
BAGI peminat Manchester United (Man United), Gary Neville merupakan legenda yang tidak boleh diketepikan dalam sejarah gemilang kelab bola sepak tersebut.
Sebagai pemain, beliau merupakan kapten yang menerajui generasi terbaik pernah disaksikan menyarung jersi The Red Devils atau lebih popular dipanggil sebagai Class of 92.
Di bawah kepimpinannya, Manchester yang ketika itu dikendalikan Sir Alex Ferguson berjaya merangkul deretan piala di pentas domestik dan Eropah.
BACA LAGI: Inovasi meja ergonomik anak muda dari Pulau Pinang, tak gentar persaingan, teruskan legasi keluarga
BACA LAGI: Hobi berkhemah jadi bisnes, Kemrent Empire sasar 'one-stop centre' barangan aktiviti perkhemahan
Ia termasuk meraih gelaran treble pada musim 1998-1999 yang menyaksikan Manchester memenangi tiga piala utama iaitu Premier League, FA Cup, dan Liga Juara-Juara UEFA
Bagaimanapun, di sebalik ketegasan dan kepimpinan dipamerkan di atas padang, ramai peminat tidak menyedari bahawa Gary yang kini dikenali sebagai pengulas bola sepak Eropah sebenarnya adalah seorang usahawan yang memiliki empayar perniagaan cukup cemerlang.
Gary merupakan Pengarah kepada 53 syarikat di UK. — Agensi
Pada ketika ini, beliau merupakan pengarah kepada 53 syarikat di United Kingdom (UK) dan sudah memegang secara keseluruhan sebanyak 80 jawatan serupa.
Penglibatannya dalam perniagaan juga merentas sektor termasuk hartanah, perhotelan, media, pendidikan, pelaburan dan termasuk industri sukan.
Syarikat pertama bersama ayah
Gary yang kini berusia 50 tahun menubuhkan syarikat pertama, Gary Neville Limited, bersama bapanya, Neville Neville pada 1996.
Langkah itu bukan sesuatu yang luar biasa kerana kebanyakan pemain profesional sememangnya sering mewujudkan syarikat untuk menguruskan hak imej mereka.
Gary (kanan) bersama bapa yang menjadi sumber inspirasi dalam menentukan sikapnya dalam perniagaan dan tugas sebagai pemain bola sepak profesional. — Agensi
Beliau adalah pengarah tunggal syarikat itu, yang kini menggunakan nama Tiger Sports Management dan mempunyai hampir £7 juta (RM39.0 juta) aset bersih.
Relentless Holdings, perniagaan pelaburan dengan hampir £5 juta (RM23.1 juta) aset bersih yang Gary tubuhkan pada 2015 bersama isterinya Emma, ialah syarikat induk Tiger Sports Management dan banyak perniagaannya yang lain, termasuk Relentless Investments dan Relentless Developments.
Mentalitinya yang sentiasa berusaha tanpa henti dari bola sepak hingga perniagaan, telah tertanam pada usia muda daripada didikan ibu bapanya.
Mantra ayahnya ialah 'sentiasa buat yang terbaik setiap hari'.
Bertugas sebagai pemandu lori, ayahnya biasa bangun pada waktu awal pagi dan dan perlu menyelesaikan penghantarannya sebelum terlibat dalam projek lain seperti di Bury Football Club dan Lancashire County Cricket Club atau yang mana tempat beliau menjadi pengarah.
Sikap untuk sentiasa untuk memaksimumkan setiap saat pada setiap hari itu turut tertanam ke dalam diri Gary.
Di Manchester United, tempat yang mana beliau menghabiskan lebih daripada 30 tahun mengasah kemahirannya, beliau turut dikelilingi oleh barisan pemimpin.
Minat berniaga
Menerusi temu bual bersama On Diary of CEO, Gary berkongsikan mengenai 'mentaliti dahsyat' Alex Ferguson dan Roy Keane, yang menetapkan standard tertinggi.
Cintanya terhadap bidang hartanah turut boleh dilihat sejak beliau berusia 22 tahun, iaitu ketika masih bermain secara profesional.
Gary ketika beraksi sebagai kapten Manchester United. — Agensi
Ketika itu, anak jati Manchester itu mula menjalankan perniagaan pembangunan tempatan di Bolton dengan menyediakan perkhidmatan membaik pulih bangsal dan rumah ladang.
"Saya suka membangun, membuat kontrak dan mereka bentuk," katanya kepada penerbitan perdagangan, Building pada 2023.
Pada ketika ini, syarikat hartanahnya, Relentless Developments sedang menjalankan projek pembangunan bercampur dengan nilai anggaran £400 juta (RM2.2bilion) yang dijangka memakan tempoh 15 tahun.
Gary turut memiliki secara bersama dua hotel iaitu Hotel Football dan Stock Exchange Hotel), universiti (University Academy 92 (UA92)), syarikat penerbitan media (Buzz 16 dan The Overlap) serta kelab bola sepak League Two, Salford City.
Kesemua perniagaan tersebut berpangkalan di Greater Manchester.
Di sebalik kesibukannya menguruskan empayar perniagaan, Gary dilaporkan sentiasa turun padang melihat sendiri operasi setiap perusahaan dijalankan.
Menurut seorang pelayan bertugas di hotel bertaraf lima bintang dimiliki secara bersama oleh beliau iaitu Stock Exchange Hotel, Gary menggunakan pendekatan untuk turun secara langsung dan sering berada di lapangan termasuk dengan muncul untuk makan bersama keluarga pada waktu Ahad dari semasa ke semasa.
Ketika tempoh tersebut, beliau akan melakukan tinjauan rambang seperti bertanya khabar dan berbual dengan pekerjanya.
Sikap tersebut dipercayai ciri sama diterapkan oleh Ferguson ketika mengendalikan Manchester.
Gary ketika ini dianggarkan memiliki kekayaan bersih sekitar £70 juta (kira-kira RM400 juta). — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram