahaja Mus May, peminat pasti terbayang teriakan serta lontaran vokal rock yang cukup memukau di samping kelincahannya ketika persembahan.
Sebaris dengan beberapa nama besar dalam industri rock tanah air seperti Datuk Awie, Datuk Amy Search dan Datuk Nash, Mus May atau nama sebenarnya, Mustaffa Din sentiasa tampil dengan keunikan serta identiti berbeza yang menjadi kegilaan peminatnya.
Biarpun bersaiz ‘kerdil’, anak kelahiran Ipoh, Perak ini cukup garang di arena muzik walau sudah hampir empat dekad berkecimpung dalam bidang tersebut.
BACA LAGI: Prihatin nasib pelakon veteran, syarikat TV swasta tawar 2 program khas buat Ebby Yus
BACA LAGI: Anak didik pertama sifu M Nasir, lukisan mural Joey Daud pernah ditempah Sultan Johor
Berkongsi rahsia dan petua diamalkan sejak kali pertama menjejakkan kaki dalam industri, Mus menjelaskan dia sama sekali tidak pernah meneguk minuman sejuk sejak bertahun.
“Saya tak ada pun amalkan petua ataupun tip sangat tapi yang saya kekalkan tak minum ais ataupun air sejuk.
“Pasal apa minuman berais ni dia buat badan saya jadi lemah, kalau minum esoknya mesti demam, selesema semua jadi saya pun tak boleh menyanyi dengan baik kalau macam tu.
“Itu yang saya dari dulu sampai sekarang pun tak sentuh langsung ais batu, itu la agaknya yang buat saya kekal boleh menyanyi sampai ke hari ini, ada juga la terliur tengok orang minum tapi tau tak sesuai untuk karier saya, memang tak minum,” katanya kepada Majoriti.
Bercerita lanjut perjalanan seni bersama kumpulan baharunya Barbarik, Mus tidak meletakkan sasaran tinggi sebaliknya hanya memberikan komitmen penuh buat kugiran diketuai Joe Branko itu.
Katanya, idea asal penubuhan Barbarik sekadar projek sambilan namun atas minat mendalam dan kelebihan yang ada pada pemain gitar itu membuatkan kumpulan tersebut semakin dikenali ramai.
Barbarik diketuai pemain gitar popular, Joe Branko (kiri).
“Saya memang kenal rapat dengan Joe, dia kalau buat sesuatu memang serius dan letakkan ia di tempat paling teratas, jadi saya percaya Barbarik bukan kosong.
“Ada perancangan lebih besar akan datang dan saya sendiri kalau boleh nak yabg terbaik sebab kami semua dah otai, bukan buat benda untuk suka ria.
“Baru-baru ni kami baru balik dari London, insya-ALLAH satu hari nanti dapat bina nama di luar negara siapa tahu? Saya yakin Joe ada perancangan lebih besar, saya sedia bagi yang terbaik untuk Barbarik,” ujarnya.
Pernah berada di ambang kejatuhan apabila jatuh sakit kronik sekitar 2017, Mus menganggap detik itu sebagai pembakar semangat untuk terus berkarya demi peminat dan muzik rock diminati sekian lama.
“Dulu pernah satu tahap orang bacakan surah yassin untuk saya, hantar air penawar tapi syukur doa orang ramai saya kembali sihat dan mampu menyanyi semula.
“Kita cuba yang terbaik, beri 100 peratus tak akan merugikan pun kalau mencuba, yang penting buat dengan ikhlas maka peminat pun sedia terima saya,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram