Kerajaan Perak perkenal subsidi RM600,000, bantu pasangan tanpa anak jalani rawatan IVF


  • Primer
  • Sabtu, 22 Feb 2025

Kerajaan Perak memperkenalkan subsidi khas buat golongan pasangan tanpa zuriat menjalani rawatan IVF.

SUBSIDI sebanyak RM600,000 disalurkan kerajaan Perak buat 150 pasangan suami isteri menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sebagai usaha mendapatkan zuriat.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, subsidi menerusi program Permata Perak itu akan memberi bantuan sebanyak RM4,000 kepada setiap pasangan yang ingin menjalani rawatan tersebut.

BACA LAGI: MCMC perlu kawal atau sekat Roblox elak kanak-kanak jadi mangsa ugut, pedofil — Shahul Hamid

BACA LAGI: [VIDEO] Budak cedera terperosok bawah Alza, kena langgar depan sekolah di Putrajaya

“Kita semua sedia maklum, isu kesuburan bukan sekadar cabaran dari sudut fizikal, malah memberi banyak tekanan emosi dan psikologi kepada pasangan yang melaluinya.

“Program ini bukan sahaja menawarkan rawatan kesuburan malah memberi harapan kepada pasangan yang sukar hamil,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Pakar Rawatan Kesuburan Metro IVF dan melancarkan program Kumpulan Sokongan Impian Dua Garis Perak di Ipoh pada Sabtu.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengasas dan pengerusi Metro Healthcare Berhad Dr Tee Swi Peng dan pakar obstetrik, ginekologi dan kesuburan Metro IVF Ipoh Profesor Dr V Jaya Balan.

Sementara itu, Saarani berkata, Metro IVF Ipoh kini merupakan sebahagian daripada rangkaian 27 pusat kesuburan IVF di Malaysia, dengan enam daripadanya dimiliki syarikat berkenaan.

Katanya, pembukaan pusat itu di Perak meluaskan lagi akses rawatan kesuburan kepada rakyat negeri tersebut.

Dalam pada itu, antara syarat kelayakan pasangan yang ingin mendapatkan subsidi ialah mereka mestilah warganegara Malaysia dan penduduk Perak, pasangan suami isteri yang disahkan tidak subur dan disyorkan untuk menjalani rawatan IVF serta perlu memenuhi kriteria perubatan seperti yang dinilai pakar Metro IVF.

Kaedah IVF dikatakan mampu meningkatkan kadar kejayaan sehingga 40 hingga 50 peratus, bergantung kepada keadaan kesihatan dan faktor individu pasangan yang menerima rawatan.

Malah, bagi pasangan yang berumur antara 25 dan 45 tahun, dengan rawatan yang betul dan bimbingan pakar, kadar keberkesanan IVF boleh mencapai antara 75 dan 90 peratus. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram