
BAPA Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, yang meninggal dunia selepas tercekik 'gummy' berbentuk mata kenyal hampir sebesar bola ping-pong mendedahkan bahawa anaknya tidak pernah makan jenis gula-gula itu sebelum ini.
Mohamad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, berkata, anak sulungnya mungkin membeli gula-gula itu bersama rakan-rakannya di sekolah agamanya di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.
"Setahu saya, dia tidak pernah makan dan saya pun tidak pernah membelikannya gula-gula itu," katanya.
BACA LAGI: Kanak-kanak tercekik gummy eye ball di Pulau Pinang meninggal dunia
Mohamad Fahmi (kanan) yang meninggal dunia pada Khamis lalu selepas tercekik gula-gula kenyal di sekolah.
Mohamad Fakhruddin yang bekerja sebagai pekerja p-hailing bagaimanapun berkata, dia tidak akan menyalahkan kejadian itu terhadap kematian anaknya.
Katanya, Mohamad Fahmi berkemungkinan boleh tercekik makanan lain pada waktu itu.
Mohamad Fakhruddin juga menerima tragedi itu sebagai ketentuan ALLAH dan menganggapnya sebagai ujian hidupnya.
Menurutnya, pihak keluarganya tidak bercadang untuk meneruskan kes tersebut walaupun mendapat arahan daripada polis.
"Kami tidak mahu menyalahkan sesiapa. Kami terima kematian anak kami,” tambahnya
Namun, dia tetap akan mematuhi nasihat polis untuk membuat laporan berhubung tragedi yang berlaku di sekolah itu.
Nenek mangsa, Hambiah Kassim, 75, pada masa sama berkata, dia tidak pernah menyangka Sabtu minggu lalu menjadi hari terakhir dapat bertemu dengan cucunya.
"Dia menghabiskan dua minggu di rumah saya di Alor Setar, Kedah pada musim cuti sekolah.
"Tetapi dia meminta bapanya datang ke rumah saya dan sempat menghabiskan masa seminggu lagi dan Sabtu lalu adalah hari terakhir saya berjumpa dengannya,” katanya.
Sementara itu, suasana sebak memenuhi Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Permatang Binjai, Pulau Pinang ketika jenazah Mohamad Fahmi dikebumikan pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman sebelum ini berkata, pihaknya masih menunggu laporan akhir berhubung kes itu untuk memastikan punca sebenar kematian.
Beliau bagaimanapun memaklumkan, tiada sebarang unsur jenayah dalam kes itu.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mengharamkan semua jenis makanan ringan.
Pegawai pendidikannya, N. Subarrow berkata, berdasarkan tinjauan CAP, terdapat ratusan gula-gula berbahaya dan makanan ringan di pasaran dijual kepada kanak-kanak.
"Pihak berkuasa mesti mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjual makanan ringan di luar sekolah," tegasnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri, Daniel Gooi berkata, sisa gula-gula kenyal yang dipercayai dimakan oleh mangsa sudah dirampas. — The Star/IMRAN HILMY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram