[VIDEO] Pertama di Malaysia, idea suami isteri kreatif realisasi Airbnb 'kelapa' terapung di Langkawi


  • Bizz
  • Khamis, 23 Jan 2025

Hakim dan pasangannya, Reena memanfaatkan dana Amerika Syarikat AS$100,000 (anggaran RM467,525) dimenangi menerusi pertandingan Airbnb OMG Fund 2022 untuk mengusahakan Coconest.

DI tengah pesona alam Tanjung Rhu, Langkawi, Kedah, terdampar sebuah rumah peranginan unik yang kini menjadi bualan ramai.

Tampil dengan reka bentuk menyerupai tempurung kelapa terapung, Coconest tidak hanya menampilkan keindahan estetik tetapi juga mengangkat warisan pulau Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf global.

Idea kreatif ini tercetus daripada pasangan suami isteri, Hakim Azly, 36, dan Anna Amrina Sayra Ahmad Basri, 35, yang memanfaatkan dana Amerika Syarikat AS$100,000 (anggaran RM467,525) dimenangi menerusi pertandingan Airbnb OMG Fund 2022 selepas menewaskan ribuan peserta dari seluruh dunia.

BACA LAGI: Tak sanggup anak terus derita ekzema, wanita keturunan Melanau cipta sabun natural, dapat perhatian pelanggan Jepun dan AS

BACA LAGI: Sampai menteri pun terpikat, status lelaki bukan alasan anak jati Kota Bharu buka bisnes tudung

Ujar Hakim, mula dibina pada 2022 dan beroperasi sepenuhnya pada 2023, Coconest adalah penginapan berbentuk kelapa terapung yang direka khas untuk mencerminkan identiti Langkawi sebagai pulau tropika.

"Kami mendapat ilham untuk membina penginapan ini selepas melihat buah kelapa terapung di pantai berhampiran rumah, sebelum memutuskan untuk membeli tapak terapung di Tanjung Rhu bagi merealisasikan idea ini.

“Kami mahu membina sesuatu yang bukan sahaja menggambarkan identiti Langkawi tetapi juga memberikan pengalaman luar biasa kepada tetamu.

“Kami memilih kelapa sebagai tema utama kerana ia sinonim dengan pulau ini, selain keunikannya yang mudah dikenali,” ceritanya kepada Majoriti.

IMG_3144

Coconest mula dibina pada 2022 dan beroperasi sepenuhnya pada 2023.

Glamping mewah

Coconest yang disiapkan dalam tempoh lapan bulan bermula dari peringkat idea, menawarkan pengalaman glamping mewah yang dikuasakan sepenuhnya oleh sistem tenaga solar, dengan kemudahan seperti penyaman udara, air panas dan pemandangan laut yang menakjubkan.

Terletak di lokasi strategik yang dikelilingi taman geoforest, inap desa di bawah kendalian perkhidmatan menyewa tempat tinggal, Airbnb itu menawarkan pelbagai aktiviti seperti stand-up paddle, kayak, waterbike, hiking dan snorkeling.

Pasangan suami isteri ini mengakui, mereka ingin mencipta pengalaman yang bukan sahaja indah secara visual tetapi juga memberi keselesaan maksimum kepada tetamu.

"Kami mahu menawarkan sesuatu yang sesuai untuk semua jenis pelancong, sama ada mereka mencari penginapan mewah atau pengalaman berkhemah yang santai.

"Dengan privasi sebagai keutamaan, tetamu yang menginap di Coconest akan menikmati ruang eksklusif yang hanya tersedia untuk mereka," jelas Hakim yang mempromosikan inap desanya menerusi laman Instagram coconest.langkawi.

IMG_2610

Tetamu yang menginap di Coconest akan menikmati ruang eksklusif yang hanya tersedia untuk mereka.

Bercerita lanjut tentang Coconest, dia yang pernah berkhidmat sebagai arkitek di AS memanfaatkan dana yang dimenangi sepenuhnya.

Dengan pengalaman Hakim sebagai arkitek, setiap perincian projek sentiasa diawasinya agar proses pembinaan berjalan seperti dikehendakinya.

"Pastinya kita berdepan dengan cabaran tersendiri, terutama untuk penyelenggaraan platform terapung.

"Namun, kami berjaya memastikan ciri keselamatan terkawal dengan langkah penjagaan berkala seperti membersihkan siput yang melekat di bawah tong biru yang digunakan sebagai pelampung," tambahnya.

Snapinst.app_468544791_18061778905840984_2746600705584718298_n_1080

Pasangan suami isteri ini memutuskan untuk kembali ke Malaysia dan membangunkan Coconest sebagai projek bersama.

Masa buat keluarga

Bagi pasangan sama cantik sama padan ini, penginapan unik terapung di Tanjung Rhu itu bukan sahaja menjadi punca pendapatan tambahan tetapi juga memberi fleksibiliti untuk menyeimbangkan tanggungjawab antara perniagaan dan keluarga.

Hakim memberitahu, selepas memenangi pertandingan anjuran Airbnb, mereka memutuskan untuk kembali ke Malaysia dan membangunkan Coconest sebagai projek bersama.

Menurutnya, keputusan untuk kembali menetap di tanah air adalah demi memberikan fokus kepada anak-anak mereka.

"Dengan menjadi hos Airbnb, kami dapat mengurus masa dengan lebih baik dan menyesuaikan jadual kerja mengikut keperluan keluarga," katanya yang turut pernah menerima kunjungan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Snapinst.app_450470721_1024662625423475_4388434134510566424_n_1080

Coconest pernah menerima kunjungan daripada Dr Mahathir.

Pilihan majlis istimewa

Keunikan ditawarkan Coconest menarik tetamu dari seluruh dunia, termasuk AS, Eropah dan Asia.

Dengan kadar penghunian antara 92 hingga 98 peratus sepanjang tahun, konsep ini turut menjadi pilihan untuk majlis istimewa seperti lamaran perkahwinan dan penggambaran rancangan televisyen.

Memiliki satu unit penginapan yang hanya terhad kepada dua hingga empat tetamu sahaja, jelas Hakim, mereka dalam perancangan untuk memperluas hartanah dengan menambah dua unit penginapan baharu.

"Dua unit baharu ini dijangka dibuka kepada tetamu menjelang April 2025. Satu unit boleh menampung tiga hingga empat orang dewasa, manakala unit kedua dengan dua bilik mampu menampung lima hingga enam tetamu dewasa," ujarnya.

Menurut bapa kepada dua cahaya mata ini lagi, setiap unit direka khas untuk memberikan pengalaman berbeza kepada tetamu, lengkap dengan pakej penginapan merangkumi sarapan, makan tengah hari, makan malam dan pelbagai aktiviti rekreasi.

Dibina dengan visi kelestarian, Coconest menggunakan tenaga solar sepenuhnya sebagai sumber utama operasi.

"Pendekatan ini bukan sahaja menyokong ekopelancongan tetapi juga membantu mengurangkan jejak karbon, sekali gus menjadikannya pilihan ideal bagi pelancong yang menghargai keindahan alam sambil memelihara kelestarian.

"Mengendalikan penginapan terapung seperti ini bukanlah tugas mudah. Operasi di atas air memerlukan kos yang tinggi, termasuk penyelenggaraan berterusan untuk memastikan pengalaman tetamu sentiasa memuaskan," katanya.

FullSizeRender

Tong plastik biru memainkan peranan penting sebagai asas platform terapung.

Akui Hakim, menjaga penginapan terapung seperti Coconest bukanlah satu tugas mudah, terutama dari aspek keselamatan dan penyelenggaraan.

Tidak dinafikan, meskipun risiko keselamatan hampir tiada, usaha menjaga struktur terapung itu memerlukan perhatian lebih berbanding bangunan di daratan.

Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu, tong plastik biru memainkan peranan penting sebagai asas platform terapung.

"Setiap platform menggunakan sekitar 300 hingga 400 tong biru untuk memastikan kestabilannya.

"Struktur Coconest sendiri direka khas dengan elemen untuk memastikan keselesaan dan keselamatan tetamu, manakala komponen lain menggunakan bahan binaan standard," kongsinya.

Tong biru itu bagaimanapun akan menyebabkan siput melekat dengan banyak di bawahnya hingga mengakibatkan platform menjadi berat.

"Oleh itu, setiap tahun kami perlu membersihkan siput-siput ini untuk memastikan struktur kekal stabil.

"Proses pembersihan siput dilakukan dua kali setahun dengan membahagikan kerja kepada dua bahagian platform, satu pada awal tahun dan satu lagi pada separuh tahun kedua," ujarnya yang turut memantau dan merancang keperluan penyelenggaraan seterusnya.

Snapinst.app_372528016_1361639044430087_5068982059739068876_n_1080

Coconest menggunakan tenaga solar sepenuhnya sebagai sumber utama operasi.

Siput

Menariknya, menurut lelaki berasal dari Alor Setar, Perlis itu, siput-siput yang dikumpulkan tidak akan dibuang begitu sahaja, sebaliknya ia akan diberi kepada pekerja atau penduduk setempat untuk dijadikan makanan.

"Kadang-kadang boleh dapat sampai 20 beg besar siput segar, cukup untuk dijadikan kenduri!" tuturnya sambil menambah bahawa mereka berhasrat untuk membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Menjadi seorang hos bagi Hakim, bukan sahaja membuka pintu kepada pelbagai budaya dari seluruh dunia, tetapi turut membawa perubahan positif kepada rutin harian dan hubungan keluarga.

Coconest kini menjadi salah satu tarikan unik di Langkawi, membuktikan bagaimana kreativiti dan inovasi mampu mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram