SEBUT sahaja nama Yank Kassim, fikiran penonton pastinya dibayangi kelibat watak antagonis, kaki pukul dan samseng yang cukup sinonim dengan pelakon berpengalaman itu.
Bagaikan sudah sebati dengan peranan sedemikian, boleh dikatakan hampir kesemua watak dilakonkan majoritinya adalah penjahat.
Memasuki usia 57 tahun, kelibatnya sedikit berkurangan di kaca televisyen dek lambakan pelakon baharu yang tumbuh bagai cendawan kebelakangan ini.
BACA LAGI: Watak Zurina 'Aku Dia & Volkswagen' kisah benar 'crush' zaman sekolah, bayangan mirip pelakon Eja
Situasi itu turut dirasai pelakon filem Dampak (2013) tersebut yang kini dilihat lebih banyak ditawarkan watak komedi dan pemuda kampung yang umumnya jauh berbeza dari watak hakikinya.
“Saya sekarang banyak dapat watak komedi, pemuda kampung dan drama yang sesuai tontonan umum, bukan lagi kaki pukul samseng macam dulu.
“Dulu ya memang kalau offer lakonan je mesti watak jahat saya la orangnya tapi zaman berubah, budak-budak High Council pun ramai dah mereka lebih diutamakan pengarah sekarang.
“Industri kita ni tak pandang pelakon veteran yang ada nama ni, ada pelakon baru memang terus dapat peranan besar berbeza dengan luar negara, mereka lebih utamakan yang berpengalaman, sebab tu filem Hollywood hero semua tua-tua tapi masih berlakon bagus,” katanya kepada Majoriti.
Akur dengan perubahan zaman, Yank Kassim menjelaskan dirinya lebih banyak menerima tawaran dari produksi filem luar negara berbanding tempatan.
Antara filem antarabangsa lakonan Yank Kassim.
Sebelum ini, beberapa produksi antarabangsa pernah menawarkan peranan sebagai penjahat yang kebanyakannya dari China, India dan Hong Kong.
“Saya banyak berlakon dengan produksi luar negara, mereka lebih nampak kewujudan saya sebagai penjahat yang veteran.
“Ada satu produksi China tu pengarah dia gelar saya Sammo Hung Malaysia, kalau nak bandingkan memang beza la dia pelakon hebat popular dalam seni pertahan diri di China.
“Tapi syukur la ada yang pandang saya, lebih banyak bekerja dengan produksi luar cuma mereka ni ketat sikit, tak kasi kongsi gambar sangat mungkin itu sebab orang pun tak ramai tahu,” ujarnya.
Sammo Hung merupakan pelakon seni pertahan diri popular di China.
Turut menyuarakan keinginan untuk kembali menggegar industri perfileman tanah air sebagai watak antagonis yang berpengaruh, Yank Kassim sentiasa bersedia jika diberikan peluang.
Jelasnya, faktor usia bukan penghalang untuk terus berlakon, sebaliknya ia mampu dilakukan dengan perancangan yang rapi dan teratur.
“Saya memang tunggu je tawaran antagonis, setakat buat badan tu kalau cukup dana dan tajaan sebagainya boleh je buat,” katanya mengakhiri perbualan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram