
Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bolamati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-dukajurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.
BUKAN berpuluh, malah mungkin dah beratus kali ulang tayang babak-babak menarik dalam final peringkat pertama Piala Cabaran MFL di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 15 Februari lalu bermain-main dalam minda Ketua Jurulatih PDRM FC, P. Maniam.
Banyak yang menepati jangkaannya tetapi banyak juga yang meleset daripada perlawanan yang berkesudahan pasukannya bangkit daripada ketinggalan dua gol selepas hanya 18 minit untuk penghujungnya tewas tipis 2-3 kepada Selangor FC – pasukan yang rata-rata diramalkan akan menamatkan kebuntuan trofi musim ini.
Pertemuan liga terakhir di antara kedua-dua pasukan di Stadium Selayang pada 19 Oktober lalu menyaksikan barisan Gergasi Merah itu mendahului menerusi Alvin Fortes pada minit ke-16 hanya untuk Aremu Timothy menyelamatkan satu mata pada minit ke-90+2 untuk keputusan 1-1.
BACA LAGI: Seri lagi tapi berbeza masa lalu Fandi akur kesilapan, puas hati dengan satu mata
BACA LAGI: Tahun Baru, harapan baru: Jurulatih harapkan ekosistem bola sepak lebih baik
Kesimpulan daripada kedua-dua perlawanan terakhir dengan Selangor FC itu menguatkan lagi keyakinan Maniam bahawa tiada kerdil pasukannya jika dibandingkan lawan yang memungkinkan apa sahaja apabila kedua-duanya bersemuka, baik dalam liga mahupun Piala Cabaran.
Lantas, itulah yang menimbulkan rasa teramat ralat dalam dirinya mengapa Selangor FC – yang kekurangan seorang pemain selepas Safuwan Baharuddin dibuang padang selepas hanya 10 minit aksi pada 15 Februari lalu – boleh dibenarkan meraih habuan kemenangan 3-2.
Lebih daripada itu, lawan dapat membina daripada gol awal Fortes seawal minit ketiga untuk pemain sayap berjersi nombor 11 itu melebarkan pendahuluan pada minit ke-18 sebelum The Cops bangkit mengimbangi kedudukan menerusi jaringan Shahrel Fikri Fauzi (m-28) dan Badrul Afendy Fadzli (m-39).
Berbekalkan 10 pemain, lawan masih mampu melakar kemenangan menerusi jaringan Ali Olwan (m-50).
Kalamullah banyak menyekat percubaan PDRM dalam aksi pertama Piala Cabaran pada Sabtu lepas. — Facebook/SelangorFC
Rasa ralat Maniam lebih berkisar kepada beberapa peluang yang gagal dimanfaatkan pasukannya selepas kedudukan terikat 2-2 – antaranya percubaan Kyaw Min Oo yang dapat ditumbuk penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi, pada minit ke-42 dan Ifedayo Olusegun yang gagal menyepak masuk tiga minit kemudian.
“Kami sepatutnya dapat ‘membunuh’ permainan selepas kedudukan 2-2 itu. Jika salah satu peluang itu berkesudahan dengan gol, saya percaya Selangor akan mendapati sukar untuk bangkit kembali,” kongsinya dengan Bola Pegun.
“Namun, segala-galanya belum berakhir selagi ia belum benar-benar berakhir,” tambahnya merujuk kepada final peringkat kedua yang juga dilakukan di Stadium MBPJ pada Sabtu ini.
Selain persiapan taktikal, Maniam turut menekankan lebih sedikit tumpuan kepada aspek psikologi bagi meyakinkan pemain-pemainnya bahawa mereka mampu mengatasi defisit satu gol di sebalik mengakui lawan memiliki barisan pemain dengan keupayaan individu lebih baik.
“Saya banyak menghabiskan masa dengan pemain-pemain bagi mengenang semula di mana kami melakukan dengan betul dan di mana kami membuat kesilapan dalam perlawanan tempoh hari. Dalam final pertama itu, kami memberikan lawan terlalu banyak ruang tapi saya jamin itu tidak akan berulang lagi.
“Saya ingatkan pemain supaya mengambil inspirasi daripada Liga Perdana Inggeris (EPL) di mana pasukan yang dipandang kerdil mampu melakukan kejutan ke atas pasukan kelompok teratas.
“Seluruh pasukan sedar yang kami ketinggalan satu gol dan itu bukan pun sesuatu yang terlalu besar. Kini pemain-pemain saya bagaikan tidak sabar menantikan final kedua Sabtu ini untuk mereka menebus balik kesilapan tempoh hari,” tambahnya.
Selaku juara bertahan, kata Maniam, mereka juga mempunyai sesuatu untuk dibuktikan dengan menyasarkan kesudahan yang menggembirakan.
Antara aksi PDRM FC menentang Selangor pada Sabtu lepas. — Facebook/PDRMFC
Untuk itu, tambah jurulatih berusia 56 tahun itu yang berpengalaman melatih Selangor pada 2017-2018, pasukannya perlu merantai pergerakan barisan penyerang lawan, Fortes, Ronnie Fernandez dan Olwan.
Tambahan, dia percaya Selangor FC boleh direncatkan dengan menafikan mereka peluang daripada memperagakan corak permainan biasa mereka yang memerlukan ruang-ruang yang ditinggalkan untuk dieksploitasi semaksimum mungkin.
“Pada masa yang sama, pemain-pemain saya perlu memberikan sehabis daya mereka kerana ini adalah satu-satunya perlawanan yang tidak harus mereka kesali kemudian.
“Mereka perlu sentiasa beringat bahawa setiap minit amat penting tanpa mereka boleh alpa dengan cabaran yang bakal dihadapi,” katanya.
Ditanya kata hatinya untuk aksi timbal balik ini, Maniam mengungkapkan: “Kami berupaya melakukan ‘upset’.” — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram