
PELAKON versatil Bront Palarae, 46, atau nama penuhnya Nasrul Suhaimin Saifuddin mencipta sejarah tersendiri apabila dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Seni Sinematik Universiti Multimedia (MMU).
Perkara itu dikongsikan sendiri bintang filem tersebut menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
MMU menerusi hantaran di portal rasminya turut mengucapkan sekalung tahniah atas pelantikan tersebut.
BACA LAGI: Magis Anwari Ashraf mampu lonjak Keluang Man 'mendonia', ubah landskap perfileman tempatan
BACA LAGI: Watak Zurina 'Aku Dia & Volkswagen' kisah benar 'crush' zaman sekolah, bayangan mirip pelakon Eja
Bront Palarae bergelar Profesor Adjung Fakulti Seni Sinematik MMU.
"Merupakan seorang tokoh terkemuka dalam industri filem, Bront telah berkhidmat dalam Jawatankuasa Penasihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional.
"Dedikasinya terhadap impak sosial diserlahkan dengan peranannya sebagai Duta UNICEF Malaysia untuk kempen 'Janji Saya kepada Kanak-kanak' dari 2014 hingga 2015 yang memperjuangkan hak dan kesejahteraan kanak-kanak.
"Pengalaman industri Bront yang luas dan komitmen tinggi terhadap sosial membuktikan profil kariernya cukup gemilang bagi menjawat jawatan tersebut," ujarnya.
Dalam pada itu, gelaran itu turut menyaksikan Bront kini sebaris dengan beberapa artis tanah air yang turut memegang jawatan tersebut.
Sebelum ini, pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki turut dilantik sebagai Profesor Adjung Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Selain itu, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan juga turut menerima gelaran sama di Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar (STHEM), UUM pada Mac 2017.
Pelantikan beliau difahamkan berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang masakan di dalam dan luar negara sekali gus membolehkannya berkongsi pengalaman, memberi bimbingan kepada pensyarah dan pelajar melalui program syarahan Profesor Adjung seminar serta perjumpaan.
Beberapa lagi artis lain yang bergelar Profesor Adjung adalah Datuk Aznil Nawawi, Datuk Rizalman Ibrahim dan Datuk Ras Adiba Radzi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram