Tempias trend boikot beri 'keuntungan' buat Zlay, pelanggan beralih jenama lokal


  • Bizz
  • Jumaat, 24 Jan 2025

Noorzalikha (kanan depan) dan Suraya (kiri depan) ketika menghadiri pentas fesyen anjuran Malaysian Bumiputera Designer Association, pada tahun lalu.

TERDORONG dek kecintaan mengenakan variasi pakaian membuka peluang buat bekas wartawan politik, Noorzalikha Mohamad mengatur langkah penuh gaya sebagai pengasas jenama fesyen yang semakin meningkat naik.

Bergandingan bersama rakan kongsi, Suraya Kamarudin, gabungan idea dan visi kedua-dua pencinta fesyen ini menghasilkan koleksi yang bukan sahaja elegan tetapi juga mampu milik.

Tampil di bawah jenama Zlay, ujar Noorzalikha, nama tersebut diambil bersempena gabungan nama dirinya dan juga Suraya yang sudah dikenali sejak empat tahun lalu.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Berkongsi kepada Majoriti, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Komunikasi dan Dasar daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor ini memulakan karier sebagai pengamal media sejak berusia 23 tahun.

Selama tujuh tahun Noorzalikha menelusuri dunia penuh cabaran itu sehinggalah dia memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pada 2017 bagi memberi lebih fokus kepada keluarga.

"Sebelum ini, saya bekerja sebagai wartawan yang banyak berkongsi tentang isu politik, namun masa kerja yang tidak menentu menyebabkan saya nekad untuk berhenti.

"Apatah lagi ketika itu saya mempunyai anak kecil yang memerlukan penjagaan rapi," katanya sambil menambah bahawa kerjaya terakhirnya adalah di sebuah stesen televisyen digital milik kerajaan negeri.

WhatsApp Image 2025-01-23 at 14.24.39 (1)

Zlay memenuhi keperluan pasaran yang mencari alternatif fesyen serupa pada harga berpatutan.

Perjalanan Noorzalikha dalam perniagaan fesyen bermula pada 2017, yakni sebagai personal shopper.

Wanita berumur 37 tahun ini pada awalnya melayani permintaan barangan di dalam negara menggunakan platform media sosial.

Kejayaan dalam memenuhi permintaan pelanggan tempatan membuka peluang untuk ibu kepada seorang anak berusia 11 tahun itu mengembangkan bisnes ke pasaran antarabangsa, khususnya di Eropah dengan memberi tumpuan kepada produk mewah seperti beg tangan berjenama.

Namun, perubahan besar dalam hidupnya berlaku selepas diajak oleh rakannya untuk melancarkan jenama fesyen Zlay.

WhatsApp Image 2025-01-23 at 14.18.45

Noorzalikha (kiri) dan Suraya memiliki cita rasa sama dalam berfesyen.

Keputusan itu juga tercetus selepas Noorzalikha dan Suraya kerap mendapat pertanyaan mengenai pakaian yang digayakan, terutamanya apabila berkongsi gambar Outfit of the Day (OOTD) di media sosial.

"Bukan sahaja suka membeli-belah bersama, malah kami berdua turut memiliki cita rasa serupa dalam berfesyen.

"Setiap kali itu juga ramai bertanya tentang pakaian, nama kedai, harga dan sebagainya.

"Daripada perbualan tersebut, timbul ilham untuk menghasilkan fesyen berkualiti tinggi pada harga berpatutan kepada pasaran tempatan,” ujarnya menambah, Zlay beroperasi secara rasmi pada Januari 2022.

WhatsApp Image 2025-01-23 at 14.18.48

Noorzalikha berkata, pakaian dengan potongan gaya longgar dan oversized menjadi antara trend di Malaysia ketika ini.

Trend boikot beri kelebihan

Rezeki nyata berpihak buat dua wanita hebat ini apabila trend boikot barangan berkaitan Israel susulan kemelut melanda tanah Palestin, menyaksikan produk mereka mendapat perhatian luar biasa daripada pengguna lokal.

Situasi itu juga katanya, turut memberi peluang bagi Zlay untuk muncul di pasaran.

"Kami mahu memenuhi keperluan pasaran yang mencari alternatif fesyen serupa, namun pada harga lebih berpatutan.

“Melihat perkembangan semasa, kami sedar ini adalah waktu tepat untuk memperkenalkan produk keluaran sendiri,” ceritanya lagi.

WhatsApp Image 2025-01-23 at 14.24.35

Noorzalikha mahu produknya dikenali kerana kualiti dan fabrik digunakan.

Fabrik linen

Berbicara lebih lanjut mengenai Zlay, Noorzalikha memberitahu, jenamanya terkenal dengan koleksi pakaian berasaskan fabrik linen yang jarang ditemui di pasaran tempatan.

Terangnya lagi, mereka juga menekankan kepentingan kualiti dalam setiap rekaan yang disesuaikan khusus untuk wanita berusia lingkungan 30-an hingga 50-an.

“Kami mahu produk dikenali kerana kualiti dan fabrik yang digunakan. Koleksi kami bukan hanya tentang trend terkini, tetapi lebih kepada menyediakan fesyen moden yang selesa dan sesuai untuk wanita tempatan.

"Kami menawarkan pakaian linen dengan harga di bawah RM200, lebih murah berbanding jenama antarabangsa yang sering menawarkan harga agak mahal," jelasnya yang memperoleh fabrik dari Indonesia, Thailand dan akan datang, China.

Salah satu produk terlaris jenama ini adalah boyfriend shirt, yang mendapat sambutan memberangsangkan sejak diperkenalkan pada September tahun lalu.

Menyedari potensi trend ini, Noorzalikha mengambil langkah berani melancarkan versi baharu baju tersebut pada tahun ini, menerusi hasil kerjasama dengan seorang pereka fesyen terkenal Malaysia.

Kolaborasi tersebut bertujuan menyuntik elemen baharu dalam rekaan boyfriend shirt yang menjadi trend sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Snapinst.app_471664236_18480653701029762_6935359320383802848_n_1080

ZLAY menyediakan fesyen moden selesa ideal untuk wanita tempatan.

"Sebelum ini, boyfriend shirt Zlay diperbuat daripada Japanese cotton, yang mendapat sambutan hebat dalam kalangan pelanggan kerana keselesaan dan kualitinya.

"Tahun ini, kita nak perkenalkan fesyen sama tetapi dengan fabrik linen," katanya yang akan mengadakan pelancaran lunak (soft launch) pada 8 Februari depan.

Noorzalikha dalam pada itu sempat berkongsi pandangannya mengenai trend yang mendominasi fesyen semasa.

Menurutnya, pada tahun ini, orang ramai lebih mengutamakan keselesaan dalam pemakaian, dengan trend lebih kepada potongan longgar dan gaya oversized.

“Pakaian yang lebih selesa, seperti stail regular fit dan wide-leg pants, dijangka mendominasi pasaran, berbanding gaya slim fit yang semakin kurang popular,” jelas anak jati Ampang, Selangor itu.

Snapinst.app_456694149_18456330874029762_684286714742302907_n_1080

Boyfriend shirt antara fesyen mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan Zlay kerana kualitinya.

Menjelang perayaan Aidilfitri, Zlay tidak melepaskan peluang untuk memperkenalkan koleksi pakaian lebaran 2025.

"Dengan tema floral printed dan sentuhan lace, kami akan mengeluarkan rekaan yang mudah tetapi elegan dan sesuai dengan cita rasa masyarakat Malaysia," katanya.

Tahun 2024 mencatat sejarah manis buat Noorzalikha dan Suraya apabila dijemput oleh Malaysian Bumiputera Designer Association (MBDA) untuk menjadi sebahagian daripada program anjuran mereka.

Jemputan itu bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada Zlay sebagai jenama yang sedang melonjak naik, malah membuka peluang besar untuk melibatkan diri dalam dunia fesyen arus perdana.

“Alhamdulillah, 2024 merupakan tahun yang penuh pencapaian bagi kami. MBDA memberi peluang untuk kami berada di bawah persatuan mereka dan menyertai fashion show. Acara ini sangat bermakna kerana ia menyediakan platform untuk mempamerkan rekaan sendiri di pentas fesyen utama,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram