
HAKIKATNYA tidak ramai wanita berani memilih kerjaya mencabar antaranya bidang kejuruteraan kerana beranggapan ia kerja berat dan hak mutlak kaum Adam.
Namun, tidak bagi Norshafiqa Mohamad Suhaimi atau lebih dikenali sebagai Gadis Chargeman di media sosial yang menyifatkan ia bukan sekadar kerjaya biasa.
Berbekalkan minat mendalam dalam bidang kejuruteraan elektrik, Norshafiqa tekad membuktikan keupayaan wanita dalam industri yang didominasi golongan lelaki.
BACA LAGI: Dari jururawat ke penjaga nenek di Mesra Home, Faezah bukti wanita kuat masih wujud
BACA LAGI: Kerjakan ibadah dengan selamat, ada sebab jemaah wajib ambil vaksin sebelum ke Tanah Suci
Norshafiqa bekerja sebagai juruteknik elektrik di sebuah syarikat di Kuala Lumpur. — Norshafiqa
Pilihannya juga bukan sekadar untuk mengejar impian, bahkan menjadi realiti yang dibentuk dengan kesungguhan dan minat mendalam.
Ayah sumber inspirasi
Sejak kecil, Norshafiqa sudah terbiasa melihat ayahnya yang juga bekerja sebagai juruteknik dalam bidang mekanikal elektrik khususnya dalam penyelenggaraan lif.
Kekaguman terhadap kemahiran dan dedikasi ayahnya menjadi titik tolak, sekali gus beliau bertekad untuk terlibat dalam dunia teknikal.
"Ada satu ketika, rumah kami mengalami gangguan elektrik dan saya melihat sendiri bagaimana ayah menyelesaikan masalah tersebut dengan penuh yakin.
"Dari situ, saya mula berfikir mahu mempunyai kemahiran sama supaya dapat berdikari dan membuktikan bahawa wanita juga mampu dalam bidang teknikal.
"Selain itu, ketika menyambung pengajian dalam bidang Penyejukbekuan dan Penyaman Udara di Sekolah Vokasional Tengku Ampuan Afzan, Pahang pada 2012, saya semakin memahami asas elektrik dan menyedari mempunyai minat mendalam.
"Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk terus mendalami bidang ini sehingga mencapai tahap Chargeman A4," katanya kepada Majoriti.
Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan yang kini menetap di Kuala Lumpur itu juga berhasrat melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut sehingga memperoleh pengiktirafan Chargeman B0.
Keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang Norshafiqa (kiri) dalam mengejar impiannya. — Instagram/Norshafiqa
Gadis berusia 29 tahun itu percaya bahawa semakin tinggi tahap kemahiran dan kompeten, maka semakin luas peluang untuk dirinya berkembang dalam industri itu.
"Saya mahu terus mencabar diri dan membuktikan bahawa wanita juga mampu berjaya dalam bidang yang sering didominasi lelaki," ujarnya.
Katanya, meskipun mempunyai cita-cita dan minat dalam pelbagai bidang lain, namun beliau lebih terdedah kepada dunia kemahiran sejak di bangku sekolah.
Kursus Penyejukbekuan dan Penyaman Udara yang diambil ketika sekolah menyedarkannya bahawa bidang kemahiran bukan sahaja menarik, tetapi memberi peluang kerjaya luas serta kestabilan masa depan.
Cabaran dan stereotaip
Norshafiqa berkata, bidang teknikal bukan sekadar memasang wayar atau membaiki fius. Ia menuntut ketahanan fizikal dan mental termasuk bekerja dengan alat berat, berada di tempat tinggi serta berdepan risiko kemalangan membawa maut.
"Tak semua orang nampak realiti kerja sebagai juruteknik elektrik, lagi-lagi apabila perempuan yang buat.
"Saya sendiri perlu sentiasa berjaga-jaga sebab bekerja dikelilingi elektrik dan kadangkala kena panjat tempat tinggi.
"Silap sikit, boleh cedera atau lebih teruk risiko hilang nyawa. Dari segi fizikal pula, kerja ini bukan jenis duduk depan komputer, tetapi perlu angkat barang berat, kerja dalam cuaca panas, ruang sempit dan kena banyak bergerak. Memang penat, tetapi sudah minat, layankan sahaja," katanya.
Kerjaya tersebut sememangnya mencabar buat Norshafiqa sebagai seorang wanita. — Norshafiqa
Sepanjang hampir tiga tahun dalam bidang itu, banyak cabaran sudah ditempuhinya.
Kata anak kedua daripada lima beradik itu, pengalaman paling tidak dapat dilupakan apabila hampir terkena percikan api di muka ketika bekerja.
"Pengalaman mengajar saya sedar betapa pentingnya keselamatan ketika melakukan kerja di dalam bilik elektrik voltan rendah (LV).
"Tengah fokus, tiba-tiba letusan kecil dan percikan api keluar di hadapan muka. Mujur pakai alat perlindungan diri (PPE) lengkap, kalau tidak entahlah nasib saya masa itu.
"Sejak itu, saya sedar, tak kira di mana-mana bilik elektrik pemakaian PPE dan langkah keselamatan tidak boleh dipandang ringan. Bukan sahaja untuk diri sendiri, tapi keselamatan orang lain jua," tegasnya.
Antara cabaran lain adalah dari sudut pandangan dan tanggapan negatif segelintir individu.
Norshafiqa juga mengakui bahawa dirinya tidak terkecuali dalam menerima tempias streotaip wanita tidak boleh bekerja sebagai juruteknik.
"Ada sahaja yang skeptikal dan kata 'perempuan bolehkah buat kerja ini?' atau 'tak berat sangatkah untuk perempuan?'.
"Ada juga yang cakap, 'kenapa kerja macam ini? Tak penat ke?' atau 'perempuan patut cari kerja yang lebih senang, duduk di pejabat sahaja'.
"Kadang-kadang kena buktikan lebih daripada lelaki supaya orang percaya kita betul-betul boleh buat. Tambah pula waktu kerja tak menentu.
"Ada masa perlu bersedia bekerja lebih masa atau tiba-tiba turun kerja tengah malam kalau ada kecemasan. Kalau tolak, orang cakap tak komited," jelasnya.
Sebagai wanita, Norshafiqa tidak menafikan bahawa kerjaya itu sememangnya berat, apatah buat mereka yang sudah bekerluarga.
Walaupun masih berstatus bujang, katanya, segala risiko yang perlu dihadapinya perlu dipertimbangkan sekiranya sudah mempunyai keluarga kelak.
"Kalau dah berkeluarga nanti, memang cabaran tu makin bertambah, tetapi kalau ada rezeki dan masih minat, kenapa nak berhenti?
"Cakap memang senang, tapi yang lalui sahaja tahu betapa susahnya nak seimbangkan kerja dan keluarga.
"Risiko kerja tetap sama, tapi apabila sudah ada suami dan anak-anak, kena lebih berhati-hati sebab ada orang yang harapkan kita balik rumah dengan selamat.
"Realitinya, memang tak mudah. Tapi buat masa sekarang, saya masih minat dan selagi boleh, saya akan teruskan," katanya lagi.
Justeru, Norshafiqa mahu mengajak lebih ramai wanita untuk berani mengatasi ketakutan untuk menceburi bidang tersebut.
Katanya, keyakinan dan semangat belajar menjadi kunci kejayaan buat sesiapa yang mahu bekerja sedemikian.
"Hakikatnya, jika ada kemahuan dan usaha, perempuan pun boleh buat kerja ini.
"Dunia sudah berubah dan wanita juga layak berada dalam bidang teknikal. Jadi, kalau ada minat, jangan biar orang lain tentukan apa yang kita boleh atau tidak boleh buat," pesannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram