
DUNIA pemotoran tanah air pastinya tidak asing dengan watak ‘Spark’ yang bagaikan fenomena dalam kalangan penunggang motosikal satu ketika dahulu.
Ikoniknya watak itu sering dipadankan dengan karakter pelumba motosikal ataupun ‘mat rempit’ yang cukup cekap mengendalikan jentera itu di atas jalan raya terutamanya golongan lelaki.
Dibintangi pelakon hebat Zul Huhaimy, 46, atau nama sebenarnya, Zul Huzaimy Marzuki menerusi filem Remp-It (2006), impak lakonannya kekal menjadi sebutan biarpun hampir dua dekad lamanya naskhah itu terhasil.
Memainkan watak antagonis persis pelumba haram, gaya samseng bersahaja Zul Huzaimy membawa pengaruh besar terhadap pelakon generasi kini yang mengidolakan anak kelahiran Gerik, Perak tersebut.
@mohdzahwawi84 Tumpang Tanya BGH 9234 125z Colour Merah Siapa Punya? #rempit #125z #yamaha #yamaha125z #125zrmalaysia #yamahamalaysia #bgh9234 #bgh9234sapeepunyee #madi #spark #macha #metrowealthpicture #metrowealthmovie #2006 bunyi asal - Mohd Zahwawi_9
Enggan terlalu mendabik dada atas pencapaian itu, Zul sebaliknya berharap agar ada pelapis yang mampu menggantikan watak Spark pada masa hadapan.
Jelas Zul, dirinya kerap dibayangi watak berkenaan yang menurutnya satu kepuasan namun pada masa sama turut menjejaskan peluang untuk terus berkarya dalam filem-filem lain.
“Saya syukur sebab sampai sekarang memang watak Spark tu melekat dengan saya sampai diangkat dalam dunia pemotoran negara.
“Tapi ada kalanya ia sedikit menutup ruang untuk saya melakonkan watak lain dalam filem bergenre sedemikian, orang akan lebih minat Spark daripada watak lain yang saya cuba sampaikan.
“Maka, susah sikit untuk saya beri impak yang sama besar pada watak-watak lain yang saya lakonkan selepas ini, harap Spark ada pengganti dalam masa terdekat ni,” katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Zul turut memuji barisan pelakon baharu yang menurutnya sangat berbakat dan berupaya menjadi penyambung legasi industri negara.
Ditanya soal tuntutan produksi kini yang lebih memilih fizikal badan ‘sado’ bagi watak antagonis, bapa kepada tiga orang anak itu menafikan perkara tersebut.
Jelasnya, filem Kahar: Kapla High Council baru-baru ini menampilkan ramai pelapis pelakon antagonis hebat dan berjaya memenuhi tuntutan pihak produksi.
“High Council tu kehendaknya perlu untuk berbadan 'sado' dan saya tak gunakan range itu dalam lakonan saya.
“Range watak jahat ni besar sangat, saya tak gunakan elemen itu dalam lakonan saya, filem High Council jika nak ikutkan bukan (mengenai) budak motor pun, jadi konsepnya berbeza dengan watak Spark yang nakalnya bukan dari aspek fizikal.
“Ada watak antagonis yang orang tua tok imam tapi rupanya haruan makan anak, itu pun dikira jahat tapi tak perlukan fizikal ataupun aksi ganas, lebih kepada karakter,” tambahnya.
Bakal muncul di layar perak tidak lama lagi, Zul meneruskan legasi seninya menerusi filem terbaharu, Impak Maksima 2 arahan pengarah tersohor, Dr Ahmad Idham. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram