[VIDEO] Warga asing bergaduh di kilang Batu Pahat, pekerja Nepal maut ditikam 5 lelaki


  • 112
  • Sabtu, 15 Feb 2025

Tangkap layar kes pergaduhan membabitkan sekumpulan warga asing di Batu Pahat.

SEORANG pekerja Nepal maut ditikam sekumpulan lelaki warga asing di sebuah kilang dekat Sri Gading, Batu Pahat, Johor pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 9 Februari pukul 11.30 malam di sebuah asrama kilang tempatan.

BACA LAGI: [VIDEO] Mengamuk hampir 7 jam, anggota polis cedera kena tetak lelaki berparang di Sungai Petani

BACA LAGI: [VIDEO] Lampu isyarat rosak punca pemandu Hilux maut, isteri parah rempuh SUV di Batu Pahat

"Pergaduhan itu dipercayai berpunca akibat provokasi antara sekumpulan pekerja warga Bangladesh dan Nepal dengan si mati.

"Mangsa warga Nepal yang dikenali sebagai Mochi Satindar, mengalami pelbagai kecederaan dan dipercayai ditikam dengan senjata tajam.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Patologi Forensik di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat mengesahkan punca kematian akibat tikaman di perut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, pihak polis telah menahan seorang suspek warga Bangladesh (24 tahun) dan empat suspek warga Nepal berusia antara 22 dan 27 tahun.

"Kesemua suspek adalah rakan sekerja mangsa dan tinggal di asrama yang sama dengan kejadian berlaku di luar waktu bekerja.

"Sebilah senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam serangan itu turut ditemui dan dirampas untuk siasatan lanjut," katanya.

Kelima-lima suspek telah direman selama tujuh hari dari 10 Februari hingga 16 Februari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram