[VIDEO] Pernah hilang motivasi sebab 'makcik bawang', kasut, beg tangan Christy Ng kini jengah pasaran Indonesia


  • Bizz
  • Selasa, 18 Feb 2025

Populariti koleksi kasut dan beg tangan Christy Ng melonjak begitu dahsyat. — Christy Ng

RAMAI usahawan berhasil membuktikan bahawa kejayaan boleh bermula dari bawah, termasuk dari pasar malam atau jualan lambak.

Christina Mei Mei Ng, salah seorang daripadanya.

Memiliki jenama beg dan kasut pilihan rakyat Malaysia, tapak pemula bisnes wanita itu hanyalah dari tepi jalan.

BACA LAGI: Tempias trend boikot beri 'keuntungan' buat Zlay, pelanggan beralih jenama lokal

BACA LAGI: Fesyen warga Singapura lebih sekular, Malaysia minat perincian, Dahlia lebih selektif bawa jenama tempatan ke seberang tambak

Snapinst.app_461036748_18454805272006011_7030454064795841221_n_1080 (1)

Anak sulung daripada dua beradik itu giat bekerja sambilan untuk membantu keluarga. — Christy Ng

Populariti koleksi kasut dan beg tangannya melonjak begitu dahsyat, membolehkan jenama Christy Ng berkembang hanya menjual dari ruang tamu rumah kepada memiliki 12 butik fizikal di seluruh negara.

Melihat gaya dan fesyen urbannya, pasti ada beranggapan ahli perniagaan berusia 37 tahun tersebut berasal daripada keluarga berada.

Sebaliknya, beliau mesra disapa Christy dilahirkan dan dibesarkan sebagai anak kampung di Kluang, Johor. Bapanya mencari rezeki sebagai tukang cuci penyaman udara manakala ibu pula suri rumah.

Menyedari keadaan ekonomi keluarganya, anak sulung daripada dua beradik itu bekerja secara sambilan di beberapa premis untuk membantu keluarga.

"Saya bermula dari bawah dan bukanlah datang daripada keluarga senang. Kami berpindah dari Kluang ke Petaling Jaya, Selangor ketika berumur empat tahun.

"Saya mula berniaga sejak umur sembilan tahun dengan menjual bunga jerami buatan ibu di stesen-stesen LRT (Transit Aliran Ringan)," kongsinya memulakan bicara kepada Majoriti.

Snapinst.app_463613359_1252584212563663_8975144812740596342_n_1080

Christy percaya seseorang perlu mengejar minat mereka untuk merasakan kepuasan dalam hidup. — Christy Ng

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi dan Sains Hayat daripada Universiti Industri Selangor (kini Universiti Selangor), beliau pernah berkhidmat di sebuah syarikat farmaseutikal pada 2010.

Minat mendalam terhadap rekaan kasut yang cantik sejak umur lima tahun mendorongnya memulakan perniagaan menjual kasut di pasar malam selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Selepas SPM, saya dan rakan-rakan melancong ke Thailand dan kebetulan ada jualan gudang kasut yang cantik, jadi saya beli untuk kegunaan peribadi.

"Tak sangka pula ramai memuji dan sarankan saya menjualnya.

"Dari situ tercetus idea membeli kasut dari Thailand dan jual di pasar malam meskipun ketika itu masih bekerja di syarikat farmaseutikal.

"Saya pula sejenis yang tebal muka. Semua benda saya buat untuk tarik pelanggan termasuk menjual sambil pakai mikrofon.

"Saya juga berniaga di tepi jalan, buka booth (reruai) di tempat parkir dan memaksa rakan-rakan membantu tanpa bayaran," ujarnya yang pernah bekerja sebagai pelayan bagi membiayai pengajian kolej.

Berinteraksi dengan pelanggan katanya, membantu beliau memahami kemahuan mereka.

Bagaimanapun, tidak dinafikan agak sukar menjual kasut di pasar malam sehinggalah rakan-rakan menyarankan beliau memperkenalkan jenama sendiri.

Snapinst.app_472896478_18476292025006011_450891798437381251_n_1080

Beliau percaya seseorang perlu mengejar minat untuk berasakan kepuasan dalam hidup. — Christy Ng

Meski bidang diceburi kini tidak berkaitan dengan latar belakang akademiknya, beliau percaya seseorang perlu mengejar minat untuk berasa puas dalam hidup.

Beliau kemudian mempamerkan reka bentuk kasut yang dilukis di laman Facebook sehinggalah Christy Ng Shoes’s Fan Page mula menerima ribuan pengikut dalam bulan pertama.

Ceritanya lagi, beliau membuka laman web sendiri untuk menjual kasut pada 2012, menggunakan wang simpanan kurang daripada RM10,000 sebagai modal.

Pengalaman berniaga di pasar malam memperkenalkan dirinya dengan ramai pembekal kilang dari China dan Thailand.

"Dari situ saya bina jaringan dan hasilkan produksi sendiri. Saya gunakan semua duit hasil titik peluh meniaga di pasar malam dan kerja sambilan," cerita beliau sambil menambah rekaan pertama adalah kasut tumit setinggi lima inci.

Namun, perjalanannya tidaklah selancar disangka. Beliau pernah berdepan situasi jualan kurang memberangsangkan, menyebabkan pemilik perniagaan itu tidak mampu membayar gaji kakitangan.

Bagaimanapun, rezeki nyata berpihak buat wanita itu apabila berjaya membuka kedai sulung pada September 2016 di kompleks beli-belah 1Utama, Petaling Jaya, Selangor dan mendapat pulangan sebanyak tiga kali ganda pada penghujung tahun sama.

Selain premis fizikal, produk tersebut turut dibeli pelanggan luar seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Indonesia, Australia dan Singapura, menerusi pembelian secara dalam talian.

Untitled design (31)

Usahawan wanita ini menggunakan wang simpanan kurang daripada RM10,000 sebagai modal perniagaan. — Christy Ng

Corn

Bukan semata-mata kerana wang, tetapi pengalaman peribadi menyakitkan menjadi pemangkin kepada Christy untuk memulakan perniagaan kasut.

"Dulu saya bekerja sebagai pelayan restoran. Biasanya, perlu berdiri sepanjang hari 10 hingga 12 jam. Lama-kelamaan, saya mula perasan sesuatu terbentuk di tapak kaki iaitu kematu atau corn," katanya.

Keadaan itu semakin serius sehingga beliau terpaksa menjalani pembedahan untuk membuang kematu sebesar duit syiling 50 sen lama.

Kesakitan dialaminya menyebabkan beliau sukar berjalan selama berbulan-bulan.

Dari pengalaman pahit itu, timbul inspirasi menghasilkan kasut yang bukan sahaja bergaya, tetapi selesa, berkualiti tinggi pada harga mampu milik.

"Saya mahu memastikan orang lain tidak mengalami kesakitan seperti saya. Jadi, terlahirlah jenama kasut Christy Ng yang kita kenal hari ini," ujarnya yang kini mengendalikan lebih 100 kakitangan.

KASUT

Antara rekaan kasut jenama Christy Ng. — Christy Ng

Pandang rendah

Meski tidak menghalang, beliau mengakui bahawa ibu bapa pada awalnya bimbang akan risiko kegagalan yang tinggi dalam perniagaan.

"Bisnes memang menakutkan, jika 100 orang yang memulakannya, mungkin 99 atau 100 akan gagal. Jadi, risikonya sangat tinggi.

"Saya memahami ketakutan ibu bapa kerana kegagalan dalam perniagaan boleh memberi kesan besar, termasuk kehilangan modal.

“Bukan tidak menyokong, cuma mereka risau jika saya gagal. Namun, tetap menyokong dan mendoakan kejayaan saya," ujar wanita itu lagi.

Peralihan kerjaya daripada 'makan gaji' kepada bekerja sendiri, pastinya wujud segelintir pihak yang menganggap ia satu tindakan kurang bijak untuk diambil.

Keputusan untuk bertatih dalam dunia perniagaan dengan membuka tapak di pasar malam juga meraih persepsi negatif daripada insan di sekeliling, termasuk ahli keluarganya sendiri.

"Ada ibu saudara mnegatakan, bapa tidak kaya tapi saya pula kerja di pasar malam, memang tiada masa depan dan tidak akan berjaya.

"Adakalanya kata-kata 'makcik bawang' memang membuatkan saya tidak bermotivasi.

"Namun, saya seorang yang degil, tidak kisah tanggapan orang dan buat saja," kongsinya yang pernah memenangi Cabaran Alliance Bank’s Bizsmart SME Innovation pada 2013.

Snapinst.app_473186873_18476312659006011_8113352927350281103_n_1080

Christy dikenali sebagai ahli perniagaan yang fasih berbahasa Malaysia. — Christy Ng

Bahasa Malaysia

Dikenali sebagai ahli perniagaan yang fasih berbahasa Malaysia, Christy menganggap bahasa tersebut sudah menjadi sebahagian daripada identitinya sejak kecil.

Apatah lagi dirinya memang membesar dalam persekitaran menggunakan bahasa kebangsaan itu sebagai bahasa utama.

"Saya bersekolah di sekolah kebangsaan dan meneruskan pelajaran di sekolah menengah kebangsaan.

"Kawan-kawan pun ramai bertutur dalam bahasa Malaysia, jadi secara semula jadi terbiasa menggunakan dalam komunikasi harian," katanya.

Baginya, penggunaan bahasa Malaysia bukanlah strategi pemasaran, tetapi lebih kepada keupayaan semula jadi rakyat Malaysia.

"Saya rasa semua rakyat Malaysia boleh bertutur dalam bahasa Malaysia kerana ia adalah bahasa kebangsaan.

"Malah, dalam SPM, kalau tidak lulus subjek Bahasa Melayu, kita tidak boleh mendapat sijil penuh," bualnya yang fasih empat bahasa termasuk bahasa Inggeris, Mandarin dan Kantonis.

IMG_6562

Premis baharu di Kota Kasablanka menandakan permulaan perjalanan Christy Ng dalam pasaran Indonesia. — Christy Ng

Jenama taraf antarabangsa

Keistimewaan kasut Christy Ng terletak pada rekaan yang elegan, berkualiti tinggi dan mampu dimiliki pelbagai lapisan masyarakat.

Setiap kasut direka dengan gabungan estetika moden dan keselesaan, menjadikannya pilihan utama bagi mereka yang mementingkan gaya dan fungsi.

Selain itu, jenama tersebut juga terkenal dengan perkhidmatan kasut yang boleh disesuaikan (customizable), memberi pelanggan kebebasan mencipta rekaan unik mengikut cita rasa mereka sendiri.

Berkat strategi pemasaran digital yang berkesan dan inovasi berterusan dalam rekaan, Christy Ng kini berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan pelanggan dari pelbagai negara.

Sebagai pembuka tirai kejayaan 2025, jenama popular itu bakal menjengah ke pasaran negara seberang dengan melancarkan premis ke-13 di Jakarta, Indonesia pada 1 Mac depan.

Beliau turut menyifatkan pelancaran butik di Indonesia sebagai pencapaian terbesar dalam hidupnya dan sorotan utama suku pertama pada tahun ini.

"Saya tidak pernah terbayang akan berkembang sejauh ini. Semuanya menjadi kenyataan kerana sokongan luar biasa daripada pelanggan.

"Kita fokus pada Indonesia disebabkan populasinya yang tinggi iaitu hampir 300 juta penduduk.

"Saya sangat berharap peminat setia mendoakan yang terbaik untuk permulaan baharu kami di sana.

“Saya juga berhasrat membawa jenama ini ke pelusuk dunia, tetapi masih mengekalkan identiti sebagai jenama Malaysia," tegas penerima Anugerah The Best Rising Star Fashion Category Summit Malaysia x TikTok Shop 2023 itu.

Premis baharu yang terletak di Kota Kasablanka itu menandakan permulaan perjalanan Christy Ng dalam pasaran Indonesia, salah satu pasaran fesyen terbesar di Asia Tenggara.

Dengan kehadiran fizikal tersebut, Christy berharap dapat memberikan pengalaman membeli-belah lebih eksklusif kepada pelanggan di negara jiran itu sambil terus memperkukuh jenama Malaysia di pentas global. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram