
SIARAN langsung solat tarawih sepanjang Ramadan di masjid Arab Saudi kini dihentikan selepas negara itu mengeluarkan larangan penggunaan kamera.
Ia merupakan sebahagian daripada garis panduan dan arahan kepada masjid menjelang persiapan Ramadan Mac nanti.
Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi menerusi kenyataan di laman X menjelaskan, ia bertujuan untuk memastikan kesucian masjid, mencipta suasana yang kondusif bagi menjalani ibadah serta menjamin keselesaan jemaah.
BACA LAGI : Puasa Sabtu atau Ahad terjawab, tarikh lihat anak bulan Ramadan ditetapkan 28 Februari
BACA LAGI : Ada pihak 'buat duit', raih untung besar hingga RM15,000 jual semula lot bazar Ramadan di KL
"Kementerian juga menegaskan keperluan untuk menetapkan kawalan terhadap pemasangan kamera di masjid dan tidak menggunakannya untuk merakam imam serta jemaah ketika solat," ciapnya.
Arahan itu turut menyatakan bahawa imam bertanggungjawab memberikan kebenaran kepada jemaah, mengesahkan tiada pelanggaran dilakukan, mengetahui maklumat berkaitan jemaah serta mendapatkan kelulusan penaja yang sah bagi bukan warga Arab Saudi.
Kementerian turut menekankan larangan mengumpul sumbangan kewangan bagi projek penyediaan berbuka puasa dan lain-lain.
Sekiranya ada, ia hendaklah diadakan di lokasi disediakan di perkarangan masjid serta di bawah tanggungjawab imam dan bilal.
Pihak yang bertanggungjawab menyediakan juadah berbuka puasa perlu membersihkan kawasan berkenaan sejurus selepas selesai serta dilarang mendirikan bilik atau khemah sementara bagi tujuan itu, menurut kenyataan berkenaan.
Selain itu, petugas masjid termasuk imam, pendakwah dan khatib digesa mempertingkatkan kesedaran agama dengan menerangkan keutamaan bulan Ramadan, hukum-hakamnya, galakan melakukan amal kebaikan serta kepentingan memanfaatkan keberkatan hari dan malam sepanjang bulan mulia itu.
Bagi memastikan semua arahan kepada petugas masjid dipatuhi, pemeriksa masjid akan mempergiat lawatan lapangan dan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram