Anugerah ESG PIA: Pentingnya kewangan lestari demi masa depan mampan


  • Bizz
  • Jumaat, 21 Feb 2025

Sekitar program bersama pemenang ESG PIA 2024 di Menara Star pada Rabu. — The Star

 

 

KEHANGATAN Anugerah ESG Positive Impact 2024 (ESG PIA) kini bermula dengan OCBC Bank (Malaysia) Bhd selaku penaja utama yang menerajui menerusi acara pengisian tentang kewangan lestari.

Program yang berlangsung di Menara Star, Phileo Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu itu sekali gus menjadi platform bagi pemenang ESG PIA berkongsi pengalaman dan pandangan mereka.

Ketua Perbankan Komersial OCBC Bank, Kevin Choo berkata, program tersebut turut menyuntik inspirasi kepada para peserta anugerah pada 2025.

"Ia juga memberi peluang besar untuk semua berkumpul, berkongsi idea dan meneroka kemungkinan baharu dalam pendekatan ini.

"Peralihan ke arah kecemerlangan ESG jarang berlaku dengan mudah, pastinya ada cabaran di sepanjang jalan.

"Namun, apa yang benar-benar penting adalah komitmen untuk berinovasi dan terus berusaha walaupun berdepan dengan halangan," katanya.

BACA LAGI: Program PayNet Cambah inisiatif ESG perkasa golongan ibu, teroka pasaran baharu menerusi e-dagang

BACA LAGI: Anugerah Impak Positif ESG kembali lagi, iktiraf entiti perniagaan pacu kelestarian alam sekitar

6176961501013861031

Imbas kod untuk informasi lanjut tentang perkhidmatan kewangan lestari oleh OCBC Bank. — The Star

Dalam program sama, Naib Presiden Kewangan Lestari OCBC Bank, Teoh Shi Sheng menjelaskan tentang pembiayaan lestari bank yang menyediakan perkhidmatan kewangan hijau kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sejak lima tahun lalu.

Dalam pada itu, pemenang Anugerah Inisiatif ESG Paling Cemerlang bagi kategori PKS hingga syarikat pertengahan, Iskandar Malaysia Studios dan pemenang utama dalam kategori Pengurusan Bakat, AIA Bhd turut memberi ucapan.

Kedua-dua wakil syarikat itu berkongsi pengalaman dalam melaksanakan program berkaitan ESG yang melayakkan mereka meraih kemenangan dalam ESG PIA 2023.

Pengarah kelestarian AIA Bhd, Muhammad Junaid Iqbal yang memenangi ESG PIA 2023 dalam kategori Kesihatan dan Kesejahteraan menekankan tentang kepentingan kesihatan fizikal dan mental pekerja menerusi program dan pelan yang dijalankan oleh agensi insurans itu melalui aplikasi AIA.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Malaysia Studios, Rashid Karim menegaskan keperluan untuk menerapkan amalan lestari dalam industri perfileman bagi menjimatkan tenaga serta mengurangkan pembakaran bahan api disebabkan pergerakan tidak terkawal.

Pada masa sama, Naib Presiden Pembangunan Perniagaan dan Jualan Bursa Carbon Exchange, Muhammad Rizal Azmi pula membincangkan tentang kredit karbon yang boleh dipasarkan di Bursa Carbon Exchange (BCX).

Menurutnya, dunia tidak dapat mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050 dengan jalan penyelesaian sedia ada kerana banyak teknologi masih belum berdaya maju secara komersial.

"Pasaran karbon sebenarnya menyediakan satu paltform iaitu instrumen berasaskan pasaran untuk membolehkan pengimbangan dan membangunkan lebih banyak projek karbon di Malaysia dan seluruh dunia supaya kita dapat mencapai matlamat sifar bersih bersama," katanya.

Program itu secara tidak langsung turut menampilkan penglibatan daripada pemenang ESG PIA sebelumnya yang mempamerkan usaha kelestarian mereka.

Antara pemenang emas 2023 yang turut serta ialah Complete Human Network Sdn Bhd dalam kategori Ekosistem Lestari, MM Century Sdn Bhd untuk kategori Pengurusan Sisa serta Heliosel Sdn Bhd bagi kategori Tenaga Boleh Diperbaharui.

Ketiga-tiga pemenang itu meraih anugerah di bawah segmen PKS dan syarikat pertengahan.

ESG PIA Winners Showcase juga dianjurkan oleh Star Media Group dengan kerjasama OCBC Bank.

Layari https://staresgawards.com.my/ untuk maklumat lanjut berkaitan penyertaan Star ESG PIA. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram