
CUBAAN mengelak anjing melintas membawa padah apabila seorang pesara tentera maut dirempuh pacuan empat roda yang hilang kawalan di Kilometer 86, Jalan Kota Tinggi, Kluang, Johor pada Khamis.
Kejadian tercetus selepas pemandu Hilux berusia 28 tahun itu mengelak haiwan berkenaan dan memasuki ke laluan bertentangan yang sekali gus menyebabkan pelanggaran berlaku.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan pukul 10.28 pagi itu melibatkan sebuah motosikal jenis Suzuki Shogun 125 ditunggang mangsa dengan Toyota Hilux.
BACA LAGI: Pelajar Tingkatan 5 meninggal dunia sebaik lepasi garisan penamat merentas desa di Sungai Petani
BACA LAGI: Ada unsur abai, polis ambil keterangan ibu bapa Hud Aryan
“Hasil siasatan awal didapati Toyota Hilux datang dari arah bandar Kluang menghala ke Kota Tinggi. Apabila Toyota Hilux sampai di tempat kejadian terkejut apabila seekor anjing melintas di hadapannya.
“Toyota Hilux tersebut lalu mengelak ke kanan memasuki laluan bertentangan sehingga terlanggar motosikal mangsa yang datang dari arah Kota Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mangsa Hassenol Ahmad, 64, mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan serta dalam keadaan tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) untuk rawatan.
Anak mangsa kemudian hadir ke kaunter aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pukul 1.30 petang dan melaporkan bapanya telah meninggal dunia semasa dirawat di HEBHK.
Sementara itu, pemandu yang beralamat di Simpang Renggam, Johor dilaporkan sakit di bahagian dada dan mendapat rawatan di klinik swasta.
“Pemandu tersebut telah ditangkap untuk siasatan lanjut dan hasil pemeriksaan ujian air kencing mendapati negatif dadah.
"Pemandu tersebut akan dipohon tahanan reman di mahkamah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram