
DIKENALI dengan rekaan artistik dengan elemen lucu bersahaja, terjemahan hasil seni Izzati Suza tidak pernah gagal menjentik minat khususnya dalam kalangan peminat rekaan seni lukisan tanah air.
Tidak hanya mengangkat tema kemanusiaan, lukisan anak seni itu juga sering melambangkan keunikan identiti Malaysia.
Berusia 30 tahun, pemilik nama penuh Izzati Afiqah Che Suza itu menjadikan studio miliknya yang terletak di Bandar Setia Alam, Shah Alam, Selangor sebagai ruang mengintepretasi.
BACA LAGI: Tempias trend boikot beri 'keuntungan' buat Zlay, pelanggan beralih jenama lokal
Lukisan Izzati dikenali dengan rekaan artistik dengan elemen lucu bersahaja. — Izzati Suza
Menubuhkan Kedai Suza pada 2017, studio tersebut pada awalnya berlokasi di Ayer Keroh, Melaka, sebelum beliau sekeluarga berpindah ke Setia Alam pada 2022.
Karya-karya Izzati yang menggabungkan elemen humor dan emosi jelas dipengaruhi oleh pelbagai inspirasi yang mencetuskan kreativiti dalam dirinya.
Meski identiti figura berperwatakan cerita itu semakin meniti di bibir peminat seni, perjalanan yang ditempuhnya tidaklah sentiasa mudah.
Karya-karya Izzati menggabungkan elemen humor dan emosi yang dipengaruhi oleh pelbagai inspirasi. — Izzati Suza
Bercerita kepada Majoriti, pemergian bapa tercinta, Che Suza Che Hitam sejak tujuh tahun lalu meninggalkan impak besar buat Izzati keluarga.
Mengimbas kembali insiden duka tersebut, ujar Izzati, arwah bapa yang berusia 59 tahun ketika itu, meninggal dunia selepas terlantar selama tiga tahun akibat kemalangan dialami bersama isteri, Mazlina Mokhtar pada 2015.
Kemalangan tersebut mengakibatkan bapanya yang juga bekas Ketua Polis Daerah Jasin dan Kemaman, Terengganu terlantar dan memerlukan penjagaan rapi.
"Umi mendapat jahitan, tetapi ayah terbaring di katil dengan kecederaan kepala yang teruk.
"Ketika itu saya pelajar tahun kedua pengajian Seni Bina di UiTM (Universiti Teknologi Mara) Seri Iskandar, Perak.
"Saya mengambil cuti daripada pengajian, tetapi akhirnya memutuskan untuk berhenti kerana ayah perlu dijaga 24 jam setiap hari. Saya anggap ini adalah rezeki untuk jaga ayah,” kongsinya.
Izzati (kanan) bersama ibunya sebagai penguat semangat untuk beliau terus berkarya. — Izzati Suza
Izzati dan ibunya kemudian mengambil tanggungjawab untuk menjaga bapanya.
Jelasnya lagi, fokus utama mereka adalah untuk membuat bapanya bercakap semula disebabkan beliau tidak dapat berkomunikasi, makan atau berjalan seperti insan normal.
Segalanya berlaku dengan tiba-tiba. Begitu banyak yang hendak diluahkan anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Beliau akhirnya memutuskan untuk menyalurkan emosi dengan melukis komik dan coretan, bersama mesej yang bermakna.
"Saya akan melukis teko kaca untuk melambangkan perasaan yang rapuh.
"Adakalanya melukis bunga segar yang layu melambangkan (hati) saya mudah terjejas.
"Sejak itu saya mula mempunyai gaya tersendiri, dengan menggabungkan cerita dan simbol dalam coretan dan lukisan,” bualnya yang menggunakan Instagram @izzatisuza sebagai medium portfolio.
Kedai Suza merupakan penghormatan buat bapanya yang banyak memberikan dukungan dalam perjalanan seninya. — Izzati Suza
Penghormatan arwah bapa
Kongsi anak kelahiran Selangor itu lagi, Kedai Suza terlahir sebagai penghormatan buat bapanya yang banyak memberikan dukungan dalam perjalanan seninya.
Namun takdir ALLAH SWT mengatasi segala-galanya, bapa beliau menghembuskan nafas terakhir selepas enam bulan studio dibuka.
Berkat semangat dititip ibu dan dua kakak tercinta, beliau nekad mengembangkan karier dalam bidang seni lukisan.
Meletakkan karakter bibir tebal dalam lukisan sebagai signatur, rekaan seniman sepenuh masa yang sering menggambarkan ragam dan sikap masyarakat itu sering kali menambat hati.
Saat ditanya mengapa bibir tebal dicipta sebagai simbolisme dalam lukisan, wanita itu tersenyum seraya berkata, ia bertujuan menggambarkan ekspresi emosi secara lebih jelas.
"Bibir besar senang nak tunjuk emosi ketika seronok ataupun monyok," ujarnya yang turut berkongsi studionya bersama pelukis seni contengan (doodle), Ann Jaafar, 33.
Izzati berkongsi studio bersama Ann Jaafar, yang terkenal dengan memakai beg kertas. — Izzati Suza
Wanita dalam seni
Namun, cabaran terbesar yang dihadapi bukan sahaja datang daripada dunia seni, tetapi juga dalam dirinya sendiri.
Sebagai seorang wanita, Izzati mengakui turut berdepan rasa malu dan keraguan yang sering menghantuinya apabila mula terlibat dalam industri seni.
“Saya takut orang tak faham dan kalau nak muat naik video di media sosial pun, saya bimbang mereka anggap saya ini keterlaluan.
"Namun sokongan daripada umi beri inspirasi besar kepada saya. Umi selalu kata, kenapa nak fikir tentang orang lain? Selepas itu barulah saya lega.
"Umi pun orang seni, dia gemar mengumpul magnet kecil untuk diletakkan di ruangan dinding rumah kami," ujarnya menambah, koleksi magnet ibunya sudah mencecah lebih 1,000 yang dikumpul sejak umur 17 tahun.
Seiring berjalannya waktu, Izzati menemui keyakinan dalam seni dan kehidupan.
Beliau juga berpegang pada prinsip bahawa seni tidak mengenal jantina, walaupun industri tersebut cenderung didominasi kaum lelaki.
Sandara mengejutkan peminat di Malaysia dengan mengenakan kemeja-T hasil rekaan Izzati Suza (kiri). — Izzati Suza
Izzati kini terus melebar sayap dengan lebih banyak kolaborasi bersama jenama seperti Nike, Aeon Malaysia, Yeo's Malaysia dan Baihaqi Ismail.
Percaturan kerjasama bersama Nike dalam kempen Nike By You pada 2022 juga nyata membawa tuah buat pelukis tersebut selepas kemeja-T yang mencerminkan budaya tempatan, turut meraih perhatian selebriti popular Korea Selatan, Sandara Park.
Ikon K-pop yang juga ahli anggota grup 2NE1 itu mengejutkan peminat apabila tiba di Kuala Lumpur baru-baru ini dengan mengenakan baju T berkenaan, yang dipesannya secara khas daripada Nike.
Selain itu, antara kolaborasi terbaharu beliau adalah bersama dengan Juice Works dan Mitsubishi.
"Tahun ini, saya bekerjasama dengan Juice Works bagi menghasilkan koleksi khas untuk pelbagai produk sempena sambutan Hari Raya.
"Setiap projek ini memberi peluang untuk saya mengembangkan lagi kreativiti dan mendekatkan seni kepada masyarakat," katanya yang membesar di pelbagai kawasan termasuk Labuan, Sabah; Ipoh, Perak, Melaka dan Terengganu.
Izzati mencipta seni lukisan pada kenderaan Mitsubishi Xpander bersempena KLIMS 2024. — Izzati Suza
Selain itu, Izzati turut mencipta sejarah dalam kerjayanya dengan menjadikan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi Xpander sebagai ‘kanvas lukisan’.
"Melalui kerjasama tersebut, saya dikehendaki mencipta seni lukisan pada kereta berkenaan dengan disaksikan pengunjung, selama tiga hari berturut-turut, bersempena Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.
"Projek ini memang mencabar. Saya perlu melukis dengan dakwat water based pada permukaan kereta. Awalnya ragu-ragu, tetapi akhirnya saya berjaya melakukannya," ujar Izzati penuh teruja.
Dunia seni tidak pernah statik dan bagi Izzati, perkembangan dalam bidang itu bukan sekadar tentang bakat tetapi juga proses mematangkan karya dan mencari ketenangan dalam berkarya.
Akuinya, sejak berpindah ke Setia Alam, beliau lebih tenang dan mampu menghasilkan karya yang memfokuskan pada perincian.
"Dulu saya tak boleh buat lukisan sebegini sebab tak cukup mahir dan tidak berada dalam keadaan yang aman. Tapi sekarang, saya boleh duduk dan betul-betul menghalusi karya sendiri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram