
TIDAK hanya hebat dalam lakonan, bintang Bollywood pujaan ramai, Kajol juga memiliki kemahiran seni mengait.
Kesibukan sebagai pelakon, isteri dan ibu sama sekali tidak menghalang wanita berusia 51 tahun itu untuk mengisi waktu terluang dengan aktiviti seni kraftangan kegemarannya.
Meskipun memiliki jadual padat dengan penggambaran dan tanggungjawab keluarga, isteri kepada pelakon Ajay Devgan itu sentiasa mencari masa untuk melakukan hobi yang disifatkan memberi ketenangan.
BACA LAGI: Kontroversi bukan penghalang, Shah Rukh Khan terus bergelar Raja Bollywood
Baru-baru ini menerusi laman Instagram miliknya pelakon utama Kuch Kuch Hota Hai tersebut berkongsi satu video menunjukkan kemahirannya mengait sementara menunggu rambut didandan oleh penata rambut.
Dalam video yang dikongsikan, isteri kepada Ajay Devgan itu dilihat duduk sambil mengait dan dalam masa sama mendapatkan sentuhan akhir gaya rambut.
Lebih menarik, cara ibu kepada Nysa Devgan, 22, dan Yug Dvgan berusia 15 tersebut mengait tanpa perlu melihat benang dan jarum sambil berbual-bual dan ketawa menandakan beliau benar-benar mahir dalam aktiviti tersebut.
“Saya selalu berjumpa dengan orang hebat yang melakukan perkara hebat, multitasking adalah seronok apabila anda ketawa, bekerja dan mengait semuanya dalam satu masa!” katanya menerusi kapsyen di Instagram kajol.
Itu bukanlah kali pertama bintang filem Dilwale tersebut menunjukkan kemahiran mengait di media sosial.
Kesibukan sebagai isteri dan ibu tidak menghalang Kajol (dua dari kiri) mengisi waktu terluang dengan aktiviti seni. — Instagram/kajol
Pada tahun lalu, Kajol yang memiliki lebih 17 juta pengikut di Instagram turut berkongsi video dirinya mengait sambil wajah disolek.
Dalam video tersebut, beliau mengait dengan tenang meskipun dalam keadaan matanya tertutup.
Malah, Kajol juga pernah berkongsi video beliau mengait menggunakan teknik crochet di dalam kereta, sekali lagi mengejutkan peminat dengan keupayaan beliau untuk melaksanakan lebih daripada satu tugas dalam satu masa.
Ratu Bollywood itu turut meraih pujian daripada warga maya yang menganggap Kajol mampu menjadikan segala pekerjaan kelihatan begitu mudah.
Baru-baru ini Kajol dan Ajay meraikan ulang tahun perkahwinan yang ke-26. Pasangan merpati sejoli itu membina mahligai pada 24 Februari 1999. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram