
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikejarkan ke hospital selepas dilaporkan pengsan dan tidak sedarkan diri pada awal pagi Sabtu.
Tidak dinyatakan punca sebenar, beliau kini menerima rawatan di Hospital Sunway Medical Centre, Kota Damansara, Kuala Lumpur.
Hal itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar, Azran Fitri Rahim menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
BACA LAGI : Kanak-kanak tercekik gummy eye ball di Pulau Pinang meninggal dunia
BACA LAGI : Rakan lihat mangsa terjatuh, tak sedarkan diri tercekik gummy eye ball — Polis
Dalam perkembangan terbaharu, keadaan kesihatan Ismail Sabri mula stabil dan sedar sepenuhnya.
"Alhamdulillah keadaan beliau pada petang ini (Sabtu) telah stabil dan sedar sepenuhnya.
"Bagaimanapun beliau masih memerlukan pemerhatian rapi dan doktor juga tidak membenarkan Datuk Seri menerima pelawat buat sementara waktu sehingga kesihatannya kembali pulih.
"Hanya keluarga terdekat sahaja dibenar untuk menziarahi beliau," kata Azran Fitri.
Azran Fitri turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang bertanya khabar dan mendoakan kesihatan bekas Naib Presiden UMNO itu.
"Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan beliau supaya kembali pulih seperti sedia kala.
"Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan dan rahmat Yang Maha Esa," ujarnya.
Sementara itu, laman sosial dibanjiri ucapan warga maya yang mendoakan kesihatan bekas pemimpin negara itu.
"Semoga ALLAH permudahkan segala urusan rawatan ke atas Pak Long Mail dan diberi kesembuhan segera," kata Tahir Marican.
"Harap Datuk Seri Ismail Sabri segera sembuh seperti sedia kala, minta dijauhkan daripada penyakit," ujar Syidah Umai.
"Seorang bekas perdana menteri yang dihormati, semoga cepat sembuh Pak Long," tambah Johari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram