
HARTA sepencarian merupakan isu yang sering timbul dalam kes perceraian, kematian suami atau berpoligami, maka ilmu pengetahuan mengenai isu itu amat penting terutamanya bagi para isteri.
Sebagai satu peraturan undang-undang, harta sepencarian merujuk kepada harta yang diperoleh semasa perkahwinan dan menjadi hak bersama suami isteri.
Dalam situasi tertentu seperti perceraian atau kematian suami, pihak yang tidak bertanggungjawab secara langsung dalam memperoleh harta tersebut tetap berhak untuk menuntut bahagian.
BACA LAGI: Suami boleh menikah walau isteri pertama tidak setuju? Jangan panik, pertahan hak di mahkamah
Fatimah menyatakan, tuntutan harta sepencarian boleh dibuat dalam beberapa keadaan seperti suami berpoligami, kematian suami atau perceraian.
Dalam satu sesi temu bual bersama Peguam Syarie, Fatimah Majemi berkongsi penjelasan terperinci mengenai hak isteri dalam tuntutan harta sepencarian, termasuklah situasi-situasi tertentu yang membolehkan mereka mengemukakan tuntutan tersebut.
Fatimah mengingatkan bahawa isteri perlu memahami bila dan bagaimana mereka boleh menuntut harta sepencarian. Tuntutan harta sepencarian boleh dibuat dalam beberapa keadaan utama, termasuk apabila suami berpoligami, kematian suami atau perceraian.
Menurut Fatimah, jika suami berniat untuk berkahwin lagi, isteri berhak menuntut harta sepencarian.
"Apabila suami memutuskan untuk berpoligami, isteri berhak membuat tuntutan harta sepencarian. Ini adalah hak isteri untuk memastikan pembahagian harta dilakukan dengan adil," katanya kepada Majoriti.
Begitu juga dalam kes kematian suami atau perceraian, isteri juga berhak untuk menuntut bahagian harta sepencarian, walaupun isteri tersebut tidak bekerja atau tidak menyumbang secara langsung kepada harta tersebut.
"Isteri yang tidak bekerja juga boleh membuat tuntutan atas dasar sumbangan tidak langsung, seperti pengurusan rumah tangga dan menjaga keluarga sepanjang perkahwinan," jelasnya.
Mahkamah akan menilai sumbangan isteri berdasarkan kedua-dua sumbangan langsung dan tidak langsung, yang mana dalam kebanyakan kes, harta sepencarian dibahagikan secara 50-50 bagi mereka yang memberikan sumbangan langsung.
Fatimah juga menekankan, walaupun sumbangan isteri mungkin tidak berbentuk kewangan atau fizikal, seperti bekerja di luar rumah, ia tetap diambil kira oleh mahkamah.
"Bagi isteri yang berhadapan dengan kematian suami, hak harta sepencarian mereka akan ditambah dengan bahagian faraid, menjadikan jumlah tuntutan mereka lebih besar," kata Fatimah sambil menambah ia adalah hak sah yang tidak boleh dinafikan.
Isteri yang tidak bekerja juga boleh membuat tuntutan atas dasar sumbangan tidak langsung seperti pengurusan rumah tangga — Gambar hiasan/Freepik
Selain tuntutan harta sepencarian, Fatimah turut menyentuh mengenai hibah sebagai instrumen yang sangat berguna dalam perancangan harta.
Hibah adalah pemberian saguhati dibuat oleh seseorang kepada mana-mana individu tanpa mengira sama ada mereka adalah ahli waris atau bukan.
Dalam konteks ini, hibah memberikan kelonggaran bagi suami atau isteri untuk merancang pembahagian harta mereka semasa hidup, dengan mengelakkan sebarang perselisihan di kemudian hari.
"Hibah memberi fleksibiliti kerana boleh memberikan harta kepada sesiapa sahaja yang kita pilih, tidak kira sama ada mereka waris atau bukan," kata Fatimah.
Beliau memberi contoh suami yang membeli rumah untuk keluarga mereka, tetapi tidak melakukan perancangan harta yang jelas.
Tanpa dokumentasi yang sah, harta tersebut boleh dipertikaikan oleh pihak lain selepas kematian suami.
"Jika suami berniat untuk memberikan rumah tersebut kepada isteri dan anak-anak adalah sangat penting untuk membuat dokumentasi jelas, agar harta itu sampai ke tangan yang berhak dan tidak diganggu oleh pihak ketiga," jelas beliau.
Dokumentasi bertulis yang jelas tentang hibah bantu mengelakkan sebarang masalah pada masa depan. — Gambar hiasan/Freepik
Tambahnya, hibah adalah cara yang sangat sesuai untuk mengelakkan kesulitan dalam pembahagian harta apabila tiada anak lelaki atau waris sah.
Dengan hibah, pemberi harta dapat memastikan harta mereka diberikan secara langsung kepada individu dikehendaki tanpa masalah perundangan.
"Sekiranya suami menyediakan rumah untuk keluarga kecilnya, dokumentasi bertulis yang jelas tentang hibah akan mengelakkan sebarang masalah pada masa depan, khususnya apabila tiada anak lelaki atau ahli waris yang lain," kata Fatimah.
Tegasnya lagi, adalah penting bagi isteri untuk mengetahui hak mereka dalam tuntutan harta sepencarian, terutamanya dalam situasi poligami, kematian suami, atau perceraian.
Melalui penjelasan Fatimah, hibah jelas menunjukkan cara yang sangat berguna untuk merancang pembahagian harta secara lebih telus dan mengelakkan masalah di kemudian hari.
Dengan memahami hak-hak mereka dan merancang harta dengan bijak, isteri dapat memastikan masa depan kewangan mereka terjamin, tanpa sebarang pertikaian mengenai pembahagian harta selepas kematian atau perceraian.
"Isteri perlu tahu bahawa tuntutan harta sepencarian adalah hak mereka dan hibah adalah cara bijak untuk merancang pembahagian harta dengan lebih adil dan terjamin," kata Fatimah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram