Kenaikan gaji minimum daya penarik anak muda bekerja di pasaran tempatan, beri impak positif terhadap ekonomi negara


  • Massa
  • Rabu, 05 Feb 2025

Pekerja sektor perkilangan antara yang mendapat manfaat atas kenaikan gaji minimum baharu ini. — Gambar hiasan/ The Star

KENAIKAN kadar gaji minimum kepada RM1,700 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini ternyata memberi kelegaan kepada semua pekerja khususnya yang berkhidmat di sektor swasta.

Kadar baharu itu bukan sahaja memanfaatkan masyarakat, malah merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Susulan kenaikan tersebut, tidak mustahil ia mampu membantu meningkatkan kuasa beli rakyat dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencanak.

BACA LAGI: 'Payslip' berubah, gaji minimum baharu RM1,700 manfaat lebih 4 juta pekerja bermula Sabtu

BACA LAGI: Gen Z utamakan gaji, minat kerja hibrid sedekad lebih lama berbanding milenial

Member of public seen spending festive holiday and weekend in the Kuala Lumpur city centre. — YAP CHEE HONG/The Star

Kenaikan gaji minimum sekali gus dapat menarik minat golongan belia untuk menjana pendapatan. — Gambar hiasan

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd Faisol Ibrahim berkata, pelaksanaan itu dianggap sesuatu yang sangat wajar dengan mengambil kira situasi semasa ketika ini.

Selain membantu meringankan beban berikutan peningkatan kos sara hidup, kadar baharu itu juga mampu menarik minat golongan belia untuk bekerja dan berdaya saing menghadapi cabaran dalam dunia kerja masa kini.

Ia sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan terhadap warga asing serta membantu menurunkan kadar pengangguran negara.

DAVOS, (SWITZERLAND) 23 Jan -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim during a press conference after attending the World Economic Forum (WEF) Annual Summit 2025 here today.--fotoBERNAMA (2025) COPYRIGHT RESERVEDDAVOS, (SWITZERLAND) 23 Jan -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang akhbar selepas menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di sini, hari ini.--fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Anwar Ibrahim baru-baru ini membuat pengumuman mengenai kenaikan kadar gaji minimum kepada RM1,700.

Mohd Faisol berkata, ia secara tidak langsung memberi harapan kepada generasi muda bahawa mereka berpeluang menikmati gaji yang mampu memberikan kesejahteraan hidup sekiranya mempunyai kesungguhan.

“Kenaikan gaji minimum menjadi faktor penarik kepada generasi muda untuk menyumbang tenaga ke dalam pasaran kerja.

“Ini juga memberi impak positif kepada ekonomi negara. Ia tidak mustahil dapat meyakinkan golongan belia tempatan untuk bekerja.

“Dalam jangka masa panjang, kita akan dapat melihat kemungkinan lambakan pekerja asing akan mula dapat dikurangkan,” katanya kepada Majoriti.

Untuk rekod, kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 Jumaat lepas, merupakan gaji untuk pekerja asas dengan kelayakan akademik dan kemahiran rendah termasuk pekerja sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).

Dalam pada itu, Mohd Faisol turut mengulas bagaimana pelaksanaan kadar gaji minimum dapat menyeimbangkan jurang ekonomi dan pendapatan isi rumah rakyat di negara ini.

Katanya, kenaikan gaji minimum itu sememangnya menguntungkan rakyat di negeri kos sara hidup rendah.

unnamed (12)

Peningkatan gaji akan mendorong kepada lonjakan kuasa membeli rakyat. — Gambar hiasan

Selain menyumbang kepada peningkatan kuasa membeli, ia juga akan meningkatkan ekonomi seiring dengan negeri-negeri maju seperti Selangor, Kuala Lumpur atau Johor.

Nilai kenaikan sebanyak RM200 mungkin dilihat rendah bagi segelintir masyarakat, namun ia menjadi jumlah sangat bermakna terutama buat golongan berpendapatan rendah.

“Bagi mereka yang berpendapatan rendah, RM200 mungkin banyak kerana corak perbelanjaan lebih kepada memenuhi barangan keperluan dan kemudahan.

“Mereka bukan mencari barang yang bersifat kemewahan atau keselesaan.

“Justeru, mereka mampu tingkatkan kualiti hidup dengan membeli barang yang mampu memberi nilai tambah atau barang keperluan murah tetapi cukup untuk hidup sebagai manusia normal lain,” jelasnya.

WhatsApp Image 2025-02-05 at 12.04.41

Mohd Faisol berpandangan bahawa kadar kenaikan itu perlu seimbang dengan peningkatan kos sara hidup.

Secara keseluruhannya, kenaikan itu mampu melahirkan isi rumah dengan nilai kesejahteraan hidup yang tinggi.

Jelasnya, ia akan meningkatkan produktiviti serta membina suasana positif kepada para pekerja.

Menjengah reaksi beberapa penerima manfaat tersebut, rata-rata mereka meluahkan rasa gembira kerana akhirnya dapat merasa tangga gaji baharu.

Bagi Khairunnisa Musa, 25, pelaksanaan itu tidak dapat dinafikan akan membantu menjana pendapatan lebih sebagai kerani di sebuah syarikat perlombongan pasir di Batang Berjuntai, Selangor.

“Saya rasa memang sangat membantu terutama apabila ditambah lagi dengan elaun kerja lebih masa.

“Sekurang-kurangnya saya dapat menyimpan lebih. Kalau sebelum ini gaji RM1,500 mungkin dapat simpan kira-kira RM50 sebulan.

“Tetapi, kalau tangga gaji baharu, boleh juga simpan RM100 atau lebih,” luahnya.

WhatsApp Image 2025-02-05 at 12.04.48

Khairunnisa bersyukur penantian selama hampir setahun berakhir selepas pengumuman itu.

Katanya, dengan kenaikan itu, ia mampu menampung kos perbelanjaan harian termasuk bil rawatan penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau Lupus yang dihidapinya.

“Saya juga ada komitmen lain seperti motosikal dan kereta yang perlu dibayar,” tambahnya.

Kenaikan gaji minimum itu secara tidak langsung turut memberi peluang cerah buat pekerja berstatus orang kelainan upaya (OKU), Muhammad Razin Al-Hakimi Abror.

Pekerja berusia 22 tahun di sebuah syarikat keselamatan dan wang tunai di Petaling Jaya, Selangor itu turut berkongsi pandangannya terhadap perubahan tersebut.

"Peningkatan gaji minimum memang sesuatu yang menggembirakan dan saya harap ia membantu saya menabung serta lebih cepat dapat barang-barang yang saya inginkan.

"Bagaimanapun dari satu segi, ia mungkin tidak banyak berubah untuk pekerja tertentu.

WhatsApp Image 2025-02-05 at 07.45.52

Muhammad Razin Al-Hakimi Abror.

“Misalnya sebelum ini pekerja tertentu ada peluang untuk melakukan kerja lebih masa (overtime) tapi sekarang syarikat kawal atau menyusun semula jadual kerja untuk menampung pertambahan kos.

"Cuma dari segi lain, caruman untuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kami dapat ditambah lebih sedikit," jelasnya.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan bahawa seramai 4.37 juta pekerja bakal mendapat manfaat daripada pelaksanaan Perintah Gaji Minimum sebanyak RM1,700 sebulan yang berkuat kuasa mulai 1 Februari lalu.

Pelaksanaan itu akan dilaksanakan di seluruh negara dan meliputi majikan yang mempunyai lima atau lebih pekerja, serta individu terlibat dalam aktiviti profesional tanpa mengira bilangan pekerja mereka.

Bagi majikan dengan kurang daripada lima pekerja, tarikh kuat kuasa adalah pada 1 Ogos 2025.

Susulan itu, kerajaan meminta orang ramai termasuk majikan serta pihak berkepentingan memberi kerjasama dalam menyokong usaha dan inisiatif tersebut demi kesejahteraan rakyat Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram